Wednesday, January 19, 2022

PENYALIN CAHAYA : WAJAR DITONTON

 PENYALIN CAHAYA (PHOTOCOPIER): LAYAK DITONTON SEMUA

Kali terakhir saya membuat sebarang write-up filem Indonesia adalah mengenai filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wyck yang ditulis Hamka. Sebuah kisah cinta yang agak pelik datangnya dari Hamka, seorang tokoh agama.
Kemudian, setelah berkurun yang banyaknya dihabiskan untuk menonton drama horror Indonesia dan seantero dunia, saya terlintas untuk melihat Photocopier, sebuah cerita Indonesia yang diarah oleh Wregas Bhanuteja. Sebuah filem Rekata Studio Keninga Pictures.
Ada baiknya saya beritahu di sini, filem ini memenangi 12 hadiah 'terbaik' di angerah Citra iaitu anugerah filem terbitan terbaik Indonesia. Termasuklah filem dan pengarah terbaik 2021. Filem ini juga adalah satu usaha yang begitu berhasil dari Wregas yang mahu menyentuh soal sexual harrassment atau gangguan seksual. Kita patut memberi pujian kepada Wregas kerana lebih setahun juga dia mengkaji segala aspek gangguan seksual dan segala akibat tertanggung olehnya. Inilah pada saya sesuatu yang begitu baik. Tak tahu pasal sesuatu perkara, buat kajian dulu. Biar benar-benar faham dan kemudian buatlah filem atau menulis mengenainya. Faham dulu. Bila dah faham banyak benda, kita mampu memberi yang terbaik.

Shenina Cinnamon

Saya kira, watak utama cerita ini, seorang perempuan Suryani, amat berkesan dilakonkan Shenina Syawalita. Tak adalah lawa sangat pun Shenina ini tapi gaya lakonannya menarik. Sangat menarik. Watak yang diberikan kepadanya itu sangat baik dibawa beliau.
Cerita ini bermula bosan! Amat amat bosan. Ianya bermula satu persembahan teater. Kumpulan yang disertai Suryani ini menang dalam pertandingan teater (peringkat Universiti) dan melayakkan mereka untuk ke Tokyo. Pada saya lah, apa lah sangat satu persembahan teater sebagai titik mula. Lebih nak menampakkan sebuah filem seni dari sebuah filem thriller suspen. Biasalah dramanya, tunjuk sekejap drama teater, menang dan sorak menyorak. Kemudian segala pujian diterima dari Universiti sebagainya. Masih lagi tak ada apa-apa yang menyentuh soal filem dan arah tuju filem. Tak tahu pun filem ini nak bawa kepada kes-kes gangguan seksual. Tak ada apa-apa special pun mengenai filem ini. Heroin yang tidaklah lawa gila! Manis adalah. Hitam hitam sedikit begitu. OK lah, dalam buku saya, saya tak mengurat! Hehehehehe.. kalau lalu berhampiran pun saya tak pandang. Rasanya, manusia biasa sahaja.
Kemudian mata saya tengoklah pelakon lain dalam filem. Hmmm..... yang lain pun tak ada seorang pun yang lawa. Hmmmm... memang tak ada langsung.
Jadi filem ini tentunya baiklah kalau tanpa pelakon lawa-lawa dia menang! Memang filem yang baik!
Filem ini tidak sebaik filem Korea seperti My Name atau ExtraCurricular. Dua buah filem Korea ini terlalu jauh meninggalkan filem Indonesia ini baik dari teknik bercerita, pergerakan plot luar biasa atau corak lakonan. Terlalu jauh. Bagaimana pun saya mahu memuji filem Indonesia ini kerana pace penceritaannya begitu slow dan sangat addictive.

