Sunday, May 29, 2016

Maafkan Saya Cikgu: Komen dari sudut penulisan. Drama TV3 Sabtu 28/5/16



Maafkan Saya Cikgu :- Komen dari sudut penceritaan.
Sabtu TV3 28/5/16, 9.00pm

Selepas dua minggu cerita terbitan Aida Othman ini ditayangkan. Macam adik Aida ini kepada saya. Maklumlah dia kerap bertanya itu ini kepada saya. Jadi apa pun komen pada cerita dibawa Aida, adalah untuk kebaikan. Matlamat sama sahaja. Kita mahu satu yang terbaik supaya ianya meninggalkan 'impact' yang besar baik dalam pembinaan negara mahupun perkembangan industri drama.

Sudah sampai masanya adanya perubahan pada drama-drama tempatan. Sudah terlalu lama kita duduk dalam kepompong drama ala drama radio dengan cerita-cerita klise dan tema yang menjemukan. Maka kalau ada sekali sekala keluar drama yang lari dari kelainan maka ianya patut ditonton dan dinilai. Kalau dapat diamati, lagilah baik.

Maafkan Saya Cikgu nampaknya lari dari pemilihan tema drama-drama biasa, tema cinta, tema korporat dan seakwtu dengannya. Ianya membawa cerita mengenai seorang kanak-kanak.  

Lebih kurang 15 tahun lepas saya ada menulis drama Terima Kasih Cikgu yang diubah tajuknya. Saya tidak tahu apa tajuknya tetapi ia disiarkan beberapa kali oleh TV2. Cerita mengenai seorang kanak-kanak yang menjaga ayahnya selepas kematian ibunya. Bapanya jadi hampir putus asa untuk hidup. Anak ke sekolah dengan memakai kasut buruknya setiap hari. Tidak mahu kasut lain kalaupun diberi kasut yang baru. Dia hanya memilih kasut lamanya. Cikgu di sekolah berfikir dia seorang yang miskin, malas dan tidak perlu diberi perhatian. Kasutnya buruk, baju buruk dan serebeh. Bagaimanapun terbalik pula jadinya. Dia anak seorang yang berada. Bapanya seorang pengukir kayu yang terkenal. Mempunyai bengkel kerja yang besar. Memendekkan cerita, sebab dia memilih memakai kasut yang sama walaupun sudah buruk adalah kerana ianya pemberian arwah ibunya dan ibunya yang memakaikan kasut ke kakinya hampir setiap hari. Menyarung ke kakinya dengan penuh kasih sayang. Cerita 15 tahun lepas berkisar pada watak si anak ini dan guru yang hairan dengan budak busuk ini.

Dalam masa yang sama, saya ada menulis sebuah cerita lagi. Atas tema kesusahan murid di sekolah. Abang sekolah pagi dan adik sekolah petang. Baju dan seluar sepasang. Mereka tukar baju. Pesan abang kepada adik, kalau dimarahi cikgu, cuba belajar menerima. Kerana itu kekuatan seseorang. Berani buat berani tanggung. Jadi orang yang kuat. Kerana kita ini susah! Apa yang penting berjaya dalam pelajaran. Sedikit rotan sepatutnya lagi menguatkan peribadi seseorang. Tiap-tiap hari nasihat yang sama. Satu sekolah tahu cerita kedua-dua murid yang susah ini kecuali cikgu yang seorang ini. Kadang-kadang adik ini akan berair di mata menerima rotan gurunya. Tetapi dia menahan tangisnya kerana abangnya berpesan agar dia berani menghadapi apa sahaja asalkan dia boleh belajar di sekolah.

Semasa menulis saya menilai sudut rasional kebiasaan masyarakat berfikir. Bukannya memilih rasional penulisan. Kerana rasional penulisan melepasi rasional pemikiran biasa. Ini sangat penting. Takut cerita kita tidak dapat diterima penonton. Lebihkan sedikit kesusahan di sana tetapi pastikan jangan melebihi rasional pemikiran orang biasa. Jadi difikirkan rasional memakai kasut yang satu sampai buruk. Ooo.. kerana emaknya yang sarungkan. Rasional di sebalik menukar baju yang satu. Kerana emaknya yang jahit. Kalau kena arahannya, ia boleh menyentuh perasaan penonton. Maka itulah tujuannya. Mahu mainkan perasaan penonton. Isu rasional pemikiran orang biasa ini sangat penting diberi perhatian. Beberbeza dengan rasional penulis sendiri... ianya hampir tidak ada hadnya. Apa nak tulis... tulis... Langit berwarna jingga pun boleh diwujudkan.  

Tema yang sama dibawa Aida Othman dan penulis-penulisnya. Si Adik terpaksa menanggung beban kerana lambat ke sekolah sementara menunggu abangnya balik sekolah untuk mengambil bajunya. Daripada memberi penyelesaian di awal babak, penulis-penulis Aida mahu menjarakkan pengetahuan penonton kenapa dia selalu datang lambat sampai ke akhir cerita. Apa yang penonton dihidangkan adalah dia lambat ke sekolah. Aktivitinya, ada kalanya dia menjual nasi lemak dan bermain dengan abangnya. Si adik atau Jali ini tidak puas hati dengan kesusahan hidupnya. Perangainya makin hari makin kurang ajar. Cakapnya lepas.

Kita melepaskan semua ini kerana itu perwatakannya dan itu kesusahan yang ditanggungnya.

Bagaimanapun, apabila mempersoalkan rasional penceritaan, maka kita terhimpit untuk menjawab banyak soalan.

Cerita ini cerita Si Jali. Tidak ada watak lain yang lebih ketara dari watak Si Jali yang makin ditengok makin kurang ajar jadinya. Apabila kita menjarakkan sesuatu penyebab maka kita harus pastikan penceritaan yang kita bawa ini begitu mengikat perhatian penonton. Penonton boleh diikat melalui kekuatan watak, plot yang naik turun, perasaan ingin tahu, rasa suka, rasa benci pada watak-watak dan pengharapan penonton yang sedang menonton. Cara mengikat ini tidak ada hadnya.

