Sunday, July 31, 2016

Panduan Menulis Drama TV 60 Minit



Sedikit Panduan Menulis Skrip 60 minit drama bersiri
Oleh: Mahadzir Othman

Sejak kebelakangan ini drama-drama bersiri televisyen terutamanya drama-drama 60 minit dikatakan amat mengecewakan.  Majoriti ceritanya amat sedih perkembangan plotnya tanpa mempunyai sebarang bentuk penceritaan drama tv dan lebih kepada pembentukan novel- novel. Beza yang nyata antara drama TV dan novel adalah pada pembentuk plot dan perwatakan. Sementara kedua-duanya memerlukan seni visual untuk dihayati, cara mendedahkannya adalah tidak sama. Novel lebih kepada kepandaian penulis membentuk gambaran bagi visualisasi imaginasi. Sementara drama TV memerlukan turun naik pembentukan plot bagi memainkan perasaan dan semangat penonton.

Secara teorinya drama TV 60 minit memerlukan dua segmen lakon dramanya:- 
-Lakon TV 1 (Act one) dan Lakon TV 2 (Act Two)
Untuk memudahkan kefahaman saya akan susun perkembangan plot dalam bentuk mudah perkiraan.
- Lakon TV 1 (Maksima 25 minit pertama) mesti mengandungi perkembangan plot berikut:-
1. Intro sama ada intro perwatakan atau watak.
2. Harapan, angan-angan atau impian  perwatakan atau watak utama
3. Set back (ubsur kekecewaan) kepada harapan (terduga oleh semua penonton)
4. Lagi set back kepada harapan (tidak terduga penonton)
5. Sedikit harapan muncul membantu
6. Langsung kekecewaan dan putus harap.
7. Sedikit pencerahan bagi menutup lakon TV

-Lakon TV 2 (act 2) (baki 20-25 minit akhir)
1. Pencerahan yang tidak begitu menyakinkan namun cukup untuk menarikperhatian penonton
2. Watak bangkit dan cuba untuk keluar dari kesusahan
3. Kegagalan yang mengecewakan
4. Lagi penebalan konflik
5. Konflik berterusan musabahnya
6. Penyelesaian kepada permasalahan.

Tidak kira apa jenis genre drama yang dipilih segmen 60 drama TV mesti mempunyai jaringan plot dalam bentuk lakon TV 1 dan Lakon TV2.

Mari kita ambil contoh sebuah cerita persahabatan yang dipenuhi dengan segala cabaran dan pengorbanan. Saya namakan cerita ini Anak Merdeka. Saya mahu jadikan drama ini dalam bentuk 13 episod drama patriotik. Sinopsis mudahnya cerita mengenai seorang polis yang baik hati dan sanggup menolong masyarakat tanpa mahu mengira warna kulit. Cerita persahabatan Hussin dan seorang lelaki India yang menjangkau 3 dekad.