Extracurricular Filem Korea


Ya, slow dan addictive. Macam mana tu? Boleh ke filem slow menjadi candu kepada penonton? Mahu membuat kita melekat pada depan skrin. Nak tahu perkembangan cerita.
Boleh! Dan ia dilakukan Wregas.
Kenapa dia boleh buat begitu?
Wregas membina sesuatu yang cerdik! Filem ini filem yang cerdik. Bukan filem kampung, hantu kak Limah, cerita zombie Melayu sebagainya. Biasa saja, tak perlu fikir dan hayati. Tengok saja dan enjoy. Gelaklah kerana bodohnya karektor dan clichenya pembinaan cerita. Tak mengapalah kerana ia filem komedi. Bodoh sikit tak pa... Filem ini dibina dengan cerdik. Kerana ia cerdik, kita memaafkan segala kelonggaran cerita.
Karektornya dibina dengan cerdik. Tak ada kata maki kotor keluar dari mana mana pelakon. Ia drama moden tanpa sebarang kata maki Mat Salleh. Tak payah cari, memang tak ada. Pengarah dan penulis amat teliti mahu menonjolkan aspek moral yang tinggi. Perwatakan di dalam filem ini bangsa Indonesia 'sedikit' berakhlak kalau songsang situ sini. Tu lah, siapa kata tak boleh membina filem yang baik tanpa kata maki Mat Salleh. Macamlah sifat 'natural' mereka itu penting sangat. Ini dibuktikan dengan cantik oleh Penyalin Cahaya ini.
Filem ini sebenarnya tidak kuat pada ceritanya. Ia cerita biasa saja. Seorang gadis yang pintar merasakan sesuatu yang tidak kena bila dia tidak sedarkan diri setelah menghadiri parti kejayaan kumpulan teater mereka. Gadis islam yang tidak pernah minum arak ini, minum buat kali pertama atas ajakan kawan dan teman. Akibatnya dia pengsan. Dari mabuk dan tidak sedarkan diri, dia dapati ada gambar-gambar tidak senonohnya di-viral-kan. Membuat dia kehilangan biasiswa universiti. Kerana biasiswa itu penting sangat, dia menyiasat apa yang telah berlaku. Dari satu kejadian ke satu kekecewaan ke satu kejadian sehinggalah dia mendapat tahu ketika mabuk, gambar-gambar bogel atau separa telanjangnya telah diambil seseorang. Lalu dia mencari siapa!

A scene of realization Penyalin Cahaya


Itulah ceritanya. Pasal biasiswa universiti dan permasalahan akhlak dari satu kesilapan sahaja. Kesilapan minum arak yang membuat bapanya sendiri mengusirnya keluar dari rumah. Betapa seriusnya masalah arak kepada orang islam. Terpaksalah gadis malang ini menumpang di bilik tingkat atas sebuah kedai fotokopi yang dimiliki kawan baiknya, seorang lelaki. Rasanya satu aspek yang mahu ditonjolkan Wregas bahawa lelaki dan perempuan boleh berkawan baik tanpa adanya niat tersirat lainnya. Hanya kawan.
Saya suka cerita ini kerana ianya cerdik. Setiap scenenya ada kepentingan dan ada sebabnya. Bukan main-main segala reaksi yang ditonjolkan. Semuanya ada sebabnya. Jadi kita tak boleh terlepas dengar atau pandang.
Kita jangan cerita apa yang berlaku. Mana seronok. Kena tengoklah sendiri. Apa pun saya bagi A kepada filem ini. Ia filem yang baik. Amat cerdik. Tengoklah dalam Netflix atas nama Photocopier.

Thursday, September 27, 2018

PASKAL: BUAT FILEM JADI DOKUMENTARI

PASKAL: BUAT FILEM JADI DOKUMENTARI

Satu-satu masalah besar dalam penulisan atau melahirkan karya adalah menjadikan sebuah cerita itu mengikut genre yang mahu diusahakan. Sekaligus menarik peminat dari genre yang dipilih menghayati cerita yang dipersembahkan. Gagal memahami genre dan diserabutkan dengan pelbagai informasi serta aspek-aspek teknikal sesuatu kajian yang dilakukan penulis akan menghancurkan cerita yang dibawa.  

Paskal yang ditayangkan di panggung wayang ketika ini adalah contoh terbaik cerita yang gagal memahami genre yang ingin dibawa. Ianya adalah sebuah cerita yang keliru di antara mahu menunjukkan sangat apa yang diusahakan pasukan komondo tentera laut dengan segala Standard Operating Procedurenya (SOP) dan dicaca marba dengan unsur drama dan kemudiannya cuba memasukkan unsur aksinya dalam keadaan cerita yang sudah menjadi dokumentari. Ia jadi sebuah doku-drama murahan seperti yang ditunjukkan dalam Nat Geo atau History Channel.