Secara kasarnya, cerita ini longgar dalam cara mengikat hati penonton. Ianya berjaya menonjolkan bakat lakonan pelakon tetapi tidak dapat mengikat penonton.

Minit pertama mahu ditunjukkan adik kena rotan kerana lambat. Penerangannya di akhir cerita. Maka keseluruhan cerita harus betul-betul mengikat penonton untuk bergerak ke arah penyelesaian.. kenapa dia lambat. Maka segala babak-babak perantaraan haruslah begitu dramatik dan menghiburkan. Boleh dibawa menjadi satu pengembaraan yang menghiburkan. Tetapi tidak! Saya mengharapkan ini dari kumpulan adik saya ini.  Dia banyak kenal orang pandai pandai dalam dunia drama.

Sebelum kita pergi lebih jauh haruslah melihat sedikit kepada jalan cerita. Cerita berkisar kehidupan dua adik beradik kematian ayah dan terpaksa tinggal dengan ibunya yang cacat. Hanya hidup dengan menjual nasi lemak. Abang, darjah enam sekolah pagi dan adik sekolah petang. Hidup mereka daif.

Tidak ada watak lain yang menonjol di dalam cerita kecualilah watak Jali. Si adik yang kena rotan. Si adik yang bermasalah. Si adik yang menempik ibunya. Yang kurang ajar dengan abangnya. Si adik yang ingin makan ayam dan jemu makan nasi lemak di rumah. Si anak yang banyak akalnya. Si adik yang tidak ikhlas dalam memberi bantuan kepada orang. Si adik yang sakit di rumah. Semuanya cerita si adik. Watak-watak lain tenggelam langsung.   

Daripada menyukai watak dan bersimpati dengannya, kita menjadi benci kepada watak ini. Inilah yang terjadi dalam cerita ini. Dahlah penampilan nampak seperti seorang yang keterlaluan kurang ajar perangainya. Kalaulah ini yang mahu disampaikan kepada penonton maka ianya berjaya. Watak Jali makin dibenci. Kalau mahu penonton bersimpati dengannya, hmm...... agak jauh menyimpang. Saya mengajak anak saya menonton. Seorang anak gadis berumur 14 tahun. Isteri saya di sebelah saya. Sementara isteri saya begitu benci dengan watak yang dibawa Jali, anak gadis saya berpendapat sifatnya terlalu kurang ajar. Dia langsung tidak suka pada karektor yang dibawa. Mungkin benar kerana apa yang saya ajar kepada anak saya adalah pantang untuk meninggikan suara kepada saya dan emaknya. Berlaku baik pada binatang dan manusia tanpa mengharap balasan. Mungkin ideologi Mahadzir Othman ini menutup rasional lain kehidupan manusia lain pada dirinya. 

Watak-watak lain tidak ada kepentingan langsung dalam Maafkan Saya Cikgu. Mereka semua adalah watak pembantu. Kehadiran mereka sekadar melengkapkan apa yang harus dilakukan Jali. Malah Jali adalah watak utama yang dominan.  Watak cikgu Zamarul yang merotan Jali. Hadirnya cukup untuk merotan dan memaafkan. Watak emaknya yang cacat kakinya, cukup untuk kadang-kadang muncul untuk melengkapkan keperluan perwatakan Jali. Jun, abangnya ada sedikit kelainan. Mengimami sembahyang dan ceria selalu. Malangnya watak yang dibawanya tidak langsung menyentuh perasaan ketika menonton. Ayah mereka muncul sekali sekala... tidak sempurna sifat keayahannya. Tidak meninggalkan 'impact' yang besar untuk memori anak-anaknya.  

Apa yang berlaku di sini adalah kegagalan untuk memberi perwatakan kepada watak watak lainnya untuk menyokong satu watak utama ini.

Kita sudah letakkan ibunya cacat kakinya. Kerana apa... kerana rumah terbakar. Suaminya mati. Objektif kita adalah mahu menyentuh perasaan penonton. Mahu meninggalkan kesan dijiwa mereka. Sayangkan watak... bersimpati dengan watak. Itu sangat penting kepada penulis.

Kita mahu memainkan isu kakinya cacat. Kadang kala mahu tunjukkan masalahnya bila ianya cacat. Mahu anaknya mengambil tanggungjawab lebih tinggi kerana kakinya. Benda begini sudah di bawa ke cerita. Maka mainkan isu ini. Kalau mahu contoh lebih baik.. saya berikan.... setiap hari memerah kelapa. Menggoreng ikan bilis atau menggiling cabai. Bukan kerja mudah. Awal pagi lagi sudah bangun. Buat nasi lemak untuk anak. Untuk cari makan. Kalau hidup susah... kayu api mesti dicari. Jatuh sana sini mencari kayu api untuk memasak. Bila memasak kadang kala minyak atau air boleh tertumpah. Banyak sangat benda yang boleh dimainkan untuk memikat penonton apabila kaki itu cacat. Tambahan kalau yang memerhatikan adalah anak-anaknya. Penonton boleh ditambat dengan menunjukkan keakraban hubungan ibu anak dan sifat penyayang mereka sesama sendiri. Kalau pun mahukan watak Jali itu tidak begitu mahu mengambil berat ibunya. Rasa penonton harus diikat dan dimainkan.

Saya kasihankan Sherri Merlis. Rasanya bukan senang mengambil dia berlakon. Bila dapat maka sepatutnya diberikan watak yang betul-betul menambat hatinya. Sayang sekali wataknya hanya di sudut belakang frame penggambaran. Di depan sentiasa ada si Jali.