Lakon TV 1
1. Intro perwatakan
1985. Kannan dengan kereta Proton Saga menyuruh anaknya Suria yang memandu berhenti kereta mereka kerana dia mahu membeli air minuman kesukaan anak angkatnya, O:- mar (anak kepada Hussin), Sementara intercut pada scene di rumah Hussin, di mana Omar (anak Hussin) menanti ketibaan Kannan kerana ingin melihat Proton Saga baharu. (1985:- Proton Saga dikeluarkan pada Julai). Hussin datang menyuruh Omar bersiap untuk pernikahannya.  Kereta kaum keluarga Hussin masuk ke halaman rumah tanda mahu bersiap ke rumah pengantin [perempuan.  Hari yang besar buat Omar.
2. Harapan atau impian:-
Kannan begitu gembira anak angkatnya akan berkahwin. Pada anaknya disuruh mengikut jejak abang angkatnya. Jangan melawan cakap abangnya. Suria hanya mengiyakan. Dia tahu ayahnya sangat manjakan Omar. Di kedai Kannan kelam kabut keluar membeli Coca Cola, minuman kesukaan Omar. Dia tidak mahu anakangkatnya haus ketika perjalanan. Kannan mahu semuanya lancar. Kereta Proton Saga baharu untuk pengantin tentu menyeronokan. Begitu tinggi harapan seorang lelaki India.
3. Set back kepada harapan (boleh diduga)
Kannan keluar dengan minuman coke di tangan. Anaknya tiada di kereta. Dari jauh nampak seorang perempuan melepaskan geggaman seorang lelaki. Jatuh ke tanah. Kemudian menendang dan menyepak lelaki yang cuba mendekatinya. Kanan masuk ke keretanya. Suria masih berada di dalam kedai. Perempuan dalam kesusahan dekati kereta lalu minta tolong kepada Kannan. Kannan membuka keretanya lalu keluar menolong. Bagaimanapun, lelaki yang mengejar dekati mereka Kannan minta dia bertenang tetapi dia bertindak kasar dengan wanita tersebut. Kannan cuba membantu... dia ditikam. Suria keluar dari kedai dan tempikannya memaksa lelaki enyerang melarikan diri.
Suria dekati bapanya. Jatuh parah di jalan raya. Mahu bergegas ke hospital tapi bapanya mahu dia buat 2 perkara. Pertamanya, mesti bawa Omar untuk menikah. Dia amat suka mendapat menantu. Kedua serahkan Coca Cola yang enuh berdarah kepada Omar.  Tunjukkan Kannan berusaha mencuci darah pada minuman yang dibeli. Begitu bersungguh sayangkan anak angkatnya. Suria enggan tapi dipaksa ayahnya. Ambulans datang. Kannan ditemani waniat diserang menaiki ambulans. Suria gelisah jadinyatapi menurut kehendak ayahnya.
4. Lagi set back (tidak diduga)
Kannan di hospital , keadaannya kritikal. Omar dan orang orang kampung datang beramai untuk melihat Proton Saga yang baharu masuk ke halaman rumah Omar. Semua orang gembira kecuali Omar. Kannan tiada di situ sesuatu yang pelik namun Sria tidak mahu memberitahunya.
Hussin tahu sesuatu yang buruk lalu menarik Suria ke tempat lain untuk berbual. Hussin diberitahu kemalangan yang menimpa Kannan namun Kannan mahu Omar selamat bernikah. Dia mahu menantu. Hussin terharu. Batal niatnya mahu ke kenduri dan memberi alasan ada perkara yang harus diselesaikan. Omar syak sesuatu. Omar membuat keputusan memandu kenderaan dengan alasan dia mahu merasa Proton Saga. Sebaik Omar keluar dari hhalaman rumah, Hussin mencapai motosikalnya bekejar ke hospital. Omar yang jauh lebih cerdik membaca perangai ayahnyalalu berhenti di tepi jalan menanti ayahnya dan kemudian mengekorinya. Suria terpaksa membatu.  Di hospital, mereka diberitahu keadaan Kannan serius. Omar membatalkan pernikahannya. Cuma kalau Kannan sembuh baru dia akan berkahwin. Keluarganya gagal menasihatinya.  Hussin teringat akan peristwa 30 tahu yang lalu bagaimana mereka mula berkawan.
