Maafkan Saya Cikgu :- Komen dari sudut penceritaan.
Sabtu TV3 28/5/16, 9.00pm
Selepas dua minggu cerita terbitan Aida Othman ini ditayangkan. Macam
adik Aida ini kepada saya. Maklumlah dia kerap bertanya itu ini kepada saya.
Jadi apa pun komen pada cerita dibawa Aida, adalah untuk kebaikan. Matlamat
sama sahaja. Kita mahu satu yang terbaik supaya ianya meninggalkan 'impact'
yang besar baik dalam pembinaan negara mahupun perkembangan industri drama.
Sudah sampai masanya adanya perubahan pada drama-drama tempatan. Sudah
terlalu lama kita duduk dalam kepompong drama ala drama radio dengan
cerita-cerita klise dan tema yang menjemukan. Maka kalau ada sekali sekala
keluar drama yang lari dari kelainan maka ianya patut ditonton dan dinilai.
Kalau dapat diamati, lagilah baik.
Maafkan Saya Cikgu nampaknya lari dari pemilihan tema drama-drama biasa,
tema cinta, tema korporat dan seakwtu dengannya. Ianya membawa cerita mengenai
seorang kanak-kanak.
Lebih kurang 15 tahun lepas saya ada menulis drama Terima Kasih Cikgu
yang diubah tajuknya. Saya tidak tahu apa tajuknya tetapi ia disiarkan beberapa
kali oleh TV2. Cerita mengenai seorang kanak-kanak yang menjaga ayahnya selepas
kematian ibunya. Bapanya jadi hampir putus asa untuk hidup. Anak ke sekolah
dengan memakai kasut buruknya setiap hari. Tidak mahu kasut lain kalaupun
diberi kasut yang baru. Dia hanya memilih kasut lamanya. Cikgu di sekolah
berfikir dia seorang yang miskin, malas dan tidak perlu diberi perhatian. Kasutnya
buruk, baju buruk dan serebeh. Bagaimanapun terbalik pula jadinya. Dia anak seorang
yang berada. Bapanya seorang pengukir kayu yang terkenal. Mempunyai bengkel
kerja yang besar. Memendekkan cerita, sebab dia memilih memakai kasut yang sama
walaupun sudah buruk adalah kerana ianya pemberian arwah ibunya dan ibunya yang
memakaikan kasut ke kakinya hampir setiap hari. Menyarung ke kakinya dengan
penuh kasih sayang. Cerita 15 tahun lepas berkisar pada watak si anak ini dan
guru yang hairan dengan budak busuk ini.
Dalam masa yang sama, saya ada menulis sebuah cerita lagi. Atas tema
kesusahan murid di sekolah. Abang sekolah pagi dan adik sekolah petang. Baju
dan seluar sepasang. Mereka tukar baju. Pesan abang kepada adik, kalau dimarahi
cikgu, cuba belajar menerima. Kerana itu kekuatan seseorang. Berani buat berani
tanggung. Jadi orang yang kuat. Kerana kita ini susah! Apa yang penting berjaya
dalam pelajaran. Sedikit rotan sepatutnya lagi menguatkan peribadi seseorang.
Tiap-tiap hari nasihat yang sama. Satu sekolah tahu cerita kedua-dua murid yang
susah ini kecuali cikgu yang seorang ini. Kadang-kadang adik ini akan berair di
mata menerima rotan gurunya. Tetapi dia menahan tangisnya kerana abangnya
berpesan agar dia berani menghadapi apa sahaja asalkan dia boleh belajar di
sekolah.