Watak si ayah. Hmmm... sekali sekala muncul. Saya rasa mahu penonton menjiwai bahawa dia seorang bapa yang penyayang. Tidak berapa menjadi. Tidak cukup touching. Tidak cukup penghayatan pendramaan. Babak sudah ada tetapi gagal mendramakan perwatakan untuk meninggalkan impact yang besar kepada penonton. Contohnya.... Jun berbual dengan ayahnya di anak tangga. Pengharapan ayah kepada si anaknya. Scene ini sangat penting kerana Jun sangat rapat dengan ayahnya. Mereka boleh berbual apa sahaja dalam dunia ini. itu kenangan buat Jun. Tetapi kalau mahu menyentuh perasaan penonton.. maka ambil situasi paling biasa dan jitukan dia. Contohnya... selesai cakap... hah, pakai kasut tu. Tapi si ayah yang mengambil inisiatif untuk menyarung kasut ke kaki anak. Mengikat talinya perlahan. Diperhatikan si anak. Penuh sayang. Penuh kagum. Si ayah memberitahu si anak, dia mahu anaknya mampu menyarung kasut ke kaki adik dan emaknya. Impact scene begini besar. Apa yang berlaku cumalah dua beranak duduk di anak tangga dan berbual. Tidak ada aksi menyentuh perasaan. Pengarah atau penulis mengharapkan penonton menjiwai watak dan tidak membawa penonton menghayati 'moment'. 

Satu lagi scene ayah. Anak memberi kad kemajuan kepadanya. Si anak cemerlang belaka. Sudah sedia maklum. Tidak ada apa-apa kerisauan pada mereka mengenai prestasi mereka. Cara pembawaan patutnya lebih ceria. Daripada mereka terkedik mahu menawan penonton untuk mengikut apa perkembangan selanjutnya sepatutnya mereka 'control' atau mengongkong persembahan. Mereka sepatutnya berlari kejar mengejar, potong memotong untuk menyerahkan kad kemajuan kepada bapa mereka. Mereka tahu mereka pandai. Ibu mereka tersipu-sipu keseronokan. Anak mereka bijak. Ayah mereka sudah terfikir... hmm... aku kena beli apa pula untuk mereka. Benda begini sepatutnya dilainkan dari kebiasaan babak yang biasa difikir penulis biasa. Pelakon memainkan watak dan mengongkong set. Bila perlu sahaja.....

Babak di mana si adik mengharapkan video game dan kona abangnya yang minta. Sudah ada kelainannya.  Tetapi ianya agak klise. Tidak ada magik. Magik dalam penceritaan cumalah kalau si ayah mendengar perbualan kedua dua anak yang bercakap mengenai gameboy rakan mereka. Mungkin cakap pasal nak pegang pun tak bagi. Terfikir si ayah, anaknya juga ada keinginan lainnya. Magiknya, kerana membeli gameboy atau ps2, dia balik lewat dan gagal menyelamat rumah yang terbakar. Kalau mahu dipanjangkan ke situ. Elemen magik di sini adalah pemerhatian orang ketiga kepada soalan pokok. Biasanya ia boleh menyentuh perasaan penonton.

Hmmmm... pada saya, penulis kita biasanya boleh memikirkan idea dan babak untuk menulis cerita mereka. Mereka cuma tidak dapat memberi 'hidup' atau rasa pada babak yang cuba ditonjolkan. Tanpa menjerit tanpa bersikap kurang ajar, mereka tidak mampu untuk menyentuh perasaan penonton.

Saya berhenti di sini.. kerana saya belum menyentuh sudut editing yang kelam kabut pada pertengahan cerita... Saya belum menyentuh kekuatan cerita dalam menghubungkan unsur mula dan unsur akhir.....               


Saturday, April 9, 2016

Penilaian Terhadap Hujan Malam Itu karya Sabri Yunus

Hujan Malam Itu: Satu pandangan dari sudut penceritaan dan arah drama RTM
Karya :            Sabri Yunus
Arahan :          Sabri Yunus
Terbitan:         Saujana Media

Setelah beberapa lama berhenti menonton drama Melayu, saya terbawa untuk menonton sebuah drama RTM, slot popular Sabtu malam, 9 April 2016. Tajuknya Hujan Malam Itu menarik bunyinya. Ceritanya mudah, seorang wanita yang alim orangnya telah diperkosa orang yang tidak dikenali ketika ditinggalkan berseorangan di rumah di waktu hujan lebat. Malang bagi wanita tersebut, dia dikahwinkan dengan lelaki yang sama yang memperkosanya.

            Kedengaran klise benar bunyinya. Tema biasa tahun-tahun drama atau filem-filem tahun 1970-an. Cerita yang dibawa mengikut urutan. Menonton Hujan Malam Itu sama lah seperti melihat Ed Osmera berlakon dalam filem Bukan Salah Ibu Mengandung dalam tahun-tahun 70-an. Atau filem-filem serius WD Mochtar dan Ratno Timeor pada tahun-tahun yang sama.

Saya sebut tahun 1970-an kerana corak penceritaannya sama dengan drama-drama era yang sama. Tidak ada kelainan dari jalan ceritanya, urutan plotnya dan susunan konfliknya. Menonton drama Hujan Malam Itu seperti menonton filem atau drama tahun 1970-an.

Persoalannya, baik atau buruk drama-drama tahun 1970-an? Jawapannya, tentulah buruk dan lembab. Urutan plotnya sangat rapat antara satu babak ke satu babak. Ia menjadi satu kronologi urutan masa dan kejadian. Hujan Malam Itu bukan satu cerita yang mahu membawa penonton menangis dan tetawa bersama tetapi ia lebih merupakan cerita yang mahu menyukat masa. Bermula dengan kejadian rogol sehinggalah terpisah suami isteri! Selepas kejadian rogol, mesti kejadian sedih, selepas sedih mesti ada sedih dari bapa, kemudian diikuti sedih oleh abang, diikuti pula dengan hasrat mencari jodoh si ayah dan abang secepat mungkin lalu diambil orang yang tidak dikenali di masjid. Diberinya kerja dan akhirnya si anak tidak dapat menerima suami yang dipilih kerana dialah orang yang memperkosanya. Peluang untuk bertaubat dan berlaku baik  untuk kesemua wataknya, dengan kesudahan yang baik nampaknya ditutup dalam Hujan Malam Itu.