Menonton Paskal bagi saya amat membosankan. Ia bagai menonton cerita Prebet Badul di tahun 80-an. Formula yang digunakan adalah sama. Permulaan masalah dengan apa yang berlaku di Somalia apabila sebuah kapal yang diiringi pasukan paskal telah diserang lanun. Kemudian ia bergerak kepada latihan menjadi anggota Paskal yang baik. Latihan yang lasak. Akhirnya usaha untuk mematikan satu sindiket besar dari Filipina yang berani menyerang platform minyak negara. Ianya semata-mata menunjukkan satu SOP apa yang dilakukan tentera negara kita dalam menghadapi apa sahaja permasalahan.

Macam tengok cerita bomba padam api kebakaran. Mereka nak berbual mengenai tatacara mengikut prosedur yang betul. Kena padam api mengikut formula itu ini. Bila masuk menyelamatkan orang pula kena ikut cara-cara begini atau begitu. Ianya bosan untuk ditonton di panggung wayang. Tengok Nat Geo oklah!

Nak memahami cerita bomba yang lari dari jadi Nat Geo doku-drama atau Discovery, tengoklah Backdraft yang diterbitkan oleh Ron Howard. Tengoklah bagaimana permasalahan cerita itu hanya ditelitikan kepada dua watak utamanya dengan baik tanpa mahu membawa sebarang unsur dokumentari dalam drama. Ia menjadi sebuah cerita aksi kemalangan yang baik.

Bila agaknya cerita kita jadi dokumentari?

Jawapannya bila ia adalah Paskal!

Penulis membuat kajian yang mendalam mengenai unit Paskal kemudian mereka kehilangan arah untuk membentuk sebuah cerita. Cerita dibentuk bila mahu dimasukkan dalam segala SOP atau tatacara kelakuan kerja sebagai seorang anggota Paskal. Kalau diserang lanun apa nk buat? Kalau dalam operasi pengintipan apa yang akan dilakukan. Cerita atau perwatakan dimasukkan dalam segmen dokumentasinya.

Bila kita memulakan cerita dengan memikirkan soal tatakerjanya, ia akan membosankan dan tidak akan memuncak konflik atau elemen penceritaannya. Kita sepatutnya memikirkan soal cerita dulu kemudian barulah SOPnya. Bukan sebaliknya. Cerita Police Story Jackie Chan umpamanya. Cerita polis yang tentunya ada berbagai SOP. Mana ada Jackie Chan pakai SOP polisnya. Dia mahu melahirkan drama aksi jadi tumpuannya hanya terfokus kepada menimbulkan aksi yang menarik. Dia memikirkan soal kemalangan, permasalah yang mungkn dihadapi kalau orang ramai cedera. Bagaimana kalau orang jahat terlepas? Ditambah dengan pelbagai aksi pelik pakour Jackie Chan, cerita polisnya jadi menarik. Masuklah sikit bosnya marah dia tak ikut SOP.

Cerit Paskal terbalik. Ianya memang nak tunjuk apa yang tentera laut lakukan bila berlaku sesuatu kejadian. Jadi dimasukkan segala unsur mengarut pegawai besar berbual dengan menteri, apa yang berlaku di bilik kawalan. Bila nak guna kapal selam negara. Bila nak terjun dari kapalterbang untuk mengejar sasaran. Watak-watak dan permasalahan dimasukkan dalam segala SOP ini. Ianya bosan!

Samalah, dalam latihan menjadi anggota Paskal, apa yang hendak ditunjukkan. Lalu didramatikkan sikit tetapi usaha utamanya hanyalah nak tunjuk apa yang dilakukan dalam latihan sebagai anggota Paskal. Sekali lagi ianya bosan. Kalau saya nak tengok dokumentari Paskal mungkinlah menarik. Saya sebenarnya nak tengok cerita mengenai kecekalan pasukan tentera menjaga negara.  

Namun begitu, mungkinlah saya tersilap besar bila beli tiket. Nama cerita pun PASKAL. Tentulah nak megahkan Paskal saja dalam ceritanya. Mungkin juga ianya hanya sekadar dokumentari biasa sahaja. Ia tidak cuba untuk menjadi sebuah filem aksi. Cuma doku-drama mengenai unit Paskal sahaja. Masuklah cerita anggota tentera mati, isterinya dikahwini kawan baiknya. Platform minyak kena serang. Anggota Paskal kena buang kerana langgar peraturan.