5. Sedikit harapan
1955. Ketika Hussin meronda kawasannya,  Kannan didapati sedang dipukul dua lelaki yang mahu dia membayar hutang judinya. Kannan meminta ampun kepada mereka katanya dia tiada duit. Dia dibelasah. Hussin mencelah dan meredakan keadaan. Dia memberi jaminan bahawa dia akan cuba selesai masalah mereka. Kannan yang mabuk terduduk di jalanraya. Masa untuk perintah berkurung telah dekat lalu Hussin membuat keputusan untuk membawa Kannan ke rumahnya. Isteri Hussin, Siti agak takut melihat Kannanyang mabuk dan cakapnya merapu. Malah dia meminta makanan dari Hussin. Hussin memberinya makanan diminta, malah dimintanya telur goreng kerana dia suka telur goreng. Hussin memasak untuknya. Selesai makan, dia terbaring di tengah rumah dengan berkata, Hussin sangat baik orangnya. Kannan tidur. Siti masih merasa serba salah dengan adanya Kannan tapi Hussin tidak kisah, malah menyelimut Kannan. Memang suaminya seorang yang baik.
Selang beberapa hari kemudian, Kannan ijumpai mabuk lagi. Kali ini terlentang di jalan raya. Sekali lagi dibawa ke rumah. Kannan merepek dia pun mahu jadi orang yang baik dan kalau Hussin mengambilnya menjadi adiknya, dia akan berhenti minum. Malah berhenti berjudi. Hussin mengaku mahu mengambil Kannan menjadi adiknya. Kannan yang mabuk membuka rantai leher nya lalu mengikat tali di tangan Hussin. Dia bersumpah akan jadi orang yang baik, tidak akan minum dan berjudi lagi. Kemudian terbaring di rumah. Lena.
Esoknya, Kannan berubah perangainya. Sentiasa berada di rumah Hussin. Dia membersihkan halaman, membaiki tangga yang buruk malah membasuh basikal Hussin. Dia mengaku Hussin adalah abangnya.
6. Lagi kekecewaan
Kannan dibelasah lagi kerana gagal membayar hutangnya. Siti merasa kasihan kepadanya. Mereka pening kepala memikirkan cara untuk membantu Kannan. Bagaimana dia mahu menjadi baik kalau ada saja masalah. Siti yang sarat mengandung kemudian memberi wang simpanannya kepada Hussin untuk menyelesaikan hutang tetapi itu belum mecukupi. Siti memberi gelangnya. Hussin begitu terharu dengan tindakan isterinya. Memang dia tidak salah memilih jodohnya. Dalam susah Hussin, dia membantu Kannan. Kannan terharu tambahan pula apabila dilihatnya kakaknya tidak memakai gelang lagi. Kannan bersumpah selagi dia hidup dia tidak akan menyusahkan mereka lagi. Bagaimanapun dia begitu kecewa kerana dia tiada kerja dan tiada arah untuk hidup.
7. Sedikit pencerahan penutup Lakon TV1
 Siti mencadangkan Kannan menjual kain dari rumah ke rumah kepada Hussin . Bapanya mengenali pegusaha kain dan dia boleh bercakap dengan bapanya. Kannan memberi alasan kulitnya hitam dan orang ramai tentu takut dengannya. Bagaimanapun apabila Siti yang menyuruhnya, dia mengikut. Lalu dia berjalan kaki dari trumah ke rumah. Pada mulanya susah sedikit tetapi akhirnya dia dikenali. Kannan gembira dengan perkembangan baharunya. Gaji pertama dibelinya pasembur untuk makan bersama Hussin dan Siti. Bagaimanapun, Siti menyebut dia lebih sukakan mee rebus. Kannan meluru keluar rumah pergi membeli mee rebus kerana kakaknya sarat mengandung.