            Dari segi pengarahan ianya adalah baik. Sabri Yunus berjaya mengarah dengan baik. Ada beberapa shot yang tidak begitu baik dan gagal dalam menyampaikan maksud shot tetapi secara keseluruhannya, ianya adalah baik. Cuma peneliti audio mungkin tidak peka apabila pelakon 'mumbling' membuat tidak siapa tahu apa yang dikatakan pelakon. Mungkin juga peneliti audio tidak boleh berbuat apa-apa kerana yang mumblingnya adalah pengarahnya sendiri. Entahlah.

            Dari segi penceritaan, Sabri Yunus masih banyak perlu belajar kalau mahu lari dari penulisan era 70-an. Sudah lebih 50 tahun, takkan drama kita masih di tahap yang sama.

            Apabila selesai menonton drama ini, saya terfikir, ke mana arahnya drama kita selepas 70 tahun wujudnya RTM. Masih mahu di tahap lama ke? Apa jadi dengan sistem penilaian dan penerimaan cerita melalui pitching. Nampaknya... tidak ada kesudahan dengan masalah konten dalam penceritaan.

            Setelah 70 tahun hidup, RTM sepatutnya sudah terkenal seluruh dunia dengan cerita yang sangat bermutu dan rancangan-rancangan yang menarik yang memberi pengharapan kepada negara dan masyarakat. Sepatutnya begitu. Malangnya.... RTM cuma seronok dengan angkanya 70 tahun. Begitu lama di dalam industri! Konten ceritanya tidak ke mana.... Malang sekali untuk negara kerana sebenarnya, RTM tidak ada arah untuk dituju. Kalau tidak tentu drama-dramanya menjadi sangat bermutu.

            Balik kepada Hujan Malam Itu. Ceritanya draggy. Tidak ada keindahan dalam penceritaannya. Saya selalu ulang dan ulang lagi. Dalam sesebuah drama yang bermutu mesti ada magisnya. Magiknya terletak kepada unsur pengembaraannya, unsur humornya, unsur pengorbanannya dan akhirnya unsur percintaannya. Saya sebut dan sebut sekali lagi... unsur pengembaraan adalah untuk menunjukkan satu jalinan cerita yang bergerak, membuat penonton tertanya-tanya, apa nak jadi selanjutnya, bagaimana wataknya mahu selamat... Penonton boleh terbawa dengan suspen dan persoalanan, kalau unsur ini digarap dengan baik.

            Unsur humornya, walaupun dalam cerita yang sedih, mesti wujud. Ini memberi ruang kepada penonton untuk berehat jiwa dan minda kerana masa bercerita adalah 2 jam. Dua jam melayan cerita yang meleret adalah tersangat membosankan. Dalam cerita-cerita hindustan, tamil, hollywood atau kebanyakan cerita dalam dunia ini, ada diupah pelakon komedi untuk menjayakan sesetengah babak. Untuk penulis yang pandai, tidak perlu ditambah watak komedi tetapi senarionya boleh dihumorkan...

            Unsur pengorbanan adalah sangat penting dalam mana-mana drama. Inilah detik di mana jiwa penonton disentuh. Semangat dan kepercayaan penonton dikupas sama ada dengan perlahan melalui susunan beberapa babak atau mendadak mengikut ketelitian penulis. Pengorbanan boleh dilakukan di dalam drama ini ketika Zara Zya merasa sakit dan pening tiba-tiba. Si suami boleh mengendong isteri yang tidak mahu bersamanya (kerana rasa bersalah dinoda). Kalau tidak mengendong pun, si suami boleh menunjukkan sifat keterlaluan ambil beratnya sehingga tidak sedar tangannya (kaki, kepala, mana manalah!) luka atau berdarah kerana sesuatu kecederaan. Ini boleh menyentuh perasaan penonton.

            Tujuan menulis atau bercerita adalah untuk membawa penonton menghayati penceritaan. Tugas penulis adalah untuk membawa rasa dan semangat penonton ke arah penceritaan. Bukannya memaksa penonton memahami melalui kronologi urutan kejadian.

            Unsur percintaan bertujuan untuk membawa penonton menyentuh sudut kecil hatinya. Penulis harus mampu membawa penceritaan dengan mengaitkan unsur percintaan dari kebencian atau dari kosong sehingga tergerak cintanya. Cinta boleh kepada ayah, boleh kepada ibu, boleh kepada suami, boleh kepada isteri, boleh kepada anak, kawan sebagainya... Pandai-pandailah penulis memilih untuk mempertengahkan unsur-unsur ini.

            Malangnya, penulis di dalam Hujan Malam Itu gagal di dalam mempertengahkan empat elemen ini di dalam penceritaan.

            Kalaulah drama ini ditonton pada tahun-tahun 70-an tentu ianya begitu menambat perasaan.  Bagaimanapun, zaman sekarang.. kita sudah terlalu lama disumbat dan ditatang dengan pelbagai cerita dari luar dan dalam. Tentu kita tidak mahu lagi melihat cerita dengan idea idea klise tetapi kita mahukan sesuatu yang lain dari yang lain. Hujan Malam Itu tidak ada kelainan!

            Sepatutnya, apabila babak rumah dicerobohi dan diperkosa cerita ini di bawa ke hadapan setahun kemudian. Lebih banyak pengorbanan, percintaan dan humor menanti kalau ianya dibawa setahun atau 8 bulan ke hadapan. Bayangkan, Zara Zya sudah berkahwin dan sarat mengandung. Suami masih tidur di luar, di ruang tamu walaupun sudah sekian lama berkahwin. Pembantu kedai basuh kenderaan boleh memberi humor kepada penceritaan.

            Zaman telah berubah, idea juga perlu berubah. Fikir lah sesuatu dengan 'simple' sebolehnya kemudian fikirkan sesuatu mengenainya di luar kemampuan penceritaan. Kaedahnya, apa yang belum orang fikir... apa yang mahu menyentuh pemikiran orang. Bagaimana mahu membuat penonton turut bersedih... dan sebagainya.