Cerita mengenai latihan tentera dan bagaimana membentuk tentera sesebuah unti ini terlalu banyak di muka bumi ini. Nak cerita Korea ke, nak cerita Cina ke, India ke, Hollywood ke, banyak sangat. Tak larat kot nak tengok. Corak berceritanya sama sahaja. Jarang sekali nak keluar cerita yang bermutu mengenai tentera dan tugasnya kecualilah Star Wars. Hahahhaha.. jauh sangat saya perginya. Ya, Star Wars adalah drama peperangan. Drama tentera.  Ia drama yang baik kerana ia menumpukan kepada beberapa watak dengan baik. Heronya mesti nak belajar jadi Jedi yang baik. Hero keduanya akan berhadapan masalah disiplin untuk menjadi pemimpin tentera yang disegani. Ia tak sembang soal SOP ketenteraan sangat. Ia berbual soal perwatakan. Jadi kita suka menontonnya kerana ianya lebih mendekati kita sebagai manusia. Bukannya mendekati kita sebagai tentera. Nak buat apa, kita bukan faham atau syok sangat nak jadi tentera pun!

Dulu kala ada cerita mengenai Dirty Dozen. Cerita pasal beberapa orang pesalah tentera dikumpulkan untuk missi paling hebat dalam tentera. Mereka semuanya dalam senarai death row (hukuman mati). Penjahat tegar. Maka popularlah Telly Savalas dan Charles Bronson.  

Roger Moore keluar untuk berlakon dalam filem SEAL. Roger Moore ini adalah James Bond paling popular selepas Sean Connery. Dia membawa unsur kelakar dalam watak James Bond. Saya kira, orang yang paling pakar membawa watak sinis seorang pelakon adalah Roger Moore. Memang handal gila. Filem ini adalah mengenai anggota unit Seal dan permasalahan mereka. Ia bagaimanapun ditumpukn kepada watak utamanya membentuk sepasukan unit komondo tentera laut yang baik. Ia berkisar kepada melahirkan konflik dan cerita dan bukannya untuk menunjukkan operasi ketenteraan. Ia jadi drama yang baik.  

A Brigde Too Far, Midway, Tora-Tira dan banyak lagi cerita tentera adalah cerita yang baik-baik belaka. Tengoklah balik. Ianya kalau pun ada SOP tentera, ia mempersoalkan tentang keperwiraan dan sifat kemanusiaan. Ia berkisar kepada pengorbanan watak-watak.

Bagaimana penulis berfikir bila nak buat cerita tentera? Harus kah dia mengambil SOP ketentera dn berfikir untuk menggunakan SOP tenera dimasukkan ke dalam cerita? Atau.. dia harus memikirkan konflik atau bahan penceritaan, memperkuatkan perwatakan dan menyelesaikan permasalahan lalu dimasukkan mana-mana SOP tentera yang perlu. Perlu masuk semuanya ke, atau masuk sikit sahaja? Mana jawapan yang sesuai?

Jawapannya, terletak pada penonton yang mahu kita temui. Siapa target penonton kita?
Fahami penonton kita dan apa yang mereka harapkan barulah kita buat filem! Jangan buat cerita ikut apa yang kita kaji. Ia mungkin akan jadi dokumentari yang kadang kalanya bosan gila! Atau bahan syok sendiri sahaja. Kaji apa yang mahu melekat pada hati penonton.

Apa di sebalik kejayaan Munafik 2 dan Hantu Kak Limah? Adakah pasal Mamat Khalid dan Yusuf Haslam? Atau adakah kerana penonton kita gilakan cerita hantu? Mana satu jawapannya. Tentulah terletak kepada penonton. Kedua-dua cerita berjaya bermain dengan penerimaan penonton. Tidak bermegah dengan kemampuan pengkajian tetapi ianya menyentuh soal tanggapan penonton.

Paskal hanya dilahirkan kerana kajian yang mendalam. Ia lebih mahu menonjolkan kemampuan penulis dan pengarahnya menghadirkan ciri-ciri keupayaan ketenteraan dalam menghadapi sebarang siatuasi. Ia jadi cerita yang pada saya sangat bosan. Saya tersenguk banyak kali sangat dalam cerita ini.  Cerita yang tidak berkesan, pencahayaannya membuat kita mengantuk dan elemen dramanya hampir tidak kuat langsung. Saya hampir pasti tidak ada kekuatan drama langsung dalam cerita Paskal. Ianya cerita tentera macho saja.  






