Sunday, October 2, 2016

Buku Cinta Abah tanpa rasa



Buku Cinta Abah:- Semua ramuan siap disediakan tetapi tiada rasa
9 malam TV3 1/10/16
Pengarah: Amie Maziah

Telemovie Buku Cinta Abah yang ditulis oleh Tok Uban ditonton saya cuma lewat sehari selepas penayangannya di TV3. Terlalu banyak cerita hantu di Astro apabila masuk bulan Oktober dan sebagai penggemar tegar cerita hantu, saya lebih suka menghabiskan masa melayan seram diri. Buat masa ini, nampaknya, seram diri ini cuma dilayan dan dirasai apabila menonton cerita hantu luar negara sahaja kerana mungkin hantu luar negara lebih seram dibanding dengan hantu dalam negara. Saya ingin memuji cerita Hollow terbitan sebuah syarikat dari Vietnam, ianya sangat menarik, sangat menganggu minda dan cantik. Nampaknya, filem-filem Vietnam sedang menuju ke arah yang betul dengan mutu lakonan dan drama yang amat menarik.

Ke mana arahnya drama dan filem negara kita? Hmmmm……

Cerita Tok Uban ini menggambarkan sebuah kisah di mana seorang jurutera telah dipenjara kerana kesalahan membunuh dengan tidak sengaja, menulis kisah cintanya di penjara dan kisahnya itu menarik minat seorang penerbit buku untuk menerbitkannya (akhirnya, anaknya sendiri!). Tulisannya yang kaya dengan bahasa indah menarik minat siapa sahaja membacanya. Malangnya, buat penonton, tidak satu pun baris keindahan bahasa buku yang ditulis jurutera ini dapat dihayati kerana tidak pernah dikongsi bersama penonton. Saya kira penarik kepada drama ini adalah bahasa indah yang mahu dipaparkan, malangnya ianya tidak digunakan dalam bentuk bacaan atau narratif.

Sinopsis ringkasnya agak bercelaru. Seorang jurutera kehilangan kerja pada tahun 1989 dan gagal mendapat kerja sehingga terpaksa menganggur di rumah. Isterinya bekerja menyara suami dan emaknya. Si jurutera, lakonan Faizal Hussein dicemuh hampir pada setiap perbuatan oleh emak mertuanya. Dituduh sebagai lelaki tidak tahu malu dan pemalas sebagainya hanya kerana emak mertua mahu menantu yang lain, yang jauh lebih kaya dalam Arash Muhammad. Jadi mereka berkomplot untuk memisahkan rumah tangga bahgia pasangan Faizal Hussein dan Vanidah Imran dan mereka berjaya. Malah terlebih berjaya apabila Faizal Hussein tersilap langkah dan telah menyebabkan kematian seorang wanita yang diupah untuk memisahkan rumah tangga bahagianya. Dia dipenjarakan dan menulis kisah cintanya di dalam penjara. Setelah 10 tahun keluar, dia tidak terus bertemu isteri dan anaknya (yang dilahirkan ketika dia di dalam penjara) tetapi terus memegang janjinya kepada musuh cintanya untuk tidak bertemu isterinya kerana takut anaknya dihantar ke rumah kebajikan masyarakat.    

Cerita ini tidak ada unsur yang baik di balas baik dan yang jahat di balas jahat. Kejahatan Arash dan emak mertua tidak langsung dibalas sebalik cerita ini bergerak pada jalan yang malar. Tidak ada keinginan untuk membalas dendam, tidak juga ada keinginan untuk memiliki gadis yang amat dicintai, malah wataknya membawa diri jauh ke kampung dan mengamalkan hidup caranya sendiri. Aman dan bahgia.

Saya terfikir cerita The Count of Monte Cristo yang saya baca berkali ketika berumur 13 tahun, di mana Edmund Dante dalam situasi yang sama dipenjarakan di penjara paling buruk di Perancis. Dendamnya begitu mendalam. Dengan kebolehan dan kekayaannya, maka dendamnya dibayar sepenuhnya selepas 15 tahun dipenjarakan. Terfikir pula, manusia mana dalam dunia ini yang tahu dirinya dizalimi dan hidupnya hancur, tidak mahu melakukan sesuatu pun untuk mengembalikan keadaan pada yang sepatutnya. Rasanya hanya pada cerita Melayu di mana tidak ada rasa dendam dan marah.

Nampaknya tidak ada semangat Edmund Dante dalam penulisan Tok Uban. Kalau diletakkan saya dalam situasi berkenaan tentunya masa 10 tahun dalam penjara, saya akan menganalisa keadaan dan merancang segala yang perlu untuk mengajar mereka yang menganiaya saya. Mungkin ada sedikit hero Edmund Dante dalam diri saya kot… entah lah.  

