Hujan Malam Itu: Satu
pandangan dari sudut penceritaan dan arah drama RTM
Karya : Sabri Yunus
Arahan : Sabri Yunus
Terbitan: Saujana Media
Setelah beberapa lama
berhenti menonton drama Melayu, saya terbawa untuk menonton sebuah drama RTM,
slot popular Sabtu malam, 9 April 2016. Tajuknya Hujan Malam Itu menarik
bunyinya. Ceritanya mudah, seorang wanita yang alim orangnya telah diperkosa
orang yang tidak dikenali ketika ditinggalkan berseorangan di rumah di waktu
hujan lebat. Malang bagi wanita tersebut, dia dikahwinkan dengan lelaki yang
sama yang memperkosanya.
Kedengaran klise benar bunyinya. Tema biasa tahun-tahun
drama atau filem-filem tahun 1970-an. Cerita yang dibawa mengikut urutan.
Menonton Hujan Malam Itu sama lah seperti melihat Ed Osmera berlakon dalam
filem Bukan Salah Ibu Mengandung dalam tahun-tahun 70-an. Atau filem-filem serius
WD Mochtar dan Ratno Timeor pada tahun-tahun yang sama.
Saya sebut
tahun 1970-an kerana corak penceritaannya sama dengan drama-drama era yang
sama. Tidak ada kelainan dari jalan ceritanya, urutan plotnya dan susunan
konfliknya. Menonton drama Hujan Malam Itu seperti menonton filem atau drama
tahun 1970-an.
Persoalannya,
baik atau buruk drama-drama tahun 1970-an? Jawapannya, tentulah buruk dan
lembab. Urutan plotnya sangat rapat antara satu babak ke satu babak. Ia menjadi
satu kronologi urutan masa dan kejadian. Hujan Malam Itu bukan satu cerita yang
mahu membawa penonton menangis dan tetawa bersama tetapi ia lebih merupakan cerita
yang mahu menyukat masa. Bermula dengan kejadian rogol sehinggalah terpisah
suami isteri! Selepas kejadian rogol, mesti kejadian sedih, selepas sedih mesti
ada sedih dari bapa, kemudian diikuti sedih oleh abang, diikuti pula dengan
hasrat mencari jodoh si ayah dan abang secepat mungkin lalu diambil orang yang
tidak dikenali di masjid. Diberinya kerja dan akhirnya si anak tidak dapat
menerima suami yang dipilih kerana dialah orang yang memperkosanya. Peluang
untuk bertaubat dan berlaku baik untuk
kesemua wataknya, dengan kesudahan yang baik nampaknya ditutup dalam Hujan
Malam Itu.
Dari segi pengarahan ianya adalah baik. Sabri Yunus
berjaya mengarah dengan baik. Ada beberapa shot yang tidak begitu baik dan
gagal dalam menyampaikan maksud shot tetapi secara keseluruhannya, ianya adalah
baik. Cuma peneliti audio mungkin tidak peka apabila pelakon 'mumbling' membuat
tidak siapa tahu apa yang dikatakan pelakon. Mungkin juga peneliti audio tidak
boleh berbuat apa-apa kerana yang mumblingnya adalah pengarahnya sendiri.
Entahlah.
Dari segi penceritaan, Sabri Yunus masih banyak perlu
belajar kalau mahu lari dari penulisan era 70-an. Sudah lebih 50 tahun, takkan
drama kita masih di tahap yang sama.
Apabila selesai menonton drama ini, saya terfikir, ke
mana arahnya drama kita selepas 70 tahun wujudnya RTM. Masih mahu di tahap lama
ke? Apa jadi dengan sistem penilaian dan penerimaan cerita melalui pitching.
Nampaknya... tidak ada kesudahan dengan masalah konten dalam penceritaan.
Setelah 70 tahun hidup, RTM sepatutnya sudah terkenal
seluruh dunia dengan cerita yang sangat bermutu dan rancangan-rancangan yang
menarik yang memberi pengharapan kepada negara dan masyarakat. Sepatutnya
begitu. Malangnya.... RTM cuma seronok dengan angkanya 70 tahun. Begitu lama di
dalam industri! Konten ceritanya tidak ke mana.... Malang sekali untuk negara
kerana sebenarnya, RTM tidak ada arah untuk dituju. Kalau tidak tentu
drama-dramanya menjadi sangat bermutu.