Saturday, October 29, 2016

Telemovie Malam Ku Bermimpi bukan 'Tribute' kepada P Ramlee



Telemovie Malam Ku Bermimpi tribut P Ramlee
Arahan;- Melissa Saila
Penulis Skrip:- Megat Fauzi Isa
Terbitan: Suhan Movie
Tarikh: 9 malam, TV2 RTM, 29/10/16

Entahlah bagaimana sepatutnya satu filem atau drama untuk mengingati sekaligus menghargai jasa seorang seniman agung yang telah pergi selamanya meninggalklan kita. Kalau sekadar mengingati P Ramle hanya tahap Malam Ku Bermimpi ianya agak menjengkelkan.

Apa yang dibawa Malam Ku Mimpi tidak sampai ke tahap menghargai jasa seniman agung P Ramlee.

Dialog yang disampaikan pelakon terlalu cepat disambut oleh pelakon lainnya dan nampak seperti mengada-ngada keterlaluan. Ini kelemahan utama drama ini. Tidak ada ruang diberikan untuk pelakon untuk berhenti seketika menunjukkan reaksi tertentu kepada sesuatu ucapan, lantas disambut mendadak lancar menyebabkan lakonan menjadi lakonan dan bukannya menjadi satu kehidupan masa silam. Contohnya di awal cerita lagi, Cikgu Zaiton mengejutkan Pak Dol yang sentiasa tidur di sekolah. Tidak ada reaksi dari cikgu akan apa dialog disampaikan, Cuma terus bercakap menyampai dialog yang terancang menyebabkan apa yang mahu disampaikan tidak sampai kepada penonton.  Kalau sampai pun, tidak nampak apa lawak yang cuba disampaikan.

Ceritanya mudah, Zaiton digilai ramai lelaki di kampungnya. Ramai yang masuk meminang, semuanya ditolak Zaiton kerana dia menyukai Karim. Masalahnya, Karim ada sumpahan ke atas keluarganya yang kononnya berturunan harimau memandangkan matanya berwarna lain dari kebiasaan warna mata penduduk kampung. Kemuncak kepada kegilaan kepada Zaiton ini adalah watak Man Nganga, yang kemungkinannya anak orang kaya kampung juga merangkap samseng kampung.

Lawak yang cuba disampaikan cerita ini adalah melalui watak-wataknya secara slapstik. Contohnya Man Nganga, mulutnya sentiasa ternganga. Watak pakcik sengau dan watak Pak Dol yang sentiasa tidur di sekolah buta huruf. Hendak ditambah komedinya, wujudnya gangguan harimau di kampung setiap malam yang membuat penduduk kampung ketakutan. Ditambah pula dengan gelagat Zaiton yang disampok segala jenis hantu. Satu hari menjadi puteri dan mengarah emak dan ayahnya. Hari lain pula dia menjadi burung, terbang ke sana ke sini. Hari lain pula menjadi gergasi mengamuk di kampung. Apa yang dimimpinya di malam sebelum, akan diubah wataknya kepada benda tersebut. Pendek kata wanita yang sasau.

Bagi saya cerita Malam Ku Bermimpi ini merepek dan menjengkelkan. Bosan teramat sangat kerana babak-babaknya merepek menggila dan sengaja diada-adakan. Mainan muzik latarnya tidak pandai dimainkan walaupun ada usaha mengubahnya dnegan lagu-lagu klasik dilakukan.  

Corak lakonan dan corak pengarahan adalah lebih rapat kepada pengarahan drama pentas di mana lakonan mimik muka dengan sebutan dialog adalah dikhaskan kepada lakonan watak semata-mata. Semua aksi dalam drama ini bagaikan satu aksi alam lakonan semata-mata. Watak yang benar-benar nampak realistik adalah watak ayah si Zaiton yang dilakonkan Omar Abdullah. Mereka yang lain semuanya berlakon!  

