OLA BOLA: SATU PANDANGAN DARI
SUDUT PENCERITAAN
Banyak saya dengar mengenai Ola Bola dari kawan-kawan penggiat seni
lakon layar. Banyak yang positif yang memberatkan kejayaan formula masyarakat
majmuk dipertengahkan dalam sesebuah filem Malaysia. Dari segi konten utamanya,
ramai yang mahu formula ketiga bangsa diserapkan dalam pembikinan mana-mana
filem kerana itu sebenarnya Malaysia dan itu kononnya, menjamin kejayaan.
Sebagai penulis dan juga orang yang biasa mengkritik filem dan drama
(pernah menjadi wartawan hiburan The Star satu masa dahulu), saya terbawa untuk
menontonnya. Tujuannya, ingin merasakan sedikit semangat cintakan negara dan
melihat bagaimana keserasian perpaduan kaum dikupas dalam filem Ola Bola. Saya
pada awal lagi, bagaimanapun menahan diri untuk menonton kerana ada sedikit
phobia bila menonton filem Malaysia. Biasanya, filem Melayu ceritanya 'flat'
atau landai dengan cakap-cakap kasar. Kadang kala menjunam plotnya. Bagaimanapun,
digagahi juga menonton dengan menanam semangat yang positif, saya keluar
mencari DVD Ola Bola. Lagipula saya mahu menontonnya kerana ianya ditulis
penulis muda (rasanya) kerana cuma tercatat idea asal dari Chiu Keng Guan, saya
mahu memberi sokongan. Mana tahu mereka lebih baik dari penulis-penulis lama
seperti saya dan industri (penulisan) kita berada di landasan yang betul.
Ini pendapat saya selepas begitu teliti menonton.
Mula sekali biar saya beri satu puji kerana yang tak pujinya terlalu
banyak.
Pelakon utamanya sangat bagus lakonannya. Saya memuji serta menepuk
tangan kepada JC Chee dan Saran Kumar A\L Manokaran. Saya bagi A pada lakonan
mereka. Apa yang dikehendaki pengarah (rasanya) dipenuhi mereka walaupun ada banyak
kelemahan dalam teknik pengarahan. JC Chee berjaya membawa watak seorang ketua
pasukan bola yang tertekan antara ego dan sumbangannya pada masyarakat dan
negara. Begitu juga dengan Muthu yang begitu bersungguh-sungguh cuba menghidupkan
watak Muthu, anak seorang taukeh kelapa yang sangat komited menjadi penjaga
gol. Saya suka melihat mereka berdua berlakon.
Pengarah seninya juga rajin. Cantik apa yang diusahakannya.
Biasanya kalau kita nak menilai filem mengenai bola maka terpaksa tidak,
terfikir kepada filem Stallone; Victory
yang diterbitkan pada tahun 1981. Cerita POW dalam tahanan Jerman perang dunia
kedua bersemangat melawan pasukan 'soccer' penjara Jerman. Antara nama popular
yang berlakon termasuklah Pele, lagenda bolasepak dunia dan Michael Caine. Ada
sebuah lagi filem sukan yang menarik tetapi ianya filem American Football, The Replacement lakonan Keanu Reeve dan
Gene Hackman. Saya sangat suka dengan filem ini. Terlalu baik cara pengarahan
dan apa yang disampaikan.
Hati saya bagaimanapun lebih terpaut pada lakonan Robert Redford dan
Robert Duvall dalam The Natural (1984).
Itu satu-satu filem sukan yang sangat menyentuh perasaan. Banyak lagi
filem-filem sukan yang sangat menarik dan berjaya menimbulkan detik cemas
kesukanan (biasanya dalam permainan bola keranjang) yang terlintas di kepala
apabila menonton filem sukan. Kerana saya sendiri peminat filem-filem sukan
maka saya mahu melihat aspek-aspek yang positif seperti pengorbanan setiakawan,
kegigihan berusaha menjadi yang terbaik, melawan arus biarpun tidak ada
langsung peluang untuk menang dan sedikit gelak ketawa dalam filem Ola Bola.
Selesai menonton bersama anak perempuan saya, saya bertanya kepadanya,
'macamana Cha, seronok ke tidak?' Jawab anak saya, 'Cha tak tahulah Daddy, Cha
dah mengantuk!"