Dalam lakon TV 1 kita memainkan perasaan penonton dalam beberapa babak. Untuk memainkan perasaan kita harus belajar untuk menyentuh segala segi dalam genre yang dibawa. Cerita ini cerita persahabatan dan pengorbanan maka kita harus berfikir apa yang diperlukan seorang sahabat. Kita mencari aspek melampau kerana ianya drama visual. Jadi kita lihat seorang pemabuk boleh berubah. Seorang lelaki melayu membantu seorang India yang pemabuk. Kita lihat bagaimana seorang isteri begitu penyayang orangnya. Semuanya adalah sumbangan kepada persahabatan. Kita memainkan perasaan penonton dengan tragedi dan dengan kesusahan seseorang.  Kita belitkan sedikit dengan pencerahan dan jalan keluar.

Binaan plotnya harus mengikut perkiraan tertentu dalam pembentukan drama. 

(bersambung.....)



Sunday, May 29, 2016

Maafkan Saya Cikgu: Komen dari sudut penulisan. Drama TV3 Sabtu 28/5/16



Maafkan Saya Cikgu :- Komen dari sudut penceritaan.
Sabtu TV3 28/5/16, 9.00pm

Selepas dua minggu cerita terbitan Aida Othman ini ditayangkan. Macam adik Aida ini kepada saya. Maklumlah dia kerap bertanya itu ini kepada saya. Jadi apa pun komen pada cerita dibawa Aida, adalah untuk kebaikan. Matlamat sama sahaja. Kita mahu satu yang terbaik supaya ianya meninggalkan 'impact' yang besar baik dalam pembinaan negara mahupun perkembangan industri drama.

Sudah sampai masanya adanya perubahan pada drama-drama tempatan. Sudah terlalu lama kita duduk dalam kepompong drama ala drama radio dengan cerita-cerita klise dan tema yang menjemukan. Maka kalau ada sekali sekala keluar drama yang lari dari kelainan maka ianya patut ditonton dan dinilai. Kalau dapat diamati, lagilah baik.

Maafkan Saya Cikgu nampaknya lari dari pemilihan tema drama-drama biasa, tema cinta, tema korporat dan seakwtu dengannya. Ianya membawa cerita mengenai seorang kanak-kanak.  

Lebih kurang 15 tahun lepas saya ada menulis drama Terima Kasih Cikgu yang diubah tajuknya. Saya tidak tahu apa tajuknya tetapi ia disiarkan beberapa kali oleh TV2. Cerita mengenai seorang kanak-kanak yang menjaga ayahnya selepas kematian ibunya. Bapanya jadi hampir putus asa untuk hidup. Anak ke sekolah dengan memakai kasut buruknya setiap hari. Tidak mahu kasut lain kalaupun diberi kasut yang baru. Dia hanya memilih kasut lamanya. Cikgu di sekolah berfikir dia seorang yang miskin, malas dan tidak perlu diberi perhatian. Kasutnya buruk, baju buruk dan serebeh. Bagaimanapun terbalik pula jadinya. Dia anak seorang yang berada. Bapanya seorang pengukir kayu yang terkenal. Mempunyai bengkel kerja yang besar. Memendekkan cerita, sebab dia memilih memakai kasut yang sama walaupun sudah buruk adalah kerana ianya pemberian arwah ibunya dan ibunya yang memakaikan kasut ke kakinya hampir setiap hari. Menyarung ke kakinya dengan penuh kasih sayang. Cerita 15 tahun lepas berkisar pada watak si anak ini dan guru yang hairan dengan budak busuk ini.

Dalam masa yang sama, saya ada menulis sebuah cerita lagi. Atas tema kesusahan murid di sekolah. Abang sekolah pagi dan adik sekolah petang. Baju dan seluar sepasang. Mereka tukar baju. Pesan abang kepada adik, kalau dimarahi cikgu, cuba belajar menerima. Kerana itu kekuatan seseorang. Berani buat berani tanggung. Jadi orang yang kuat. Kerana kita ini susah! Apa yang penting berjaya dalam pelajaran. Sedikit rotan sepatutnya lagi menguatkan peribadi seseorang. Tiap-tiap hari nasihat yang sama. Satu sekolah tahu cerita kedua-dua murid yang susah ini kecuali cikgu yang seorang ini. Kadang-kadang adik ini akan berair di mata menerima rotan gurunya. Tetapi dia menahan tangisnya kerana abangnya berpesan agar dia berani menghadapi apa sahaja asalkan dia boleh belajar di sekolah.