Tribute kepada P Ramlee, itulah aspek utama cerita dan laluan diberikan oleh RTM. Cara menyampaikan penghargaan ini terpulanglah kepada penulis dan syarikat yang ditawarkan amanah penghargaan ini. Satu amanah yang harus diambil berat dan harus diusahakan sebaiknya. Apa lagi menyentuh nama P Ramlee kerana peminat dan mereka yang menghargai jasa beliau adalah besar. Semasa saya kecil dahulu, pernah P Ramlee datang ke funfair berhampiran Titi Besi (titi gajah) Alor Setar dan saya pernah menyaksikan telatah P Ramlee di pentas. Amat menghiburkan. Ratusan orang mengeliling pentas dan rata-ratanya rasa terhibur dengan gelagat P Ramlee di pentas. Kalau mahu tribute ke atas P Ramlee diadakan, ambil sahaja situasi P Ramlee menghibur orang ramai. Cerita yang boleh dibuat adalah masa sebelum pertunjukkan pentas, masa ketika P Ramlee menghibur dan masa selepas. Banyak yang boleh dimainkan. Munculnya P Ramlee, apa lagi dia sendiri berbual dengan watak utama yang terlalu besar ahti dengan perwatakannya tentunya fenomenon.

Banyak lagi cara tribute boleh disampaikan. Contohnya, ambil salah satu lagu P Ramlee dan jadikan satu cerita. Mungkin band remaja yang sudah tidak diminati kemudian merancang untuk naik semula dan memilih lagu P Ramlee sebagai batu lompatan mereka. Tentu menarik.

Mungkin juga semangat Sarjan Hassan itu sendiri menjadi bekal semangat kepada beberapa pemuda untuk berjuang untuk negara dalam sesuatu bidang.

Paling tidakpun ambil salah seorang anak P Ramlee dan buat aspek penceritaan di sekeliling perwatakannya. Mungkin kawan lama di waktu kecil, mungkin kawan atau lawan di waktu remaja.

Begitu juga dengan kesusahan P Ramlee di zaman akhrinya boleh dijadikan iktibar dan tema cerita yang baik untuk mengingati jasa besar seniman agung ini. Terlalu banyak idea yang boleh dicari untuk mengingatkan P Ramlee, kalau susah-susah sangat, telefon saya atau mesej saya dan tanya apa idea yang perlu. 0173245654- kalau dah tak ada idea sangat, telefon saya!!!! Janganlah buat satu cerita yang tidak ada kena mengena dengan P Ramlee langsung dan yang ada sikit sangkut pun hanyalah lagunya saja. Merepek dan mengarut sepanjang cerita. Tidak ada kena mengena langsung dengan menghargai jasa P Ramlee. Itulah yang dilakukan Suhan Movie dalam cerita Malam Ku Bermimpi ini, terlalu mengarut dan merepek.

Apa yang sangkut dengan P Ranmlee cumalah zaman penceritaannya. Mungkin tahun 50 atau mungkin 60-an. Lainnya, tidak ada sangkut langsung dengan P Ramlee. Bagai satu cerita lain sahaja dengan tema yang lain iaitu usaha Zaiton untuk mengahwini Karim sehingga sanggup menjadi gila agar dilupai/ditakuti penduduk kampung. Mungkin ada yang mengatakan cukup kalau dibawa zaman P Ramlee untuk menghargainya iaitu dengan mengambil cara pemakaian, cara penyampaian percakapan dan hitam putihkan dramanya. Saya kata itu merepek jadinya dan tidak ada kena mengena langsung dengan P Ramlee kerana banyak filem-filem lain juga di zaman P Ramlee, antara yang jauh lebih popular adalah filem filem Ahmad Mahmud dan Nordin Ahmad. Mahu menghargai P Ramlee haruslah ada kena mengena dengan P Ramlee. Contohnyalah kalau mahu menghargai Tun Mahathir mestilah membuat satu filem yang ada sangkutnya dengan jasa beliau. Mungkin dengan Proton Saga, dasar pandang ke timurnya, Twin Towernya dan dimasukkan karektor Tun Mahathir dalam salah satu babak. Kalau tak pun, suaranya pun boleh. Apa pun lah yang ada sikit-sikit kait mengait dengan Tun. Jangan tunjuk sebuah cerita tahun 1988 tanpa ada kena mengena dengan Tun langsung.

Malam Ku Bermimpi mengarut!