Semasa menulis saya menilai sudut rasional kebiasaan masyarakat
berfikir. Bukannya memilih rasional penulisan. Kerana rasional penulisan
melepasi rasional pemikiran biasa. Ini sangat penting. Takut cerita kita tidak
dapat diterima penonton. Lebihkan sedikit kesusahan di sana tetapi pastikan
jangan melebihi rasional pemikiran orang biasa. Jadi difikirkan rasional
memakai kasut yang satu sampai buruk. Ooo.. kerana emaknya yang sarungkan. Rasional
di sebalik menukar baju yang satu. Kerana emaknya yang jahit. Kalau kena
arahannya, ia boleh menyentuh perasaan penonton. Maka itulah tujuannya. Mahu
mainkan perasaan penonton. Isu rasional pemikiran orang biasa ini sangat
penting diberi perhatian. Beberbeza dengan rasional penulis sendiri... ianya
hampir tidak ada hadnya. Apa nak tulis... tulis... Langit berwarna jingga pun
boleh diwujudkan.
Tema yang sama dibawa Aida Othman dan penulis-penulisnya. Si Adik
terpaksa menanggung beban kerana lambat ke sekolah sementara menunggu abangnya
balik sekolah untuk mengambil bajunya. Daripada memberi penyelesaian di awal
babak, penulis-penulis Aida mahu menjarakkan pengetahuan penonton kenapa dia
selalu datang lambat sampai ke akhir cerita. Apa yang penonton dihidangkan
adalah dia lambat ke sekolah. Aktivitinya, ada kalanya dia menjual nasi lemak
dan bermain dengan abangnya. Si adik atau Jali ini tidak puas hati dengan
kesusahan hidupnya. Perangainya makin hari makin kurang ajar. Cakapnya lepas.
Kita melepaskan semua ini kerana itu perwatakannya dan itu kesusahan
yang ditanggungnya.
Bagaimanapun, apabila mempersoalkan rasional penceritaan, maka kita
terhimpit untuk menjawab banyak soalan.
Cerita ini cerita Si Jali. Tidak ada watak lain yang lebih ketara dari
watak Si Jali yang makin ditengok makin kurang ajar jadinya. Apabila kita
menjarakkan sesuatu penyebab maka kita harus pastikan penceritaan yang kita
bawa ini begitu mengikat perhatian penonton. Penonton boleh diikat melalui
kekuatan watak, plot yang naik turun, perasaan ingin tahu, rasa suka, rasa
benci pada watak-watak dan pengharapan penonton yang sedang menonton. Cara
mengikat ini tidak ada hadnya.
Secara kasarnya, cerita ini longgar dalam cara mengikat hati penonton.
Ianya berjaya menonjolkan bakat lakonan pelakon tetapi tidak dapat mengikat
penonton.
Minit pertama mahu ditunjukkan adik kena rotan kerana lambat.
Penerangannya di akhir cerita. Maka keseluruhan cerita harus betul-betul
mengikat penonton untuk bergerak ke arah penyelesaian.. kenapa dia lambat. Maka
segala babak-babak perantaraan haruslah begitu dramatik dan menghiburkan. Boleh
dibawa menjadi satu pengembaraan yang menghiburkan. Tetapi tidak! Saya
mengharapkan ini dari kumpulan adik saya ini. Dia banyak kenal orang pandai pandai dalam
dunia drama.
Sebelum kita pergi lebih jauh haruslah melihat sedikit kepada jalan
cerita. Cerita berkisar kehidupan dua adik beradik kematian ayah dan terpaksa
tinggal dengan ibunya yang cacat. Hanya hidup dengan menjual nasi lemak. Abang,
darjah enam sekolah pagi dan adik sekolah petang. Hidup mereka daif.
Tidak ada watak lain yang menonjol di dalam cerita kecualilah watak
Jali. Si adik yang kena rotan. Si adik yang bermasalah. Si adik yang menempik
ibunya. Yang kurang ajar dengan abangnya. Si adik yang ingin makan ayam dan
jemu makan nasi lemak di rumah. Si anak yang banyak akalnya. Si adik yang tidak
ikhlas dalam memberi bantuan kepada orang. Si adik yang sakit di rumah.
Semuanya cerita si adik. Watak-watak lain tenggelam langsung.