Sampai macam tu sekali dia jawab. Tak tahu seronok ke tidak. Yang
sahih, dia mengantuk selepas tengok cerita Ola Bola. Sebenarnya, saya pun sama
juga seperti anak saya. Mengantuk hampir keseluruhan waktu menonton filem Ola
Bola. Ceritanya begitu 'flat' dan tidak lari dari kebiasaan filem Malaysia
lainnya. Oppps... sama juga seperti filem Melayu lainnya!
Walaupun mengantuk dan terasa bosan dengan perkembangan filem Ola Bola,
saya bergerak juga ke dapur untuk membancuh teh agar saya boleh menontonnya
dengan sedar dan rasional. Bila kembali ke depan TV saya rewind balik ceritanya
agar tidak terlepas sesuatu apa pun.
Tahlah, niatnya betul untuk menampakkan keceriaan dan semangat
masyarakat Malaysia. Kita mesti mengakui bahawa kita ini berbilang bangsa dan
hidup aman damai antara kaum dengan misi dan perjuangan yang sama dalam menjadi
rakyat Malaysia. Maka pada konsepnya, ianya adalah baik.
Pada penceritaan, ianya
hambar! Gagal memberi semangat yang diperlukan dalam sesebuah cerita sukan atau
cerita patroitik.
Apa yang sangat miskin dalam penceritaan adalah seni bercerita. Orang
putih kata 'The art of story telling'.
Niatnya ada belaka. Cara penyampaiannya longgar dan sempit. Imaginasi-nya
biasa!
Contohnya, adik si Muthu memberitahu ayahnya dia memerlukan kaca mata
yang baharu kerana apa yang dipakainya sudah tidak sesuai. Bercakap dalam
bahasa India, OK. Tak ada masalah. Babak ini membawa kita kepada premis ayah
Muthu dengan lori mengangkut kelapa untuk di jual, di ladang kelapanya. Muthu
dan adik-adiknya membantu. Tiba-tiba muncul si adik Muthu memberitahu ayahnya,
gurunya menyuruh membeli kaca mata baharu. Ayahnya menolak, tidak mahu
berbelanja lebih. Tiba-tiba muncul Muthu memberi wang kepada adiknya untuk
membeli kaca mata. Niatnya sangat bagus dan boleh menjadi babak mengharukan.
Tapi kerana terbawa dengan unsur tiba-tiba.... maka hancur niat dan babak ini!
Jadi kartun unsur tiba-tibanya.
Dalam seni bercerita, babak begini sepatutnya dimulakan dengan babak
lain bagaimana Muthu mendapat bayaran daripada hasil permainan bolanya.
Bayarannya sedikit. Maklumlah tahun 1980. Muthu terlalu menyimpan hasrat mahu
membeli sarung tangan baharu untuk menjadi penjaga gol yang jauh lebih baik
(jadi adalah motifnya pada babak akan datang, Muthu diberi sarung tangan oleh
rakannya). Cuma tambah dua babak yang pendek, mesej penyampaiannya menjadi
lengkap, tersusun dan menyentuh perasaan! Lagipula, seni penceritaan adalah
mahu penonton merasa bersama, kesusahan Muthu. Bukannya muncul tiba-tiba dan memberi
duit kepada adiknya. Maka tidak ada sedikitpun rasa terharu penonton. Malah, macam
memaksa penonton terharu!!! Bukan membawa penonton... tetapi memaksa! Babak
sudah elok..... cara penyampaiannya meleset. (Lagipula, tidak sekali pun
disematkan 'insert' reaksi Muthu apabila adiknya bercakap dan kekesalan adiknya
kerana permintaannya gagal. )
Cerita ini berpaksikan kepada apa yang berlaku tahun 1980.
Jackie Chan sangat popular akhir tahun 1970an. Jackie Chan adalah
sensasi nasional! Malah rambut Chin An iaitu 'Taukeh' pasukan bola sepak
negara, rasanya sama benar dengan rambut Jackie Chan. Entah siapa ikut siapa.