Kalau mahu dibandingkan dengan sesuatu, Buku Cinta Abah ini bagai menyiapkan masakan masak merah yang saya sangat sukai. Bawang telah dihiris nipis. Cabai telah digiling, sos tomato sudah di tepi kuali dan asam jawa juga telah direndam. Gula dan garam semuanya sudah sedia. Ayam awal-awal lagi digoreng kuning. Yang menunggu cuma hendak dimasak. Lalu saya suruh Tok Uban memasak. Hasilnya, tiada rasa! Masin pun tidak! Lauknya jadi masak merah tapi tak ada rasa masam manisnya. Tak ada pedas-pedas lidahnya malah kurang nampak merahnya.

Tidak ada rasa untuk dihayati penonton pada drama ini. Pada hal, banyak situasi yang boleh dibina untuk menimbulkan rasa kepada penonton.

Awal tadi saya menyebut drama Hollow sebuah cerita Vietnam. Kalau kita menontonnya, kita akan sendirinya teruja. Tidak ada dialog yang diulang-ulang. Malah plotnya berjalan ke hadapan membentuk cerita yang menarik. Plot yang sentiasa bergerak!

Drama Buku Cinta Abah berlainan pula, dialognya sentiasa berulang berkali-kali seakan mengingatkan penonton akan perkara yang sama. Pada saya, apa sahaja repetition atau pengulangan adalah membosan!

Banyak kali saya fikir apa sebenarnya kekurangan drama ini. Susah sebenarnya, tidak ada babak yang boleh saya ingati. Arwah Zain Mahmud pernah memberitahu saya bahawa ukuran kejayaan sebuah drama itu adalah bilamana penonton mengingati babak yang telah dipamerkan setelah menonton. Ada pula dia mengingatkan saya bahawa menulis adalah untuk penonton. Tujuan kita menulis adalah kita mahu membawa penonton mengikuti penulisan kita melalui mainan perasaan yang mampu kita guriskan. Dalam perspektif drama ini, tiada babak yang saya simpati dalam drama ini.

Kaedah untuk menarik rasa penonton ini adalah dengan mendalami watak dan senario premis penceritaan. Contohnya daripada kita mahu berkali mengulangi cemuhan dan kebencian emak mertua kepada menantu yang tidak bekerja dan kalau bekerja pun tetap dibenci, jangan diulang cemuhan sebalik menumpukan kepada premis penceritaan. Dengan ini kita menyelamatkan masa dan menyempurnakan cerita. Contohnya emak mertua benci menantu. Awal lagi sudah diceritakan. Kebencian selanjutnya dilakukan dengan memikirkan kemampuan penerimaan penonton. Kita mesti meletakkan penonton sebagai sasaran penjelmaan imej yang mahu kita paparkan. Kita tanya apa yang penonton mahu tengok? Bagaimana melakukan apa yang mahu dilihat dengan cara lebih dramatik? Contoh, semasa makan, tidak dihidangkan kepada menantu malah dipanggilnya calon menantu disukainya. Malah dilayan sepenuhnya. Dialog semasa makan harus membuat menantu terkilan. Mahu melebih, maka disuapnya calon menantu makan atau disuruhnya si anak/isteri melayan lebih kepada calon yang disukai.  Malah dimainkan minda dengan bercakap manipulatif, “mereka ini dulunya kawan, besar bersama macam adik beradik, biasa suap makan minum ni….Awak tidak kisah, bukan? ” Nampak tidak kejam tapi cukup menyakitkan untuk si suami. Dalam erti kata lain, kita mainkan babak makan dengan penuh bererti dan penuh rasa.

Saya mahu mengulangi di sini bahawa di dalam bercerita harus ada empat elemen yang penting. Unsur hiburannya untuk merihatkan minda dua jam menonton. Unsur pengembaraannya untuk memperkembangkan watak dengan pelbagai unsur perwiraan dan pengorbanan. Unsur romantisnya untuk menggerak jiwa penonton. Unsur magisnya untuk memberi suntikan keseronokan kepada penonton.

Sayang sekali drama Buku Cinta Abah ini kalaupun ada segala elemen yang boleh mencantikkan drama ianya gagal ditonjolkan.

Saya kira juga ada kemungkinan besar Amie Maziah mahu lebih berhati-hati dalam pengarahannya selepas kontroversi besar Tiq Zaqyah dirogol dalam drama arahannya terdahulu. Terlalu banyak babak ketinggalan, umpamanya, minuman Faizal Hussein dimasukkan dadah tidak ditunjukkan. Ini adalah sangat penting kerana ia boleh menampakkan Faizal Hussein itu seorang suami yang baik. Begitu juga bagaimana sedikit unsur tidak sengaja boleh menyebabkan kematian Yasmin Hamid iaitu wanita yang dibayar untuk menganiyai Faizal Hussin, langsung tidak ditunjukkan. Ianya sebenarnya menarik untuk ditunjukkan. Cuma kalau takut ianya menimbulkan kontroversi lagi, masukkan unsur tidak sengaja iaitu Faizal yang kuat tertolak Yasmin sehingga jatuh. Ini disaksikan ramai. Kreativiti pengarah dan penulis sebenarnya terlalu banyak cabangnya tanpa mahu menonjolkan unsur tidak perlu seperti adegean rogol sebagainya.

Drama Buku Cinta Abah bagi saya, kosong tanpa jiwa penceritaan.   













No comments:

Post a Comment