Daripada menyukai watak dan bersimpati dengannya, kita menjadi benci
kepada watak ini. Inilah yang terjadi dalam cerita ini. Dahlah penampilan
nampak seperti seorang yang keterlaluan kurang ajar perangainya. Kalaulah ini
yang mahu disampaikan kepada penonton maka ianya berjaya. Watak Jali makin
dibenci. Kalau mahu penonton bersimpati dengannya, hmm...... agak jauh
menyimpang. Saya mengajak anak saya menonton. Seorang anak gadis berumur 14
tahun. Isteri saya di sebelah saya. Sementara isteri saya begitu benci dengan
watak yang dibawa Jali, anak gadis saya berpendapat sifatnya terlalu kurang ajar.
Dia langsung tidak suka pada karektor yang dibawa. Mungkin benar kerana apa
yang saya ajar kepada anak saya adalah pantang untuk meninggikan suara kepada
saya dan emaknya. Berlaku baik pada binatang dan manusia tanpa mengharap
balasan. Mungkin ideologi Mahadzir Othman ini menutup rasional lain kehidupan
manusia lain pada dirinya.
Watak-watak lain tidak ada kepentingan langsung dalam Maafkan Saya
Cikgu. Mereka semua adalah watak pembantu. Kehadiran mereka sekadar
melengkapkan apa yang harus dilakukan Jali. Malah Jali adalah watak utama yang
dominan. Watak cikgu Zamarul yang
merotan Jali. Hadirnya cukup untuk merotan dan memaafkan. Watak emaknya yang
cacat kakinya, cukup untuk kadang-kadang muncul untuk melengkapkan keperluan
perwatakan Jali. Jun, abangnya ada sedikit kelainan. Mengimami sembahyang dan
ceria selalu. Malangnya watak yang dibawanya tidak langsung menyentuh perasaan
ketika menonton. Ayah mereka muncul sekali sekala... tidak sempurna sifat
keayahannya. Tidak meninggalkan 'impact' yang besar untuk memori anak-anaknya.
Apa yang berlaku di sini adalah kegagalan untuk memberi perwatakan
kepada watak watak lainnya untuk menyokong satu watak utama ini.
Kita sudah letakkan ibunya cacat kakinya. Kerana apa... kerana rumah
terbakar. Suaminya mati. Objektif kita adalah mahu menyentuh perasaan penonton.
Mahu meninggalkan kesan dijiwa mereka. Sayangkan watak... bersimpati dengan
watak. Itu sangat penting kepada penulis.
Kita mahu memainkan isu kakinya cacat. Kadang kala mahu tunjukkan
masalahnya bila ianya cacat. Mahu anaknya mengambil tanggungjawab lebih tinggi
kerana kakinya. Benda begini sudah di bawa ke cerita. Maka mainkan isu ini.
Kalau mahu contoh lebih baik.. saya berikan.... setiap hari memerah kelapa.
Menggoreng ikan bilis atau menggiling cabai. Bukan kerja mudah. Awal pagi lagi
sudah bangun. Buat nasi lemak untuk anak. Untuk cari makan. Kalau hidup
susah... kayu api mesti dicari. Jatuh sana sini mencari kayu api untuk memasak.
Bila memasak kadang kala minyak atau air boleh tertumpah. Banyak sangat benda
yang boleh dimainkan untuk memikat penonton apabila kaki itu cacat. Tambahan
kalau yang memerhatikan adalah anak-anaknya. Penonton boleh ditambat dengan
menunjukkan keakraban hubungan ibu anak dan sifat penyayang mereka sesama
sendiri. Kalau pun mahukan watak Jali itu tidak begitu mahu mengambil berat
ibunya. Rasa penonton harus diikat dan dimainkan.
Saya kasihankan Sherri Merlis. Rasanya bukan senang mengambil dia
berlakon. Bila dapat maka sepatutnya diberikan watak yang betul-betul menambat
hatinya. Sayang sekali wataknya hanya di sudut belakang frame penggambaran. Di
depan sentiasa ada si Jali.
