Friday, July 1, 2011

Kisah Baju Lusuh

Sentuhan Jiwa Untuk Kanak-Kanak
Saya akan mula menulis beberapa buah cerita yang bertujuan memberi dorongan dan semangat kepada kanak-kanak agar membentuk jati diri kemanusiaan yang mulia. Kebanyakan cerita yang terdapat berkisar kepada cerita tuan puteri atau pengembaraan yang langsung tidak memberi sebarang pendedahan kepada pembentukan sifat sifat luhur dan mulia dalam diri seseorang kanak-kanak.
Sebagai penulis, saya akan berusaha.
Kisah Baju Lusuh
Cikgu Hamid baru beberapa tapak melangkah setelah menutup pintu pagar sekolah apabila dia terdengar ia cuba dibuka. Perlahan. Hampir tiada bunyi. Tetapi telinga Cikgu Hamid memang diasuh untuk mencari salah. Cikgu Hamid mematikan langkah dan berpusing memandang Zali yang tercengat menunduk di pintu pagar. Bagai orang salah menanti hukuman. Baran Cikgu Hamid kembali bila ternampak Zali. Lewat ke sekolah. Jam sudah 1.40 petang. Hampir 10 minit sesi sekolah petang bermula. Zali lambat lagi. Murid lain sudah lama di kelas masing masing. Zali pula akan sentiasa lewat. Murid malas!
"Awak lagi. Tak habis habis muka awak yang lambat!" Suara tempikan yang meninggi marah hampir mematikan degup jantung Zali. 
"Kenapa dengan awak ni? Tengok baju awak! Kotor! Macam tak ada baju lain awak nak pakai!"
Zali tunduk diam. Tidak berani membantah atau memberi alasan. Dia dah buat salah. Dia mesti sanggup menerima hukuman.
"Awak pergi masuk kelas! Saya beri amaran pada awak. Kalau esok saya tangkap awak lewat lagi, saya bedal awak dengan rotan"
Zali mengheret kakinya perlahan. Sedaya upaya cuba mengawal kasut yang dipakainya dari terlucut. Dia tidak mahu kasut besarnya terlucut di depan Cikgu Hamid. Cikgu Hamid cikgu disiplin. Dia garang! Sedikit salah saja pasti berat hukuman.
Cikgu Hamid memerhatikan Zali melangkah pergi. Meluat dengan perangai Zali yang langsung tidak hiraukan undang-undang sekolah. Tiap hari muka Zali saja yang lewat. Zali dengan kasut besarnya, baju lusuh yang bingit bau peluh. Budak yang malas dan tak tahu menjaga kebersihan.  
Esoknya, sudah 15 minit lewat pun, Cikgu Hamid masih menanti di pintu pagar. Zali muncul akhirnya. Lebih lewat dari biasa. Malah lebih lewat dari malam kelmarin. Cikgu Hamid gembira kerana jangkaannya memang benar. Biar lama sikit menunggu tetapi berbaloi. Zali ditangkap. Amaran sudah diberi. Kalau lewat lagi, Zali akan dirotan. Cikgu Hamid sebenarnya gembira Zali berani mengujinya. Dia akan mengajar Zali betul-betul. Biar tiga kali rotan hinggap di punggung Zali, tentu dia akan sedar. Zali memang murid yang tidak bertanggung jawab. Kalaupun dia ditegur dan dipesan, Zali akan tetap datang lewat. Murid yang malas. Perlu diajar.
Zali diseret ke bilik guru dan dibedal tiga kali dengan rotan. Tiap kali rotan hinggap dipunggungnya, Zali sedikitpun tidak meraung sakit. Bila selesai, Zali disuruh balik ke kelas. Perlahan Zali menunduk dan berundur ke kelasnya. Menyeret kasut besarnya perlahan. Cikgu Hamid tidak nampak. Mungkin kerana agak seronok membedal Zali. Cikgu Hamid tidak nampak beratnya hati Zali menanggung hukuman ke atasnya. Mata Zali penuh bergenang air. Tetapi dia langsung tak bersuara. Malah ketika dirotan pun dia tidak mahu meraung sakit. Hatinya keras menerima hukuman. Berani buat berani tanggung! Sifat lelaki sebenar, ajar abangnya, Tajudin. Lelaki sebenar mesti berani. Kasut besar yang diseret Zali tertanggal apabila dia melangkah keluar dari bilik guru. Lantas Zali menyarung kasutnya. Tanpa disedarinya, air mata menitis jatuh ke lantai. Cikgu Hamid cuma memandangnya. Menggeleng kepalanya tanda dia masih tidak berpuas hati dengan sikap Zali.
Baru tunduk untuk menyarung kasutnya, Cikgu Zainab tiba-tiba saja muncul menarik kasut dari tangannya lalu disarung ke kaki Zali. Zali merasa serba salah melihatkan Cikgu Zainab membantunya. Selesai menyarung, Cikgu Zainab menyapu air mata yang mula membasahi pipi Zali. Dia mengusap airmata muridnya dan membelai rambut Zali. Seakan memberi semangat kepadanya. Kasihan dengan anak muridnya yang dirotan.  