            Untuk saya, masih banyak yang perlu dipelajari dalam kaedah penceritaan oleh penulis Hujan Malam Itu.  
           
           



Friday, April 1, 2016

Ola Bola Satu Pandangan Dari Sudut Penceritaan

OLA BOLA: SATU PANDANGAN DARI SUDUT PENCERITAAN

Banyak saya dengar mengenai Ola Bola dari kawan-kawan penggiat seni lakon layar. Banyak yang positif yang memberatkan kejayaan formula masyarakat majmuk dipertengahkan dalam sesebuah filem Malaysia. Dari segi konten utamanya, ramai yang mahu formula ketiga bangsa diserapkan dalam pembikinan mana-mana filem kerana itu sebenarnya Malaysia dan itu kononnya, menjamin kejayaan.

Sebagai penulis dan juga orang yang biasa mengkritik filem dan drama (pernah menjadi wartawan hiburan The Star satu masa dahulu), saya terbawa untuk menontonnya. Tujuannya, ingin merasakan sedikit semangat cintakan negara dan melihat bagaimana keserasian perpaduan kaum dikupas dalam filem Ola Bola. Saya pada awal lagi, bagaimanapun menahan diri untuk menonton kerana ada sedikit phobia bila menonton filem Malaysia. Biasanya, filem Melayu ceritanya 'flat' atau landai dengan cakap-cakap kasar. Kadang kala menjunam plotnya. Bagaimanapun, digagahi juga menonton dengan menanam semangat yang positif, saya keluar mencari DVD Ola Bola. Lagipula saya mahu menontonnya kerana ianya ditulis penulis muda (rasanya) kerana cuma tercatat idea asal dari Chiu Keng Guan, saya mahu memberi sokongan. Mana tahu mereka lebih baik dari penulis-penulis lama seperti saya dan industri (penulisan) kita berada di landasan yang betul.

Ini pendapat saya selepas begitu teliti menonton.

Mula sekali biar saya beri satu puji kerana yang tak pujinya terlalu banyak.

Pelakon utamanya sangat bagus lakonannya. Saya memuji serta menepuk tangan kepada JC Chee dan Saran Kumar A\L Manokaran. Saya bagi A pada lakonan mereka. Apa yang dikehendaki pengarah (rasanya) dipenuhi mereka walaupun ada banyak kelemahan dalam teknik pengarahan. JC Chee berjaya membawa watak seorang ketua pasukan bola yang tertekan antara ego dan sumbangannya pada masyarakat dan negara. Begitu juga dengan Muthu yang begitu bersungguh-sungguh cuba menghidupkan watak Muthu, anak seorang taukeh kelapa yang sangat komited menjadi penjaga gol. Saya suka melihat mereka berdua berlakon.

Pengarah seninya juga rajin. Cantik apa yang diusahakannya.

Biasanya kalau kita nak menilai filem mengenai bola maka terpaksa tidak, terfikir kepada filem Stallone; Victory yang diterbitkan pada tahun 1981. Cerita POW dalam tahanan Jerman perang dunia kedua bersemangat melawan pasukan 'soccer' penjara Jerman. Antara nama popular yang berlakon termasuklah Pele, lagenda bolasepak dunia dan Michael Caine. Ada sebuah lagi filem sukan yang menarik tetapi ianya filem American Football, The Replacement lakonan Keanu Reeve dan Gene Hackman. Saya sangat suka dengan filem ini. Terlalu baik cara pengarahan dan apa yang disampaikan.

Hati saya bagaimanapun lebih terpaut pada lakonan Robert Redford dan Robert Duvall dalam The Natural (1984). Itu satu-satu filem sukan yang sangat menyentuh perasaan. Banyak lagi filem-filem sukan yang sangat menarik dan berjaya menimbulkan detik cemas kesukanan (biasanya dalam permainan bola keranjang) yang terlintas di kepala apabila menonton filem sukan. Kerana saya sendiri peminat filem-filem sukan maka saya mahu melihat aspek-aspek yang positif seperti pengorbanan setiakawan, kegigihan berusaha menjadi yang terbaik, melawan arus biarpun tidak ada langsung peluang untuk menang dan sedikit gelak ketawa dalam filem Ola Bola.

Selesai menonton bersama anak perempuan saya, saya bertanya kepadanya, 'macamana Cha, seronok ke tidak?' Jawab anak saya, 'Cha tak tahulah Daddy, Cha dah mengantuk!"

Sampai macam tu sekali dia jawab. Tak tahu seronok ke tidak. Yang sahih, dia mengantuk selepas tengok cerita Ola Bola. Sebenarnya, saya pun sama juga seperti anak saya. Mengantuk hampir keseluruhan waktu menonton filem Ola Bola. Ceritanya begitu 'flat' dan tidak lari dari kebiasaan filem Malaysia lainnya. Oppps... sama juga seperti filem Melayu lainnya!

Walaupun mengantuk dan terasa bosan dengan perkembangan filem Ola Bola, saya bergerak juga ke dapur untuk membancuh teh agar saya boleh menontonnya dengan sedar dan rasional. Bila kembali ke depan TV saya rewind balik ceritanya agar tidak terlepas sesuatu apa pun.

Tahlah, niatnya betul untuk menampakkan keceriaan dan semangat masyarakat Malaysia. Kita mesti mengakui bahawa kita ini berbilang bangsa dan hidup aman damai antara kaum dengan misi dan perjuangan yang sama dalam menjadi rakyat Malaysia. Maka pada konsepnya, ianya adalah baik.  

Pada penceritaan, ianya hambar! Gagal memberi semangat yang diperlukan dalam sesebuah cerita sukan atau cerita patroitik.

Apa yang sangat miskin dalam penceritaan adalah seni bercerita. Orang putih kata 'The art of story telling'.  Niatnya ada belaka. Cara penyampaiannya longgar dan sempit. Imaginasi-nya biasa!