Watak si ayah. Hmmm... sekali sekala muncul. Saya rasa mahu penonton
menjiwai bahawa dia seorang bapa yang penyayang. Tidak berapa menjadi. Tidak
cukup touching. Tidak cukup penghayatan pendramaan. Babak sudah ada tetapi
gagal mendramakan perwatakan untuk meninggalkan impact yang besar kepada
penonton. Contohnya.... Jun berbual dengan ayahnya di anak tangga. Pengharapan
ayah kepada si anaknya. Scene ini sangat penting kerana Jun sangat rapat dengan
ayahnya. Mereka boleh berbual apa sahaja dalam dunia ini. itu kenangan buat
Jun. Tetapi kalau mahu menyentuh perasaan penonton.. maka ambil situasi paling
biasa dan jitukan dia. Contohnya... selesai cakap... hah, pakai kasut tu. Tapi
si ayah yang mengambil inisiatif untuk menyarung kasut ke kaki anak. Mengikat talinya
perlahan. Diperhatikan si anak. Penuh sayang. Penuh kagum. Si ayah memberitahu
si anak, dia mahu anaknya mampu menyarung kasut ke kaki adik dan emaknya. Impact
scene begini besar. Apa yang berlaku cumalah dua beranak duduk di anak tangga
dan berbual. Tidak ada aksi menyentuh perasaan. Pengarah atau penulis
mengharapkan penonton menjiwai watak dan tidak membawa penonton menghayati
'moment'.
Satu lagi scene ayah. Anak memberi kad kemajuan kepadanya. Si anak
cemerlang belaka. Sudah sedia maklum. Tidak ada apa-apa kerisauan pada mereka
mengenai prestasi mereka. Cara pembawaan patutnya lebih ceria. Daripada mereka
terkedik mahu menawan penonton untuk mengikut apa perkembangan selanjutnya
sepatutnya mereka 'control' atau mengongkong persembahan. Mereka sepatutnya
berlari kejar mengejar, potong memotong untuk menyerahkan kad kemajuan kepada
bapa mereka. Mereka tahu mereka pandai. Ibu mereka tersipu-sipu keseronokan.
Anak mereka bijak. Ayah mereka sudah terfikir... hmm... aku kena beli apa pula
untuk mereka. Benda begini sepatutnya dilainkan dari kebiasaan babak yang biasa
difikir penulis biasa. Pelakon memainkan watak dan mengongkong set. Bila perlu
sahaja.....
Babak di mana si adik mengharapkan video game dan kona abangnya yang
minta. Sudah ada kelainannya. Tetapi
ianya agak klise. Tidak ada magik. Magik dalam penceritaan cumalah kalau si
ayah mendengar perbualan kedua dua anak yang bercakap mengenai gameboy rakan
mereka. Mungkin cakap pasal nak pegang pun tak bagi. Terfikir si ayah, anaknya
juga ada keinginan lainnya. Magiknya, kerana membeli gameboy atau ps2, dia
balik lewat dan gagal menyelamat rumah yang terbakar. Kalau mahu dipanjangkan
ke situ. Elemen magik di sini adalah pemerhatian orang ketiga kepada soalan
pokok. Biasanya ia boleh menyentuh perasaan penonton.
Hmmmm... pada saya, penulis kita biasanya boleh memikirkan idea dan
babak untuk menulis cerita mereka. Mereka cuma tidak dapat memberi 'hidup' atau
rasa pada babak yang cuba ditonjolkan. Tanpa menjerit tanpa bersikap kurang
ajar, mereka tidak mampu untuk menyentuh perasaan penonton.
Saya berhenti di sini.. kerana saya belum menyentuh sudut editing yang
kelam kabut pada pertengahan cerita... Saya belum menyentuh kekuatan cerita
dalam menghubungkan unsur mula dan unsur akhir.....
No comments:
Post a Comment