Kalau mahu dipertimbangkan penilaian atas aspek kekarutan cerita ini maka ianya sebuah cerita yang baik dalam aspek karut dan merepeknya. Cara penyampaian dialognya walaupun tidak nampak profesional dalam bidang lakonan ianya baik. Tambahan watak bapa Zaiton yang dibawa Abdullah Omar. Siti Saleha boleh berlakon seorang yang merepek sebagai Zaiton yang gila dan digilai. Idea untuk berubah menjadi gila agar orang kampung menolaknya adalah baik tetapi boleh nampak dan dibaca. Watak-watak merepek orang sengau atau orang ternganga mulut adalah terlalu menjengkel di zaman sekarang. Kalau zaman dahulu mungkin ianya satu lawak besar. Orang zaman sekarang ada besar kemungkinan sudah dilatih untuk memandang mereka begitu sebagai orang yang patut disimpati bukannya diketawakan. Watak Man Nganga baik dibawa pelakonnya. Samseng dan boleh dibenci.

Saya tidak suka drama Malam Ku Bermimpi ini dan merasakan ianya menjengkelkan.

Sunday, October 16, 2016

Penulisan skrip drama TV : Memasukkan rasa dan mengelak writer's block



Menulis skrip drama TV dan mengelak writer’s block

Writer’s block atau sekatan penulisan kadang kala boleh membawa kebuntuan sehingga berhari lama. Ada kalanya berbulan. Biasanya terjadi kalau seseorang penulis menghadapi kebuntuan untuk membina ceritanya. Ini mungkin disebabkan masalah peribadi serta emosi atau kemungkinan penulis tidak memahami teknik penulisan mudah dalam pembinaan skrip. Tanpa mahu mengaitkan penulisan ini pada konteks permasalahan peribadi yang menyebabkan kebuntuan penulisan, tulisan ini lebih terdorong kepada penyediaan skrip bagi mengatasi kebuntuan dari sudut teknikalnya.

Aspek utama yang harus diambil kira setelah memilih genre penceritaan yang mahu ditulis adalah menetapkan dalam pemikiran bahawa ini bukannya drama radio tetapi ia adalah drama TV. Dalam drama radio, dialog dibina untuk menerangkan babak atau menyambungkan babak. Ia turut mencurahkan rasa agar penonton terharu dengan dialog yang disediakan. Dalam drama TV, fokusnya adalah kepada visualisasi. Bagaimana dalam bentuk visual kita membina plot dan jalan cerita agar menyentuh rasa penonton. Kebanyakan penulis tidak dapat membezakan antara drama radio dan drama TV, langsung jadinya babak yang dibawa di dalam drama TV tidak memberi kesan kepada penonton.

Drama radio = dialog menerangkan babak dan mencurahkan rasa.
Drama TV = pembinaan babak (visual) untuk menyentuh rasa penonton.  

Point pertama harus ditegakkan di sini adalah kita menulis drama TV.

Point kedua adalah mengklafikasikan rasa yang mahu disentuh. Ini di atau  awal awal lagi sebelum kita mula mengetuk keyboard.

Antara rasa yang mahu dibawa adalah pada permulaan drama adalah pengenalan kepada watak. Sama ada watak yang mahu ditonjolkan itu jahat, baik, mulia bagus atau sebagainya. Ambil contoh, kita mahu mempertengahkan kegigihan seorang ibu muda menjaga anaknya dengan segala cacian dari orang keliling kerana dikatanya anaknya anak haram sebagai contohnya. Temanya saja mungkin sudah menyentuh apalagi kalau anak yang dibela adalah anak sahabat baiknya yang sudah meninggal dan mengamanahkan anak kepadanya, seorang gadis. Dalam drama radio mudah sahaja, ambil dua jiran tertangga dan mereka mencaci watak utama yang kita mahu ketengahkan. Mungkin ia boleh dibuat pertemuan di kedai apabila kanak-kanak berlalu mereka mula mencaci. Si emak datang lalu menarik anaknya dengan dialog mengajaknya pergi dari situ.  Drama TV, kita mahu penonton merasai kesusahan watak utama. Isunya di sini adalah kesusahan dan pengorbanan. Kita boleh bina babak awal lagi dengan siibu kemungkinan tidak sihat tapi masih bekerja.

Mencuci lantai di stesyen keretapi umpamanya. Kawasannya luas, kerjanya berat, apa lagi kalau ada air tertumpah dan orang lalu lalang.

