Sunday, October 16, 2016

Penulisan skrip drama TV : Memasukkan rasa dan mengelak writer's block



Menulis skrip drama TV dan mengelak writer’s block

Writer’s block atau sekatan penulisan kadang kala boleh membawa kebuntuan sehingga berhari lama. Ada kalanya berbulan. Biasanya terjadi kalau seseorang penulis menghadapi kebuntuan untuk membina ceritanya. Ini mungkin disebabkan masalah peribadi serta emosi atau kemungkinan penulis tidak memahami teknik penulisan mudah dalam pembinaan skrip. Tanpa mahu mengaitkan penulisan ini pada konteks permasalahan peribadi yang menyebabkan kebuntuan penulisan, tulisan ini lebih terdorong kepada penyediaan skrip bagi mengatasi kebuntuan dari sudut teknikalnya.

Aspek utama yang harus diambil kira setelah memilih genre penceritaan yang mahu ditulis adalah menetapkan dalam pemikiran bahawa ini bukannya drama radio tetapi ia adalah drama TV. Dalam drama radio, dialog dibina untuk menerangkan babak atau menyambungkan babak. Ia turut mencurahkan rasa agar penonton terharu dengan dialog yang disediakan. Dalam drama TV, fokusnya adalah kepada visualisasi. Bagaimana dalam bentuk visual kita membina plot dan jalan cerita agar menyentuh rasa penonton. Kebanyakan penulis tidak dapat membezakan antara drama radio dan drama TV, langsung jadinya babak yang dibawa di dalam drama TV tidak memberi kesan kepada penonton.

Drama radio = dialog menerangkan babak dan mencurahkan rasa.
Drama TV = pembinaan babak (visual) untuk menyentuh rasa penonton.  

Point pertama harus ditegakkan di sini adalah kita menulis drama TV.

Point kedua adalah mengklafikasikan rasa yang mahu disentuh. Ini di atau  awal awal lagi sebelum kita mula mengetuk keyboard.

Antara rasa yang mahu dibawa adalah pada permulaan drama adalah pengenalan kepada watak. Sama ada watak yang mahu ditonjolkan itu jahat, baik, mulia bagus atau sebagainya. Ambil contoh, kita mahu mempertengahkan kegigihan seorang ibu muda menjaga anaknya dengan segala cacian dari orang keliling kerana dikatanya anaknya anak haram sebagai contohnya. Temanya saja mungkin sudah menyentuh apalagi kalau anak yang dibela adalah anak sahabat baiknya yang sudah meninggal dan mengamanahkan anak kepadanya, seorang gadis. Dalam drama radio mudah sahaja, ambil dua jiran tertangga dan mereka mencaci watak utama yang kita mahu ketengahkan. Mungkin ia boleh dibuat pertemuan di kedai apabila kanak-kanak berlalu mereka mula mencaci. Si emak datang lalu menarik anaknya dengan dialog mengajaknya pergi dari situ.  Drama TV, kita mahu penonton merasai kesusahan watak utama. Isunya di sini adalah kesusahan dan pengorbanan. Kita boleh bina babak awal lagi dengan siibu kemungkinan tidak sihat tapi masih bekerja.

Mencuci lantai di stesyen keretapi umpamanya. Kawasannya luas, kerjanya berat, apa lagi kalau ada air tertumpah dan orang lalu lalang.

Babak di dalam TV seharusnya ada unsur dramatik atau keterlaluan. Tujuannya mudah. Untuk menyentuh rasa penonton. Penulis biasa boleh membawa babak ini dengan meletakkan siibu mencuci lantai hampir keseluruhan kawasan dengan beberapa montaj. Selitkan dengan sesekali siibu akan berhenti keletihan dan penat kerana dia masih sakit. Babak begini adalah babak biasa.

Babak biasa tidak cukup menarik!