Setelah Zali meninggalkan mereka, Cikgu Zainab bertemu Cikgu Hamid mengajak rakannya itu mengikutnya ke satu tempat. Cikgu Hamid harus datang awal esoknya kerana dia mahu tunjukkan sesuatu yang penting kepada Cikgu Hamid. Mahu tidak mahu, diajak dan dipujuk Cikgu Zainab, Cikgu Hamid bersetuju untuk mengikut rakannya itu esoknya.
Esoknya.
Cikgu Hamid menampar mukanya yang diganggu nyamuk. Naik rimas kerana terpaksa bersembunyi di belakang pokok mempelam yang agak semak. Tempat yang tidak dijaga, tengahari pun banyak nyamuk. Cikgu Hamid baru mahu menyuarakan ajakan Cikgu Zainab bukan suatu yang baik apabila dia disuruh diam dan memerhatikan ke arah rumah Zali yang berada tidak jauh dari tempat mereka bersembunyi. Zali keluar tidak berbaju dan cuma berseluar sekolah. Dia duduk di anak tangga sambil memasukkan kerompolan surat khabar ke kasut sekolah bersaiz besar kepunyaan abangnya.
Cikgu Hamid baru sedar, mereka berada di kawasan rumah Zali.
"Cikgu nak kita buat apa layan nyamuk macam ni?" protes Cikgu Hamid pada rakannya.
Cikgu Zainab cuma menyuruh dia diam dan memerhatikan Zali. Nampak Zali agak cemas. Dia mundar mandir. Jam di tangan Cikgu Hamid sudah pun pukul 1.20 tengahari. Murid malas ni masih belum berbaju. Patutlah lewat. Baru saja Cikgu Hamid mahu bertindak untuk keluar memarahi Zali, dia tersentak apabila Tajudin berlari memintasnya. Berlari laju sambil membuka butang baju sekolah yang dipakainya. Menanggalkan baju sekolahnya. Cikgu Zainab segera menarik Cikgu Hamid. Merayu dia memerhatikan apa yang akan berlaku.
Bila Tajudin sampai di rumahnya, baju yang dipakainya siap tertanggal. Dia terus memakainya pada adiknya, Zali. Begitu cermat dan penuh kasih sayang.
"Kita orang lelaki. Terima saja kalau kita salah. Faham!"
"Sakit abang. Adik sakit kena rotan semalam kerana lewat. Cikgu Hamid garang!"
"Abang tak ada duit nak beli baju buat Zali. Pakai baju abang dulu. Nanti bila ayah dah sembuh, dia boleh pergi kerja, tentu kita beli baju baru untuk Zali. Kerja abang buat boleh makan saja. Ingat, kita mesti rajin usaha timba ilmu. Ayah mahu kita pandai!" Pujuk Tajudin sambil menunduk memakaikan kasut di kaki adiknya.
"Ayah dah makan ubat tadi, abang!. Dia tak mau makan tapi Zali pujuk juga! Abang jangan lupa balik bagi ayah makan ubat petang nanti," ujar Zali lebih menyuruh.
Zali kemudian bergerak pergi. Langkahnya laju.
"Cepat adik. Dah lewat!" Pekik Tajudin.
Zali mulai berlari. Dia terhenti bila terdengar abangnya memanggilnya lagi.
"Ingat! Belajar rajin-rajin. Tak mengapa kita susah. Ilmu tu penting. Kalau kita kena bedal, kena rotan, kena usik, terima saja! Orang lelaki mesti berani hadapi susah!"  Tajudin sekali mengingatkan adiknya. Baru 13 tahun tetapi sudah pandai nasihat adik.
"Abang jangan lupa bagi ayah makan ubat! Baju baru, kasut baru tak ada pun tak apa. Asal ayah sembuh," tambah Zali lalu terus berlari dari situ. Kasut besarnya terlucut beberapa kali bila berlari.
Cikgu Hamid tersentak dengan apa yang berlaku. Dia memandang Cikgu Zainab yang kini sedih mengusap air mata.
"Budak yang kecil macam tu pun tahu menjaga ayah yang sakit. Dah lebih 6 bulan sakit! 6 bulan tak ada pendapatan. Si abang sekolah pagi, si adik sekolah petang. Pakai baju yang sama. Tak pernah merungut. Tak pernah meminta atau mengharap," terang Cikgu Zainab.
"Bapa sakit, mereka makan apa?" Tanya Cikgu Hamid mulai mengambil berat.
"Tajudin akan keluar sekejap lagi. Bawa sabit dan guni. Cari upah potong rumput rumah orang orang di sini!" Tambah Cikgu Zainab.
Cikgu Hamid duduk tersandar pada pokok mempelam yang tadinya banyak nyamuk. Sesal dan kagum!  Tiba-tiba saja tiada lagi nyamuk yang menganggunya.