Babak di dalam TV seharusnya ada unsur dramatik atau keterlaluan. Tujuannya mudah. Untuk menyentuh rasa penonton. Penulis biasa boleh membawa babak ini dengan meletakkan siibu mencuci lantai hampir keseluruhan kawasan dengan beberapa montaj. Selitkan dengan sesekali siibu akan berhenti keletihan dan penat kerana dia masih sakit. Babak begini adalah babak biasa.

Babak biasa tidak cukup menarik!

Kita perlukan babak lebih menonjolkan. Di tangan kita sudah ada babak biasa yang mahu diketengahkan, tapi ianya belum cukup kuat. Siibu yang bekerja sebagai pencuci lantai mencuci lantai yang luas dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan. Kita mahu melebih dalam penonjolan kita. Si ibu tidak begitu sihat tapi kawannya yang juga bekerja dengannya ada masalah sikit. Dia dalam sakitnya (dari dialog kawan sekerjanya mengatakan mukanya agak pucat dan dia sendiri mengaku dia letih dan tak sihat), mengambil tugas rakannya. Maka ditonjolkan sikap mulianya. Penonton segera mudah mengenalpasti wataknya. Keduanya kita mahu penonton merasa kesusahannya.

Mahu babak lebih dramatik, masukkan babak yang membina rasa kasihan. Watak utama terlambat hendak lap kemudian ada orang yang lalu lalang hampir jatuh kerana lantai licin. Air belum dilap. Lalu dimarahi si ibu dengan kata-kata yang merendahkan martabat seseorang. Contoh patutlah awak cuma lap lantai… tak ada akal.. Masukkan pencelahan kawan yang sepatutnya membuat kerja dengan cuba menenangkan rasa hiba kawan selepas dicaci. (Penting untuk memperkuatkan watak).

Melebihkan kejadian di dalam cerita atau babak adalah untuk menerangkan tentang watak. Cara melakukannya…. Fikirkan babak biasa kemudian cari unsur unsur menyedihkan atau unsur mengembirakan. Contoh ada orang simpati dan bagi duit lebih kerana anak dia yang tumpahkan air tetapi duit ditolak kerana itu bukan pendapatannya. Kawannya pula yang biasanya menjadi pengukur rasa apabila dia sekali lagi menegur konflik babak. Contohnya, “kalau aku, aku dah ambil, kau bagi balik buat apa, kau bukannya senang! Ingat anak sama lain kali sebelum menolak!” Dari sini, kemuliaan watak sudah ditonjolkan awal lagi.

Kemudian dilalutkan untuk menunjukkan kesungguhan menjaga anak. Balik di rumah, sudah malam, anak sudah keletihan. Tidur tersengguk di lantai tidak berlapik di rumah. Berikan beberapa saat untuk mengukur rasa si ibu melihat anaknya. Matanya berair, tangannya menggenggam kuat nasi yang dibawa. Tanpa dialog, rasa si ibu ditonjolkan. Babak begini tidak perlu dialog untuk mengikat rasa. Pertamanya tersengguknya si anak sudah menyentuh penonton. Dari mata si ibu dengan air matanya cuma bergenang cukup untuk menunjukkan rasanya. Kita mengikat penonton untuk merasa. Kemudian diajaknya anak makan bersama. Mengejutkan si anak, tanyakan dahulu dia mahu tidur atau makan. Lalu si anak kata dia hendak makan, lapar. Kemudian sertakan dengan unsur gembira dalam drama supaya penonton turut tersentuh dengan watak. Si ibu tak perlu menyuap si anak… itu perkara biasa.. yang peliknya kalau si anak menyuap si ibu.  Maka kita sudah memperkenalkan dua watak di dalam cerita.

Bila difikirkan babak biasa atau am, kita memasukkan unsur dramatik berlebihan di dalamnya. Terpulang kepada corak rasa yang mahu disentuh.

Untuk mengelak kebuntuan dalam penulisan, status mental penulis adalah
1. Mencari babak mudah
2. Memikirkan sudut rasa yang mahu disentuh.
3. Menyelitkan unsur berlebihan di dalam babak iaitu sedikit luar dari pemikiran biasa.

Memikirkan unsur dramatik dalam babak dengan memasukkan unsur berlebihan adalah kerana penonton sudah biasa menyangka perkara biasa. Masukkan unsur berlebihan adalah untuk mewarnakan minda penerimaan watak. 


Bersambung….