Malah ramai orang tidak kira Melayu, India atau Cina begitu berminat memakai
kasut kungfu Cina dan baju t pagoda untuk mengikut Jackie Chan dalam filem Drunken Monkey In The Tiger's Eyes atau Snake
in The Eagle's Shadow. Lionel Ritchie yang disebut dalam cerita tidak
muncul dengan album sulung solonya sehingga tahun 1982. Dia masih di dalam The Commodores
pada tahun 1980. Jadi fesyen misai Lionel Ritchie masih belum begitu popular
sehingga dia menerbitkan album Truly-nya dua tahun daripada cerita ini kononnya
disasarkan. Bagaimanapun dia begitu popular dengan lagu Three Times a Lady bila
bersama The Commodores (1968-1980). Salah satu watak di dalam cerita Ola Bola
meniru fesyen misainya. Kalau tidak mahu memeningkan kepala, paling tidakpun
kata dia mengikut fesyen Hutch dalam Starsky and Hutch (1975-79). Drama ini
masih ditayangkan di Malaysia pada tahun 1980-an. Atau meniru Tom Selleck dalam
Magnum PI (1980-1988). Lekeh-lekeh pun,
misai taring Arumugam dan Alleycats pun sangat popular tahun 1980-an.
'Point' di sini, cari kesukaan orang di zaman itu dan pada ketika itu.
Maka orang yang menonton boleh terikat dan dalam bahasa orang putih, 'relate'
dengan nostalgia zaman tersebut. Pasang lagu Barry Manilow atau lagu-lagu The Commodores
sebagai latar bunyinya. Tentu ramai yang terharu. Setidakpun Deep Purple yang
sentiasa evergreen.
Ada empat unsur dalam seni bercerita yang tidak boleh lari dari menjadi
intipati drama atau filem. Unsur humor, unsur 'adventure', unsur keperwiraan
dan unsur 'romance'. Unsur ini mesti ujud dalam sesebuah filem untuk menjadikan
ianya filem yang menghiburkan dan berjaya.
Bukannya unsur sebegini main tangkap muat sahaja tetapi ada tujuannya
dalam penyampaian.
Unsur humor membuat kita sayang dengan wataknya (contohnya Stallone
dalam Victory cuba berjenaka untuk menyenangkan kawan-kawannya). Unsur ini juga
memberi ruang bertenang dan berhibur kepada penonton. Filem Ola Bola tidak ada memberi
ruang langsung untuk unsur humor. Bagi saya, ketiadaan unsur ini membuat filem
ini bosan. Penonton tidak ada masa merehatkan minda semasa mengikuti filem 90
minit ini. Sentiasa 'flat' sahaja rasa hampir 90 minit. Akbatnya juga, tidak ada rasa sayang kepada
watak-watak yang diketengahkan.
Kegagalan bercerita adalah apabila kita gagal menyayangi, bersimpati
atau menyukai watak-watak. Itu kegagalan besar sesebuah filem!
Unsur 'adventure' nya ada diketengahkan. Tujuan unsur ini membuat
sesebuah cerita itu bergerak dan sukar dibaca apa yang akan berlaku. Bagaimanapun
tersangat longgar dan bersentak (jerking) cara penyampaiannya. 'Adventure' yang
cuba diusahakan di dalam filem ini tidak berkaitan antara satu babak ke satu
babak. Sangat menghampakan!
Satu lagi unsur yang penting untuk digunakapakai dalam penceritaan adalah
'romance'.... Cintan atau kasih sayang. Tidak semestinya kasih sayang antara
teruna dara...., though preferably begitu...
hehehe. Kasih sayang kepada emak atau keluarga atau kepada sahabat atau
kawan boleh menjadikan sesebuah cerita itu tidak padam dek zaman. Semua orang mengharap
sangat mahu melihat sesuatu tentang Cintan. Kerana jiwa penonton menuntutnya. Unsur
cintan ini biasanya membuat penonton terharu dengan babak dan perwatakan. Boleh
sedih dan gembira bersama.
Malangnya, tidak ada langsung! Kalau ada pun, gagal utk difahami.
Unsur keperwiraan sangat penting dalam memperkuatkan watak. Ianya cuba dimainkan
dalam Ola Bola. Agak menarik peranan watak Sarbeth dan Kok Keong. Bagaimanapun,
cara penyampaiannya sekali lagi longgar. Tiba-tiba sahaja meletup sesuatu
perbincangan. Macam tidak merancang perjalanan plot dan main masuk sahaja
babak.
Chin An kata dalam satu temubual dalam suratkhabar, sebaiknya, Ola Bola
mengikut fakta sejarah. Apabila tempoh sejarah masih lagi dalam ingatan, maka
sukar untuk sesetengah orang menerima penipuan atau andaian ianya cerita rekaan
semata-mata.
