Telemovie Aku dan adik:- Masih di tahap lama
Karya:- Siti Jasmina Ibrahim
Terbitan: Mermaid Pictures
TV3, 9 malam. 9/9/16
Lakonan dan arahan dalam drama Aku dan Adik yang disiarkan
pda hari Sabtu 9/9/16 di TV3
sangat baik diusahakan. Para pelakon muda yang terdiri
daripada Liyana Jasmay, Afiq Sazwan dan beberapa pelakon remaja yang tidak saya
kenali berjaya membawa watak yang diberikan dan baik mutu lakonan mereka.
Nampaknya kita tidak perlu bersusah hati mengenai bakat-bakat pelakon di negara
kita kerana melihatkan para remaja ini berlakon, kita tidak ketandusan bakat.
Tahniah kepada mereka walaupun muda tetapi berjaya menghayati watak yang
diberikan.
Pengarah telemovie ini juga harus diberi pujian kerana
berjaya menghasilkan pengarahan drama yang baik. Mutu kerjanya rapi dan konsep
pencahayaannya baik. Saya percaya kalau diberikan cerita yang baik kepada
pengarah seperti Khir Rahman ini tentu dia akan dapat memberikan karya yang
jauh lebih berharga. Tahniah kepada usaha dan bakat yang ada.
Kepada TV3, saya ucapkan tahniah juga kerana sanggup lari
dari paradigma penerbitan rancangan. Sejak akhir-akhir ini TV3 sudah begitu
berani menayangkan cerita-cerita yang terkeluar dari norma permintaan
masyarakat leka dan hambar, iaitu tema-tema cinta teruna dan dara. Adanya
keberanian ini saya anggap satu kebaikan kepada industri dan semoga TV3 terus
berani memberi insentif kepada penerbit agar menerbitkan drama-drama bermutu di
luar skop permintaan leka masyarakat.
Tahniah!
Sekarang saya mahu melihat kepada corak penceritaan
telemovie ini. Telemovie Aku dan Adik.
Ideanya menarik. Satu perjanjian antara adik dan kakak untuk
tidak mendatangkan kedukaan kepada si ayah selepas mengharungi tragedi dalam
kehidupan adalah sesuatu yang menarik. Saya memberi A kepada idea tema ini. On
paper (di atas kertas) idea yang menarik akan membawa kepada cerita yang
menakjubkan. Itu yang saya harapkan. Malangnya, ceritanya hanya cerita biasa.
Boleh dibaca pergerakkan plotnya sebaik sahaja perjanjian antara adik dan kakak
dibuat. Saya mengharapkan sesuatu di luar kemampuan saya berfikir tetapi drama
ini langsung menutup ruang harapan saya. Saya suka dengan tema yang dibawa
tetapi imaginasi penulisnya biasa sahaja.
Saya yakin penulisnya, Siti Jasmina Ibrahim seorang yang
baik peribadinya. Dialog-dialognya baik, karektor yang dipersembahkan baik.
Kalau mahu mengenal orang lihat kepada apa yang ditulisnya. Saya yakin Siti
Jasmina ini baik orangnya tanpa bertemunya kerana dari penceritaan yang dibawa
ia menampakkan karektor pemikiran Siti Jasmina. Baik-baik belaka.
Dalam pembentukan drama kebaikan ini juga satu keburukan
kalau tidak mengikut formula pendramaan dalam bercerita.
Mahu membuat drama yang baik? Letakkan plotnya mengikut
sususan kejadian antara lain seperti berikut.
1. Perkenalkan watak dalam keadaan di luar jangkaan atau
sesuatu yang boleh mengingatkan penonton.
2. Harapan/Impian para watak yang dibawa
3. Harapan yang begitu diharapkan. Suntikan tambahan kepada
harapan yang diidamkan
4. Kegagalan dalam harapan
5. Lagi kegagalan kepada harapan
6. Perwatakan hampir tersungkur kerana kegagalan yang sangat
mendukacitakan.
7. Sedikit pencerahan awal.
8. Watak cuba untuk keluar dari kesusahan dengan formula
biasa dan sedikit harapan baru.
9. Kegagalan lagi pada harapan baru.
10. Lagi kegagalan bertambah.
11. Sedikit magik untuk kejayaan watak keluar dari masalah.
12. Penyelesaian kepada masalah.
Antara lain formula seperti ini digunapakai untuk mencantikkan
cerita di samping membawa penonton ceria dan duka bersama mengikut pergerakan
plot. Ada banyak formula lain tetapi formula ini adalah yang minimum dalam
penghayatan penceritaan. Tujuannya satu, iaitu untuk membawa penonton mengikut
atau menghayati ceritanya.
Penulis-penulis kita takut untuk mencuba membawa kekuatan
cerita pada awal-awal cerita lagi. Selalu sangat saya lihat, kekuatan cerita
diletakkan pada bahagian 15 minit terakhir penceritaan. Makna, kalau kita mahu
terhibur maka tengoklah 15 minit terakhir. Tidak perlu kita melekat di TV sejam
empat puluh lima minit terawal. Maka drama Aku dan Adik ini tidak terlepas dari
stigma ketakutan ini. Cerita yang bagus diletakkan di bahagian pengakhir cerita.