Semasa menulis saya menilai sudut rasional kebiasaan masyarakat berfikir. Bukannya memilih rasional penulisan. Kerana rasional penulisan melepasi rasional pemikiran biasa. Ini sangat penting. Takut cerita kita tidak dapat diterima penonton. Lebihkan sedikit kesusahan di sana tetapi pastikan jangan melebihi rasional pemikiran orang biasa. Jadi difikirkan rasional memakai kasut yang satu sampai buruk. Ooo.. kerana emaknya yang sarungkan. Rasional di sebalik menukar baju yang satu. Kerana emaknya yang jahit. Kalau kena arahannya, ia boleh menyentuh perasaan penonton. Maka itulah tujuannya. Mahu mainkan perasaan penonton. Isu rasional pemikiran orang biasa ini sangat penting diberi perhatian. Beberbeza dengan rasional penulis sendiri... ianya hampir tidak ada hadnya. Apa nak tulis... tulis... Langit berwarna jingga pun boleh diwujudkan.  

Tema yang sama dibawa Aida Othman dan penulis-penulisnya. Si Adik terpaksa menanggung beban kerana lambat ke sekolah sementara menunggu abangnya balik sekolah untuk mengambil bajunya. Daripada memberi penyelesaian di awal babak, penulis-penulis Aida mahu menjarakkan pengetahuan penonton kenapa dia selalu datang lambat sampai ke akhir cerita. Apa yang penonton dihidangkan adalah dia lambat ke sekolah. Aktivitinya, ada kalanya dia menjual nasi lemak dan bermain dengan abangnya. Si adik atau Jali ini tidak puas hati dengan kesusahan hidupnya. Perangainya makin hari makin kurang ajar. Cakapnya lepas.

Kita melepaskan semua ini kerana itu perwatakannya dan itu kesusahan yang ditanggungnya.

Bagaimanapun, apabila mempersoalkan rasional penceritaan, maka kita terhimpit untuk menjawab banyak soalan.

Cerita ini cerita Si Jali. Tidak ada watak lain yang lebih ketara dari watak Si Jali yang makin ditengok makin kurang ajar jadinya. Apabila kita menjarakkan sesuatu penyebab maka kita harus pastikan penceritaan yang kita bawa ini begitu mengikat perhatian penonton. Penonton boleh diikat melalui kekuatan watak, plot yang naik turun, perasaan ingin tahu, rasa suka, rasa benci pada watak-watak dan pengharapan penonton yang sedang menonton. Cara mengikat ini tidak ada hadnya.

Secara kasarnya, cerita ini longgar dalam cara mengikat hati penonton. Ianya berjaya menonjolkan bakat lakonan pelakon tetapi tidak dapat mengikat penonton.

Minit pertama mahu ditunjukkan adik kena rotan kerana lambat. Penerangannya di akhir cerita. Maka keseluruhan cerita harus betul-betul mengikat penonton untuk bergerak ke arah penyelesaian.. kenapa dia lambat. Maka segala babak-babak perantaraan haruslah begitu dramatik dan menghiburkan. Boleh dibawa menjadi satu pengembaraan yang menghiburkan. Tetapi tidak! Saya mengharapkan ini dari kumpulan adik saya ini.  Dia banyak kenal orang pandai pandai dalam dunia drama.

Sebelum kita pergi lebih jauh haruslah melihat sedikit kepada jalan cerita. Cerita berkisar kehidupan dua adik beradik kematian ayah dan terpaksa tinggal dengan ibunya yang cacat. Hanya hidup dengan menjual nasi lemak. Abang, darjah enam sekolah pagi dan adik sekolah petang. Hidup mereka daif.

Tidak ada watak lain yang menonjol di dalam cerita kecualilah watak Jali. Si adik yang kena rotan. Si adik yang bermasalah. Si adik yang menempik ibunya. Yang kurang ajar dengan abangnya. Si adik yang ingin makan ayam dan jemu makan nasi lemak di rumah. Si anak yang banyak akalnya. Si adik yang tidak ikhlas dalam memberi bantuan kepada orang. Si adik yang sakit di rumah. Semuanya cerita si adik. Watak-watak lain tenggelam langsung.   