Kita perlukan babak lebih menonjolkan. Di tangan kita sudah ada babak biasa yang mahu diketengahkan, tapi ianya belum cukup kuat. Siibu yang bekerja sebagai pencuci lantai mencuci lantai yang luas dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan. Kita mahu melebih dalam penonjolan kita. Si ibu tidak begitu sihat tapi kawannya yang juga bekerja dengannya ada masalah sikit. Dia dalam sakitnya (dari dialog kawan sekerjanya mengatakan mukanya agak pucat dan dia sendiri mengaku dia letih dan tak sihat), mengambil tugas rakannya. Maka ditonjolkan sikap mulianya. Penonton segera mudah mengenalpasti wataknya. Keduanya kita mahu penonton merasa kesusahannya.

Mahu babak lebih dramatik, masukkan babak yang membina rasa kasihan. Watak utama terlambat hendak lap kemudian ada orang yang lalu lalang hampir jatuh kerana lantai licin. Air belum dilap. Lalu dimarahi si ibu dengan kata-kata yang merendahkan martabat seseorang. Contoh patutlah awak cuma lap lantai… tak ada akal.. Masukkan pencelahan kawan yang sepatutnya membuat kerja dengan cuba menenangkan rasa hiba kawan selepas dicaci. (Penting untuk memperkuatkan watak).

Melebihkan kejadian di dalam cerita atau babak adalah untuk menerangkan tentang watak. Cara melakukannya…. Fikirkan babak biasa kemudian cari unsur unsur menyedihkan atau unsur mengembirakan. Contoh ada orang simpati dan bagi duit lebih kerana anak dia yang tumpahkan air tetapi duit ditolak kerana itu bukan pendapatannya. Kawannya pula yang biasanya menjadi pengukur rasa apabila dia sekali lagi menegur konflik babak. Contohnya, “kalau aku, aku dah ambil, kau bagi balik buat apa, kau bukannya senang! Ingat anak sama lain kali sebelum menolak!” Dari sini, kemuliaan watak sudah ditonjolkan awal lagi.

Kemudian dilalutkan untuk menunjukkan kesungguhan menjaga anak. Balik di rumah, sudah malam, anak sudah keletihan. Tidur tersengguk di lantai tidak berlapik di rumah. Berikan beberapa saat untuk mengukur rasa si ibu melihat anaknya. Matanya berair, tangannya menggenggam kuat nasi yang dibawa. Tanpa dialog, rasa si ibu ditonjolkan. Babak begini tidak perlu dialog untuk mengikat rasa. Pertamanya tersengguknya si anak sudah menyentuh penonton. Dari mata si ibu dengan air matanya cuma bergenang cukup untuk menunjukkan rasanya. Kita mengikat penonton untuk merasa. Kemudian diajaknya anak makan bersama. Mengejutkan si anak, tanyakan dahulu dia mahu tidur atau makan. Lalu si anak kata dia hendak makan, lapar. Kemudian sertakan dengan unsur gembira dalam drama supaya penonton turut tersentuh dengan watak. Si ibu tak perlu menyuap si anak… itu perkara biasa.. yang peliknya kalau si anak menyuap si ibu.  Maka kita sudah memperkenalkan dua watak di dalam cerita.

Bila difikirkan babak biasa atau am, kita memasukkan unsur dramatik berlebihan di dalamnya. Terpulang kepada corak rasa yang mahu disentuh.

Untuk mengelak kebuntuan dalam penulisan, status mental penulis adalah
1. Mencari babak mudah
2. Memikirkan sudut rasa yang mahu disentuh.
3. Menyelitkan unsur berlebihan di dalam babak iaitu sedikit luar dari pemikiran biasa.

Memikirkan unsur dramatik dalam babak dengan memasukkan unsur berlebihan adalah kerana penonton sudah biasa menyangka perkara biasa. Masukkan unsur berlebihan adalah untuk mewarnakan minda penerimaan watak. 


Bersambung….

No comments:

Post a Comment