Kita terpaksa menunggu hingga ke akhir untuk mengikuti ceritanya. Zaman telah
berubah, maka corak penceritaan juga harus diberi suntikan baru. Jangan takut
untuk mencuba sesuatu yang baru kerana sebagai penulis idea kita sentiasa ada.
Letakkan yang terbaik dalam idea kita di awal-awal cerita, kita akan lihat
perubahan yang begitu ketara dalam penceritaan kita. Idea-idea baru tentu lebih
menarik dari kekuatan idea asal kita.
Cerita Aku dan Adik dimulakan dengan keluarga Shahrom Nizam
ini berpindah ke rumah peninggalan arwah datuk kepada penceritaan, si Kakak.
Harapan baru apabila si ayah yang baru keluar dari kemurungan kerana kematian
isterinya akibat banjir besar. Keluarga ini berjumpa satu lagi keluarga yang
baik dalam diri Zaidi Omar. Memberi si ayah pekerjaan serta menawar juga
pekerjaan kepada si adik apabila dia tamat SPM. Dari awal penceritaan si adik
dan kakak berjanji tidak akan menyusahkan ayah mereka kerana bimbang dia tidak
dapat menerima masalah lagi. Time lapse, si kakak berjaya ke universiti dan si
adik masih di kampung. Anak yang baik dan sentiasa menyenangkan hati si ayah.
Si Kakak pula hanyut dengan pujuk rayu anak lelaki keluarga mereka menumpang
senang. Masalah menyusul apabila si kakak berbadan dua. Cerita yang biasa!
Ceritanya baik cuma pembawaan ceritanya tidak menyentuh
perasaan penonton. Mahu satu watak yang kuat, harus dimulakan dengan
pengorbanan watak utama, sama ada si kakak atau si adik. Pengorbanan ini
haruslah kuat dan menyentuh perasaan. Contohnya si kakak ketinggalan sesuatu
barangan yang berharga dalam banjir besar apabila air sedang menaik. Lalu mahu
mengambilnya. Si adik terus menghalang kakaknya, biar diambilnya. Ini memberi
kekuatan kepada watak adik. Penonton sudah diikat untuk berpandangan bahawa si
adik satu watak yang amat terpuji. (atau di kakak). Cara untuk mengambil
barangan atau apa sahaja alasan mestinya susah dan dramatik. Contohnya terpaksa
memilih antara si ibu dan barangan kakak dengan keadaan air yang meningkat.
Akibatnya, mereka kehilangan si ibu. (Ini cuma contoh). Ini dilakukan dalam 5
ke 10 minit pertama.
Kekuatan cerita dari awal lagi sudah ditunjukkan.
Watak-watak turut dilabelkan hitam putihnya. Kemudian kita bergerak untuk
mengenali harapan mereka. Pertamanya tidak mahu ayah mereka bersedih. Keduanya
mereka susah di rumah baru. Si adik atau si kakak akan berusaha tanpa rasa malu
untuk bekerja bersungguh-sungguh. Kalau si Tuan Ladang inginkan itu atau ini
dia dahulu yang kerjakan. Tanpa segan silu biar seberat atau sekotor manapun!
Usahanya menyenangkan. Kesilapan ditutup dengan kemuliaan sikap Tuan Ladang. Ini
harapan kedua. Mahu disenangi tetapi ada kesilapan yang dilakukan.
Kemudian fikirkan cara untuk membuat penonton mengasihani
watak. Kegagalan pertama. Di universiti, digoda. Kemudian disertakan sikap
tidak bertanggunjawab si lelaki. Ini kegagalan kedua. Cari cara untuk
menyelesaikan masalah tapi gagal. Kalau dah mengandung apa yang ditakutkan?
Maka itulah yang terjadi. Jangan takut untuk meletakkan kekuatan cerita pada
saat awal. Otak kita akan sentiasa berfikir sesuatu yang baharu kerana kita
menulis mengikut formula yang ditetapkan. Akan sentiasa ada idea kreatif
apabila kita memikirkan cara-cara membina plot.
Saya tidak mahu menyentuh secara menyeluruh cerita yang
mungkin di bawa saya dengan cerita yang dibawa penulis Aku dan Adik. Apa pun,
jalan cerita Aku dan Adik mudah dibaca dan tidak menambat hati penonton.
Kecuali pada beberapa minit terakhir, saya sendiri sedikit terhiba melihat
lakonan si adik meminta maaf kepada si ayah, cerita yang dibawa ini tidak kuat.
Nasihat saya, jangan takut untuk letakkan kekuatan cerita
pada bahagian permulaan cerita. Kemudian masukkan unsur-unsur pengorbanan,
keperwiraan atau kewalian watak-watak dengan tujuan memberi sedikit suntikan
kepada harapan penonton.
No comments:
Post a Comment