Daripada menyukai watak dan bersimpati dengannya, kita menjadi benci kepada watak ini. Inilah yang terjadi dalam cerita ini. Dahlah penampilan nampak seperti seorang yang keterlaluan kurang ajar perangainya. Kalaulah ini yang mahu disampaikan kepada penonton maka ianya berjaya. Watak Jali makin dibenci. Kalau mahu penonton bersimpati dengannya, hmm...... agak jauh menyimpang. Saya mengajak anak saya menonton. Seorang anak gadis berumur 14 tahun. Isteri saya di sebelah saya. Sementara isteri saya begitu benci dengan watak yang dibawa Jali, anak gadis saya berpendapat sifatnya terlalu kurang ajar. Dia langsung tidak suka pada karektor yang dibawa. Mungkin benar kerana apa yang saya ajar kepada anak saya adalah pantang untuk meninggikan suara kepada saya dan emaknya. Berlaku baik pada binatang dan manusia tanpa mengharap balasan. Mungkin ideologi Mahadzir Othman ini menutup rasional lain kehidupan manusia lain pada dirinya. 

Watak-watak lain tidak ada kepentingan langsung dalam Maafkan Saya Cikgu. Mereka semua adalah watak pembantu. Kehadiran mereka sekadar melengkapkan apa yang harus dilakukan Jali. Malah Jali adalah watak utama yang dominan.  Watak cikgu Zamarul yang merotan Jali. Hadirnya cukup untuk merotan dan memaafkan. Watak emaknya yang cacat kakinya, cukup untuk kadang-kadang muncul untuk melengkapkan keperluan perwatakan Jali. Jun, abangnya ada sedikit kelainan. Mengimami sembahyang dan ceria selalu. Malangnya watak yang dibawanya tidak langsung menyentuh perasaan ketika menonton. Ayah mereka muncul sekali sekala... tidak sempurna sifat keayahannya. Tidak meninggalkan 'impact' yang besar untuk memori anak-anaknya.  

Apa yang berlaku di sini adalah kegagalan untuk memberi perwatakan kepada watak watak lainnya untuk menyokong satu watak utama ini.

Kita sudah letakkan ibunya cacat kakinya. Kerana apa... kerana rumah terbakar. Suaminya mati. Objektif kita adalah mahu menyentuh perasaan penonton. Mahu meninggalkan kesan dijiwa mereka. Sayangkan watak... bersimpati dengan watak. Itu sangat penting kepada penulis.

Kita mahu memainkan isu kakinya cacat. Kadang kala mahu tunjukkan masalahnya bila ianya cacat. Mahu anaknya mengambil tanggungjawab lebih tinggi kerana kakinya. Benda begini sudah di bawa ke cerita. Maka mainkan isu ini. Kalau mahu contoh lebih baik.. saya berikan.... setiap hari memerah kelapa. Menggoreng ikan bilis atau menggiling cabai. Bukan kerja mudah. Awal pagi lagi sudah bangun. Buat nasi lemak untuk anak. Untuk cari makan. Kalau hidup susah... kayu api mesti dicari. Jatuh sana sini mencari kayu api untuk memasak. Bila memasak kadang kala minyak atau air boleh tertumpah. Banyak sangat benda yang boleh dimainkan untuk memikat penonton apabila kaki itu cacat. Tambahan kalau yang memerhatikan adalah anak-anaknya. Penonton boleh ditambat dengan menunjukkan keakraban hubungan ibu anak dan sifat penyayang mereka sesama sendiri. Kalau pun mahukan watak Jali itu tidak begitu mahu mengambil berat ibunya. Rasa penonton harus diikat dan dimainkan.