Balik kepada Hujan Malam Itu. Ceritanya draggy. Tidak ada
keindahan dalam penceritaannya. Saya selalu ulang dan ulang lagi. Dalam
sesebuah drama yang bermutu mesti ada magisnya. Magiknya terletak kepada unsur
pengembaraannya, unsur humornya, unsur pengorbanannya dan akhirnya unsur
percintaannya. Saya sebut dan sebut sekali lagi... unsur pengembaraan adalah
untuk menunjukkan satu jalinan cerita yang bergerak, membuat penonton
tertanya-tanya, apa nak jadi selanjutnya, bagaimana wataknya mahu selamat...
Penonton boleh terbawa dengan suspen dan persoalanan, kalau unsur ini digarap
dengan baik.
Unsur humornya, walaupun dalam cerita yang sedih, mesti
wujud. Ini memberi ruang kepada penonton untuk berehat jiwa dan minda kerana
masa bercerita adalah 2 jam. Dua jam melayan cerita yang meleret adalah
tersangat membosankan. Dalam cerita-cerita hindustan, tamil, hollywood atau
kebanyakan cerita dalam dunia ini, ada diupah pelakon komedi untuk menjayakan
sesetengah babak. Untuk penulis yang pandai, tidak perlu ditambah watak komedi
tetapi senarionya boleh dihumorkan...
Unsur pengorbanan adalah sangat penting dalam mana-mana
drama. Inilah detik di mana jiwa penonton disentuh. Semangat dan kepercayaan
penonton dikupas sama ada dengan perlahan melalui susunan beberapa babak atau mendadak
mengikut ketelitian penulis. Pengorbanan boleh dilakukan di dalam drama ini
ketika Zara Zya merasa sakit dan pening tiba-tiba. Si suami boleh mengendong
isteri yang tidak mahu bersamanya (kerana rasa bersalah dinoda). Kalau tidak
mengendong pun, si suami boleh menunjukkan sifat keterlaluan ambil beratnya
sehingga tidak sedar tangannya (kaki, kepala, mana manalah!) luka atau berdarah
kerana sesuatu kecederaan. Ini boleh menyentuh perasaan penonton.
Tujuan menulis atau bercerita adalah untuk membawa
penonton menghayati penceritaan. Tugas penulis adalah untuk membawa rasa dan
semangat penonton ke arah penceritaan. Bukannya memaksa penonton memahami
melalui kronologi urutan kejadian.
Unsur percintaan bertujuan untuk membawa penonton
menyentuh sudut kecil hatinya. Penulis harus mampu membawa penceritaan dengan
mengaitkan unsur percintaan dari kebencian atau dari kosong sehingga tergerak
cintanya. Cinta boleh kepada ayah, boleh kepada ibu, boleh kepada suami, boleh
kepada isteri, boleh kepada anak, kawan sebagainya... Pandai-pandailah penulis
memilih untuk mempertengahkan unsur-unsur ini.
Malangnya, penulis di dalam Hujan Malam Itu gagal di
dalam mempertengahkan empat elemen ini di dalam penceritaan.
Kalaulah drama ini ditonton pada tahun-tahun 70-an tentu
ianya begitu menambat perasaan.
Bagaimanapun, zaman sekarang.. kita sudah terlalu lama disumbat dan
ditatang dengan pelbagai cerita dari luar dan dalam. Tentu kita tidak mahu lagi
melihat cerita dengan idea idea klise tetapi kita mahukan sesuatu yang lain
dari yang lain. Hujan Malam Itu tidak ada kelainan!
Sepatutnya, apabila babak rumah dicerobohi dan diperkosa
cerita ini di bawa ke hadapan setahun kemudian. Lebih banyak pengorbanan,
percintaan dan humor menanti kalau ianya dibawa setahun atau 8 bulan ke
hadapan. Bayangkan, Zara Zya sudah berkahwin dan sarat mengandung. Suami masih
tidur di luar, di ruang tamu walaupun sudah sekian lama berkahwin. Pembantu
kedai basuh kenderaan boleh memberi humor kepada penceritaan.
Zaman telah berubah, idea juga perlu berubah. Fikir lah
sesuatu dengan 'simple' sebolehnya kemudian fikirkan sesuatu mengenainya di
luar kemampuan penceritaan. Kaedahnya, apa yang belum orang fikir... apa yang
mahu menyentuh pemikiran orang. Bagaimana mahu membuat penonton turut bersedih...
dan sebagainya.
Untuk saya, masih banyak yang perlu dipelajari dalam
kaedah penceritaan oleh penulis Hujan Malam Itu.
No comments:
Post a Comment