Kalau saya yang menulis cerita ini, saya mulakan dengan sesuatu
kejadian yang mengharukan. Tetapi (sengaja
disalah tatabahasakan) cerita ini dimulakan dengan watak perempuan cantik yang
disuruh mencari cerita mengenai pemain bola tahun 1980. Sangat flat caranya.
Ini tidak termasuk langsung dalam teknik membina sesebuah filem sukan. Arwah
Zain Mahmud, bekas Ketua Pengarah Penyiaran pernah berkata, the first 5-minute
is so important in producing a film. Kalau bosan lima minit pertama maka
susahlah orang untuk mengikut pembawaan ceritanya. Bagaimanapun, dalam banyak
cerita-cerita yang memberatkan perwatakan, hollywood terbawa untuk menggunakan
teknik flat first five-minute.
Bagi saya, sebaiknya, mulakan dengan kematian salah seorang pemain
bola. Dialah pemain yang menyatukan semua pemain lainnya. Konfliknya, reporter
yang disuruh tidak nampak kepentingannya. Atau mulakan dengan faktur wira
sentiasa wira. Bila dah tuapun, bekas pemain bola masih mahu menyelamatkan
seseorang. Akibatnya, dia parah dan tenat. Maka masuklah karektor Bront
Palarae, pemberita dan kenalannya membantu untuk memenuhi satu impiannya. Could
be, jumpa kawan-kawan lama (1980s) atau bayar hutang lama kepada kawan. Nak
masukkan amoi cantik tu pun tak pa juga... jadi assistant..
Sedih diingatkan bahawa watak Palarae dalam Ola Bola sangat merepek.
Tak ujud pun tak apa. Tidak ada kepentingan langsung. Ia bagai satu cerita
asing tanpa ada kaitan langsung dengan cerita Ola Bola.
Cara pemilihan pemain kebangsaan tidak langsung disebut. Kepentingan
handal di peringkat liga negara. Diandaikan, pemain negara adalah tetap. Macam
negara kita ini adalah kecil sangat. Unsur konflik seperti penjaring gol
terbanyak musim liga dipilih masuk ke dalam pasukan kebangsaan tidak dimainkan
dengan baik. Konflik begini sangat penting dalam bercerita mengenai sukan. Apa
yang berlaku bagai tidak ada kajian dibuat untuk mencantikkan cerita. Benda
begini penting unsur memasukkan fakta strategi dalam permainan. Melawan pasukan
lain harus diadakan sedikit kajian. Faham musuh dan bagaimana mengawal mereka.
Tidak langsung disebut. Kita bukannya jadi juara kerana nasib tetapi kerana
taktik dan kesungguhan.
Kalau mahu berbohong mengikut Robert Ludlum, bohonglah atas perkara
yang benar. Dalam seni bercerita, alang-alang berbohong, biarlah begitu tidak
realistik penceritaannya. Hoolywood pun bohong besar tetap dilakukan dengan
cantik dalam Titanic dan Life of Pi.
Nak bohong cantik ni, ambil unsur mitos yang ada. Contohnya mitos Super
Mokh dikatakan menyepak bola terlalu kuat sampai penjaga gol lawan pun lari.
Betis Chin An tidak jatuh dicantas.... Tangan Arumugam terlalu cekap dan boleh
menyambar pisau yang dibalingkan kepadanya. Benda begini boleh dibawa ke dalam
cerita untuk membuat ianya menjadi 'memorable'. Cara latihan bagaimana menyepak
terlalu kuat. Nak masuk Olimpik, bukan sahaja mesti pasukan yang baik tetapi
pesertanya mesti terbaik! Jadi watak Kok Keong dilihat berlatih sehingga
kakinya kuat tidak berganjak kalau dicantas atau ditolak. 10 orang panjat pun
tidak tumbang. Kalau bertahan, tidak ada orang yang dapat melepasinya. Begitu
juga dengan watak Muthu. Mesti berlatih sehingga terlalu handal dia menjaga
gawang golnya. Contohnya latihan menyambut kelapa yang jatuh dari pokok di
kebun kelapa ayahnya.
Ola Bola mungkin berjaya dengan formula berbilang kaumnya dan gimmick
pemasarannya tetapi secara penceritaan ianya gagal. Tidak ada langsung magik
penceritaan dalam Ola bola! Ia begitu hambar sehingga laungan Ola Bola itu
sendiri pun tidak diketengahkan.
No comments:
Post a Comment