Contohnya, adik si Muthu memberitahu ayahnya dia memerlukan kaca mata yang baharu kerana apa yang dipakainya sudah tidak sesuai. Bercakap dalam bahasa India, OK. Tak ada masalah. Babak ini membawa kita kepada premis ayah Muthu dengan lori mengangkut kelapa untuk di jual, di ladang kelapanya. Muthu dan adik-adiknya membantu. Tiba-tiba muncul si adik Muthu memberitahu ayahnya, gurunya menyuruh membeli kaca mata baharu. Ayahnya menolak, tidak mahu berbelanja lebih. Tiba-tiba muncul Muthu memberi wang kepada adiknya untuk membeli kaca mata. Niatnya sangat bagus dan boleh menjadi babak mengharukan. Tapi kerana terbawa dengan unsur tiba-tiba.... maka hancur niat dan babak ini! Jadi kartun unsur tiba-tibanya.

Dalam seni bercerita, babak begini sepatutnya dimulakan dengan babak lain bagaimana Muthu mendapat bayaran daripada hasil permainan bolanya. Bayarannya sedikit. Maklumlah tahun 1980. Muthu terlalu menyimpan hasrat mahu membeli sarung tangan baharu untuk menjadi penjaga gol yang jauh lebih baik (jadi adalah motifnya pada babak akan datang, Muthu diberi sarung tangan oleh rakannya). Cuma tambah dua babak yang pendek, mesej penyampaiannya menjadi lengkap, tersusun dan menyentuh perasaan! Lagipula, seni penceritaan adalah mahu penonton merasa bersama, kesusahan Muthu. Bukannya muncul tiba-tiba dan memberi duit kepada adiknya. Maka tidak ada sedikitpun rasa terharu penonton. Malah, macam memaksa penonton terharu!!! Bukan membawa penonton... tetapi memaksa! Babak sudah elok..... cara penyampaiannya meleset. (Lagipula, tidak sekali pun disematkan 'insert' reaksi Muthu apabila adiknya bercakap dan kekesalan adiknya kerana permintaannya gagal. )

Cerita ini berpaksikan kepada apa yang berlaku tahun 1980.

Jackie Chan sangat popular akhir tahun 1970an. Jackie Chan adalah sensasi nasional! Malah rambut Chin An iaitu 'Taukeh' pasukan bola sepak negara, rasanya sama benar dengan rambut Jackie Chan. Entah siapa ikut siapa. Malah ramai orang tidak kira Melayu, India atau Cina begitu berminat memakai kasut kungfu Cina dan baju t pagoda untuk mengikut Jackie Chan dalam filem Drunken Monkey In The Tiger's Eyes atau Snake in The Eagle's Shadow. Lionel Ritchie yang disebut dalam cerita tidak muncul dengan album sulung solonya sehingga tahun 1982. Dia masih di dalam The Commodores pada tahun 1980. Jadi fesyen misai Lionel Ritchie masih belum begitu popular sehingga dia menerbitkan album Truly-nya dua tahun daripada cerita ini kononnya disasarkan. Bagaimanapun dia begitu popular dengan lagu Three Times a Lady bila bersama The Commodores (1968-1980). Salah satu watak di dalam cerita Ola Bola meniru fesyen misainya. Kalau tidak mahu memeningkan kepala, paling tidakpun kata dia mengikut fesyen Hutch dalam Starsky and Hutch (1975-79). Drama ini masih ditayangkan di Malaysia pada tahun 1980-an. Atau meniru Tom Selleck dalam Magnum PI (1980-1988).  Lekeh-lekeh pun, misai taring Arumugam dan Alleycats pun sangat popular tahun 1980-an.

'Point' di sini, cari kesukaan orang di zaman itu dan pada ketika itu. Maka orang yang menonton boleh terikat dan dalam bahasa orang putih, 'relate' dengan nostalgia zaman tersebut. Pasang lagu Barry Manilow atau lagu-lagu The Commodores sebagai latar bunyinya. Tentu ramai yang terharu. Setidakpun Deep Purple yang sentiasa evergreen. 

Ada empat unsur dalam seni bercerita yang tidak boleh lari dari menjadi intipati drama atau filem. Unsur humor, unsur 'adventure', unsur keperwiraan dan unsur 'romance'. Unsur ini mesti ujud dalam sesebuah filem untuk menjadikan ianya filem yang menghiburkan dan berjaya.

Bukannya unsur sebegini main tangkap muat sahaja tetapi ada tujuannya dalam penyampaian.

Unsur humor membuat kita sayang dengan wataknya (contohnya Stallone dalam Victory cuba berjenaka untuk menyenangkan kawan-kawannya). Unsur ini juga memberi ruang bertenang dan berhibur kepada penonton. Filem Ola Bola tidak ada memberi ruang langsung untuk unsur humor. Bagi saya, ketiadaan unsur ini membuat filem ini bosan. Penonton tidak ada masa merehatkan minda semasa mengikuti filem 90 minit ini. Sentiasa 'flat' sahaja rasa hampir 90 minit.  Akbatnya juga, tidak ada rasa sayang kepada watak-watak yang diketengahkan.

Kegagalan bercerita adalah apabila kita gagal menyayangi, bersimpati atau menyukai watak-watak. Itu kegagalan besar sesebuah filem!

Unsur 'adventure' nya ada diketengahkan. Tujuan unsur ini membuat sesebuah cerita itu bergerak dan sukar dibaca apa yang akan berlaku. Bagaimanapun tersangat longgar dan bersentak (jerking) cara penyampaiannya. 'Adventure' yang cuba diusahakan di dalam filem ini tidak berkaitan antara satu babak ke satu babak. Sangat menghampakan!