Saya kasihankan Sherri Merlis. Rasanya bukan senang mengambil dia berlakon. Bila dapat maka sepatutnya diberikan watak yang betul-betul menambat hatinya. Sayang sekali wataknya hanya di sudut belakang frame penggambaran. Di depan sentiasa ada si Jali.

Watak si ayah. Hmmm... sekali sekala muncul. Saya rasa mahu penonton menjiwai bahawa dia seorang bapa yang penyayang. Tidak berapa menjadi. Tidak cukup touching. Tidak cukup penghayatan pendramaan. Babak sudah ada tetapi gagal mendramakan perwatakan untuk meninggalkan impact yang besar kepada penonton. Contohnya.... Jun berbual dengan ayahnya di anak tangga. Pengharapan ayah kepada si anaknya. Scene ini sangat penting kerana Jun sangat rapat dengan ayahnya. Mereka boleh berbual apa sahaja dalam dunia ini. itu kenangan buat Jun. Tetapi kalau mahu menyentuh perasaan penonton.. maka ambil situasi paling biasa dan jitukan dia. Contohnya... selesai cakap... hah, pakai kasut tu. Tapi si ayah yang mengambil inisiatif untuk menyarung kasut ke kaki anak. Mengikat talinya perlahan. Diperhatikan si anak. Penuh sayang. Penuh kagum. Si ayah memberitahu si anak, dia mahu anaknya mampu menyarung kasut ke kaki adik dan emaknya. Impact scene begini besar. Apa yang berlaku cumalah dua beranak duduk di anak tangga dan berbual. Tidak ada aksi menyentuh perasaan. Pengarah atau penulis mengharapkan penonton menjiwai watak dan tidak membawa penonton menghayati 'moment'. 

Satu lagi scene ayah. Anak memberi kad kemajuan kepadanya. Si anak cemerlang belaka. Sudah sedia maklum. Tidak ada apa-apa kerisauan pada mereka mengenai prestasi mereka. Cara pembawaan patutnya lebih ceria. Daripada mereka terkedik mahu menawan penonton untuk mengikut apa perkembangan selanjutnya sepatutnya mereka 'control' atau mengongkong persembahan. Mereka sepatutnya berlari kejar mengejar, potong memotong untuk menyerahkan kad kemajuan kepada bapa mereka. Mereka tahu mereka pandai. Ibu mereka tersipu-sipu keseronokan. Anak mereka bijak. Ayah mereka sudah terfikir... hmm... aku kena beli apa pula untuk mereka. Benda begini sepatutnya dilainkan dari kebiasaan babak yang biasa difikir penulis biasa. Pelakon memainkan watak dan mengongkong set. Bila perlu sahaja.....

Babak di mana si adik mengharapkan video game dan kona abangnya yang minta. Sudah ada kelainannya.  Tetapi ianya agak klise. Tidak ada magik. Magik dalam penceritaan cumalah kalau si ayah mendengar perbualan kedua dua anak yang bercakap mengenai gameboy rakan mereka. Mungkin cakap pasal nak pegang pun tak bagi. Terfikir si ayah, anaknya juga ada keinginan lainnya. Magiknya, kerana membeli gameboy atau ps2, dia balik lewat dan gagal menyelamat rumah yang terbakar. Kalau mahu dipanjangkan ke situ. Elemen magik di sini adalah pemerhatian orang ketiga kepada soalan pokok. Biasanya ia boleh menyentuh perasaan penonton.

Hmmmm... pada saya, penulis kita biasanya boleh memikirkan idea dan babak untuk menulis cerita mereka. Mereka cuma tidak dapat memberi 'hidup' atau rasa pada babak yang cuba ditonjolkan. Tanpa menjerit tanpa bersikap kurang ajar, mereka tidak mampu untuk menyentuh perasaan penonton.

Saya berhenti di sini.. kerana saya belum menyentuh sudut editing yang kelam kabut pada pertengahan cerita... Saya belum menyentuh kekuatan cerita dalam menghubungkan unsur mula dan unsur akhir.....