Satu lagi unsur yang penting untuk digunakapakai dalam penceritaan adalah 'romance'.... Cintan atau kasih sayang. Tidak semestinya kasih sayang antara teruna dara...., though preferably begitu...  hehehe. Kasih sayang kepada emak atau keluarga atau kepada sahabat atau kawan boleh menjadikan sesebuah cerita itu tidak padam dek zaman. Semua orang mengharap sangat mahu melihat sesuatu tentang Cintan. Kerana jiwa penonton menuntutnya. Unsur cintan ini biasanya membuat penonton terharu dengan babak dan perwatakan. Boleh sedih dan gembira bersama.

Malangnya, tidak ada langsung! Kalau ada pun, gagal utk difahami.

Unsur keperwiraan sangat penting dalam memperkuatkan watak. Ianya cuba dimainkan dalam Ola Bola. Agak menarik peranan watak Sarbeth dan Kok Keong. Bagaimanapun, cara penyampaiannya sekali lagi longgar. Tiba-tiba sahaja meletup sesuatu perbincangan. Macam tidak merancang perjalanan plot dan main masuk sahaja babak.

Chin An kata dalam satu temubual dalam suratkhabar, sebaiknya, Ola Bola mengikut fakta sejarah. Apabila tempoh sejarah masih lagi dalam ingatan, maka sukar untuk sesetengah orang menerima penipuan atau andaian ianya cerita rekaan semata-mata.

Kalau saya yang menulis cerita ini, saya mulakan dengan sesuatu kejadian yang mengharukan. Tetapi (sengaja disalah tatabahasakan) cerita ini dimulakan dengan watak perempuan cantik yang disuruh mencari cerita mengenai pemain bola tahun 1980. Sangat flat caranya. Ini tidak termasuk langsung dalam teknik membina sesebuah filem sukan. Arwah Zain Mahmud, bekas Ketua Pengarah Penyiaran pernah berkata, the first 5-minute is so important in producing a film. Kalau bosan lima minit pertama maka susahlah orang untuk mengikut pembawaan ceritanya. Bagaimanapun, dalam banyak cerita-cerita yang memberatkan perwatakan, hollywood terbawa untuk menggunakan teknik flat first five-minute.

Bagi saya, sebaiknya, mulakan dengan kematian salah seorang pemain bola. Dialah pemain yang menyatukan semua pemain lainnya. Konfliknya, reporter yang disuruh tidak nampak kepentingannya. Atau mulakan dengan faktur wira sentiasa wira. Bila dah tuapun, bekas pemain bola masih mahu menyelamatkan seseorang. Akibatnya, dia parah dan tenat. Maka masuklah karektor Bront Palarae, pemberita dan kenalannya membantu untuk memenuhi satu impiannya. Could be, jumpa kawan-kawan lama (1980s) atau bayar hutang lama kepada kawan. Nak masukkan amoi cantik tu pun tak pa juga... jadi assistant..

Sedih diingatkan bahawa watak Palarae dalam Ola Bola sangat merepek. Tak ujud pun tak apa. Tidak ada kepentingan langsung. Ia bagai satu cerita asing tanpa ada kaitan langsung dengan cerita Ola Bola.

Cara pemilihan pemain kebangsaan tidak langsung disebut. Kepentingan handal di peringkat liga negara. Diandaikan, pemain negara adalah tetap. Macam negara kita ini adalah kecil sangat. Unsur konflik seperti penjaring gol terbanyak musim liga dipilih masuk ke dalam pasukan kebangsaan tidak dimainkan dengan baik. Konflik begini sangat penting dalam bercerita mengenai sukan. Apa yang berlaku bagai tidak ada kajian dibuat untuk mencantikkan cerita. Benda begini penting unsur memasukkan fakta strategi dalam permainan. Melawan pasukan lain harus diadakan sedikit kajian. Faham musuh dan bagaimana mengawal mereka. Tidak langsung disebut. Kita bukannya jadi juara kerana nasib tetapi kerana taktik dan kesungguhan.

Kalau mahu berbohong mengikut Robert Ludlum, bohonglah atas perkara yang benar. Dalam seni bercerita, alang-alang berbohong, biarlah begitu tidak realistik penceritaannya. Hoolywood pun bohong besar tetap dilakukan dengan cantik dalam Titanic dan Life of Pi.

Nak bohong cantik ni, ambil unsur mitos yang ada. Contohnya mitos Super Mokh dikatakan menyepak bola terlalu kuat sampai penjaga gol lawan pun lari. Betis Chin An tidak jatuh dicantas.... Tangan Arumugam terlalu cekap dan boleh menyambar pisau yang dibalingkan kepadanya. Benda begini boleh dibawa ke dalam cerita untuk membuat ianya menjadi 'memorable'. Cara latihan bagaimana menyepak terlalu kuat. Nak masuk Olimpik, bukan sahaja mesti pasukan yang baik tetapi pesertanya mesti terbaik! Jadi watak Kok Keong dilihat berlatih sehingga kakinya kuat tidak berganjak kalau dicantas atau ditolak. 10 orang panjat pun tidak tumbang. Kalau bertahan, tidak ada orang yang dapat melepasinya. Begitu juga dengan watak Muthu. Mesti berlatih sehingga terlalu handal dia menjaga gawang golnya. Contohnya latihan menyambut kelapa yang jatuh dari pokok di kebun kelapa ayahnya.

Ola Bola mungkin berjaya dengan formula berbilang kaumnya dan gimmick pemasarannya tetapi secara penceritaan ianya gagal. Tidak ada langsung magik penceritaan dalam Ola bola! Ia begitu hambar sehingga laungan Ola Bola itu sendiri pun tidak diketengahkan.







    

   

Friday, October 2, 2015

Phenomenon:- Seni Bercerita Dalam Bentuk Visual

It has been a while.

It was a long time ago that I found this one movie amazed me a lot. I can't help but to think about all the possibilities that the film conveyed. I still find it all fascinating. About life and death, the secrets behind human mind, sacred bond of friendship and the quiet meaning of love. It was the movie! Dealing with all the above. Beautifully done. 


If you want to produce a movie, this is the way to do it. If it is as simple as cut and paste, well, all movies should be done like this. Just cut and paste Phenomenon and you have a good movie. Its magic, the humor, wittiness of the dialogues, down to earth characters (who have ever thought that  American could be so down to earth and polite!!! Hollywood has long and proudly shown us that Americans are nasty bad-mouth black-cultured people (though they are white), love to kill (and still doing it), few vocab-people and unable to survive without a few bad words in every sentence they deliver) and a society without a decent  civilised culture.), were amazing.

I want to comment about this movie and the frustration over Malay drama and movies, which seem to lose direction to where it is headed. 

Jon Turtletaub sebagai pengarah melakukan dengan begitu sempurna tanggungjawabnya. Dari segi shot, lighting dan penghayatan watak, langsung tidak ada kesilapannya. Dialog disampaikan dengan jelas dan begitu tertib. Alangkah baiknya kalau ada orang begini sebagai pengarah di negara kita. 

Elemen-elemen penting yang perlu ada dalam sesebuah filem untuk menjadikan ianya istimewa seperti unsur-unsur magiknya, keperwiraan watak-wataknya, unsur hiburannya dan akhir sekali romance digarap dengan baik sekali.  

Tema biasa diambil, seorang makenik yang sepanjang hayatnya cuma tinggal di pekan kecil, jatuh hati dengan seorang janda beranak dua. Ini adalah asas kepada penceritaan. Kemudian digarap masuk keperluan untuk menonjolkan apa kah magiknya filem ini.

Lalu dimasukkan
1. Watak utama terdedah kepada cahaya dari langit
2. Watak utama menjadi terlalu pandai kerana dedahan tersebut.
3. Sepanjang penceritaan akan menonjol kebolehan baharu watak utama.  

Unsur magik yang amat menarik. Menjadikan cerita ini amat tersendiri. Magik dalam erti kata lain bukan lah dengan menunjukkan seorang ahli silap mata menunjukkan kebolehannya.

Seorang penulis skrip semestinya mempunyai pemikiran teratur yang sebegini. Mula dengan meletakkan tema sesebuah cerita. Kemudian dimasukkan keempat-empat kriteria yang menjadikan ianya istimewa. 

Unsur awalnya adalah magik. Apa yang diklasifikasikan sebagai magik adalah satu keistimewaan tertentu melalui penceritaan persekitaran atau perwatakan yang memberi sedikit fantasi, membuka imaginasi serta menggerakkan sensasi keseronokan dikalangan penonton.

Seorang penulis harus mampu berfikir dengan membentuk sebuah cerita. Kerana seni visual adalah seni bercerita. Kalau kita mengkaji Phenomenon maka unsur magik yang dimasukkan adalah watak utama menyambut hari ulangtahun kelahirannya, penuh meriah di sebuah pub. Kerana dia, George O Mally adalah seorang makenik yang baik hati. Semua orang kenalnya. Elemen magik masuk apabila pada tepat 12 malam ketika mendongak ke langit, dia pengsan akibat terpncar cahaya dari langit. 

Ceritanya dibawa... apabila kebolehannya mulai terserlah dalam pelbagai bidang. Inilah faktur yang mencantikkan cerita. Namun cerita ini tidak lari dari tema asalnya.. kisah percintaan watak utama yang terlalu cinta seorang janda anak dua.  

Unsur keperwiraannya dibawa masuk ke dalam cerita dengan menunjukkan perwatakannya sanggup berkorban untuk kawannya walaupun dia akan mnghadapi kesusahan. (Ketika kawannya ditangkap kerana berjaya memecahkan kod rahsia kerajaan), watak utama menyerah diri kerana tidak mahu kawannya didera. Tidak itu saja, dia telah menentukan jodoh buat kawannya yang takut perempuan.  

Unsur keperwiraan juga ditunjukkan melalui sikap kelakian watak utama umpamanya amat setia kepada seorang wanita serta usahanya menjadi manusia biasa walaupun dengan segala keistimewaannya.  

Tujuan unsur unsur keperwiraan dijadikan antara elemen utama penceritaan adalah, kalau unsur magik membuka sedikit fantasi atau sensasi di kalangan penonton, unsur keperwiraan meledak semangat penonton untuk menyokong watak utama. 

Unsur hiburan dalam filem ini tidak mengambil pendekatan terus atau langsung apa itu hiburan. Bagaimanapun ia mempertengahkan budaya masyarakat tempatan sebagai unsur hiburannya. Tujuannya dengan budaya, masyarakat terhibur. Jadi kita melihat George akan bertani. Kita dihidangkan dengan pemandangan yang amat menghiburkan. Memberi ketenangan kepada mata dan hati yang melihat. 

Dari sini jelaslah klasifikasi hiburan itu tidak terletak kepada penggunaan penyanyi utk menyanyi lagu atau pergi berhibur di kelab malam. Hiburan itu adalah faktor sampingan di dalam filem yang dapat memberi ketenangan sejenak dalam menghayati drama atau filem tersebut. Satu pendekatan, asalkan ianya menenangkan penonton adalah hiburan. Unsur komedi, dialog perwatakan bersahaja, permainan rakyat (catur umpamanya) adalah antara kriteria hiburan. 

Akhirnya romance. Tujuannya adalah memainkan perasaan penonton untuk merasa hiba atau sedih bersama watak. Untuk merasa gembira dan terhibur bersama watak. Malah tujuan utama romance atau percintaan ini adalah untuk mengikat penonton dengan perwatakan. 

Kita melihat George O'Mally sukakan seorang janda. Tiap hari dia akan membeli sebuah kerusi yang dibuat janda tersebut. Buatannya tersangat buruk tetapi George sentiasa membelinya. Kerana cintanya. Cintanya dilafazkan tetapi janda tersebut berulang kali menolak kerana dia tiada masa untuk bercinta. Anak-anak perlu perhatiannya sepenuhnya. Namun George tetap berusaha. Tidak berputus asa. Matinya Gorge juga dalam keadaan cinta yang mendalamterhadap janda anak dua ini. Ini menjadikan unsur romance di dalam penceritaan ini unik.