Saturday, September 10, 2016



Telemovie Aku dan adik:- Masih di tahap lama
Karya:- Siti Jasmina Ibrahim
Terbitan: Mermaid Pictures
TV3, 9 malam. 9/9/16

Lakonan dan arahan dalam drama Aku dan Adik yang disiarkan pda hari Sabtu 9/9/16 di TV3
sangat baik diusahakan. Para pelakon muda yang terdiri daripada Liyana Jasmay, Afiq Sazwan dan beberapa pelakon remaja yang tidak saya kenali berjaya membawa watak yang diberikan dan baik mutu lakonan mereka. Nampaknya kita tidak perlu bersusah hati mengenai bakat-bakat pelakon di negara kita kerana melihatkan para remaja ini berlakon, kita tidak ketandusan bakat. Tahniah kepada mereka walaupun muda tetapi berjaya menghayati watak yang diberikan.

Pengarah telemovie ini juga harus diberi pujian kerana berjaya menghasilkan pengarahan drama yang baik. Mutu kerjanya rapi dan konsep pencahayaannya baik. Saya percaya kalau diberikan cerita yang baik kepada pengarah seperti Khir Rahman ini tentu dia akan dapat memberikan karya yang jauh lebih berharga. Tahniah kepada usaha dan bakat yang ada.

Kepada TV3, saya ucapkan tahniah juga kerana sanggup lari dari paradigma penerbitan rancangan. Sejak akhir-akhir ini TV3 sudah begitu berani menayangkan cerita-cerita yang terkeluar dari norma permintaan masyarakat leka dan hambar, iaitu tema-tema cinta teruna dan dara. Adanya keberanian ini saya anggap satu kebaikan kepada industri dan semoga TV3 terus berani memberi insentif kepada penerbit agar menerbitkan drama-drama bermutu di luar skop permintaan leka masyarakat.  Tahniah!

Sekarang saya mahu melihat kepada corak penceritaan telemovie ini. Telemovie Aku dan Adik.

Ideanya menarik. Satu perjanjian antara adik dan kakak untuk tidak mendatangkan kedukaan kepada si ayah selepas mengharungi tragedi dalam kehidupan adalah sesuatu yang menarik. Saya memberi A kepada idea tema ini. On paper (di atas kertas) idea yang menarik akan membawa kepada cerita yang menakjubkan. Itu yang saya harapkan. Malangnya, ceritanya hanya cerita biasa. Boleh dibaca pergerakkan plotnya sebaik sahaja perjanjian antara adik dan kakak dibuat. Saya mengharapkan sesuatu di luar kemampuan saya berfikir tetapi drama ini langsung menutup ruang harapan saya. Saya suka dengan tema yang dibawa tetapi imaginasi penulisnya biasa sahaja.

Saya yakin penulisnya, Siti Jasmina Ibrahim seorang yang baik peribadinya. Dialog-dialognya baik, karektor yang dipersembahkan baik. Kalau mahu mengenal orang lihat kepada apa yang ditulisnya. Saya yakin Siti Jasmina ini baik orangnya tanpa bertemunya kerana dari penceritaan yang dibawa ia menampakkan karektor pemikiran Siti Jasmina. Baik-baik belaka.

Dalam pembentukan drama kebaikan ini juga satu keburukan kalau tidak mengikut formula pendramaan dalam bercerita.

Mahu membuat drama yang baik? Letakkan plotnya mengikut sususan kejadian antara lain seperti berikut.
1. Perkenalkan watak dalam keadaan di luar jangkaan atau sesuatu yang boleh mengingatkan penonton.
2. Harapan/Impian para watak yang dibawa
3. Harapan yang begitu diharapkan. Suntikan tambahan kepada harapan yang diidamkan
4. Kegagalan dalam harapan
5. Lagi kegagalan kepada harapan  
6. Perwatakan hampir tersungkur kerana kegagalan yang sangat mendukacitakan.
7. Sedikit pencerahan awal.
8. Watak cuba untuk keluar dari kesusahan dengan formula biasa dan sedikit harapan baru.
9. Kegagalan lagi pada harapan baru.
10. Lagi kegagalan bertambah.
11. Sedikit magik untuk kejayaan watak keluar dari masalah.
12. Penyelesaian kepada masalah.  

Antara lain formula seperti ini digunapakai untuk mencantikkan cerita di samping membawa penonton ceria dan duka bersama mengikut pergerakan plot. Ada banyak formula lain tetapi formula ini adalah yang minimum dalam penghayatan penceritaan. Tujuannya satu, iaitu untuk membawa penonton mengikut atau menghayati ceritanya.  

Penulis-penulis kita takut untuk mencuba membawa kekuatan cerita pada awal-awal cerita lagi. Selalu sangat saya lihat, kekuatan cerita diletakkan pada bahagian 15 minit terakhir penceritaan. Makna, kalau kita mahu terhibur maka tengoklah 15 minit terakhir. Tidak perlu kita melekat di TV sejam empat puluh lima minit terawal. Maka drama Aku dan Adik ini tidak terlepas dari stigma ketakutan ini. Cerita yang bagus diletakkan di bahagian pengakhir cerita. Kita terpaksa menunggu hingga ke akhir untuk mengikuti ceritanya. Zaman telah berubah, maka corak penceritaan juga harus diberi suntikan baru. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru kerana sebagai penulis idea kita sentiasa ada. Letakkan yang terbaik dalam idea kita di awal-awal cerita, kita akan lihat perubahan yang begitu ketara dalam penceritaan kita. Idea-idea baru tentu lebih menarik dari kekuatan idea asal kita.

Cerita Aku dan Adik dimulakan dengan keluarga Shahrom Nizam ini berpindah ke rumah peninggalan arwah datuk kepada penceritaan, si Kakak. Harapan baru apabila si ayah yang baru keluar dari kemurungan kerana kematian isterinya akibat banjir besar. Keluarga ini berjumpa satu lagi keluarga yang baik dalam diri Zaidi Omar. Memberi si ayah pekerjaan serta menawar juga pekerjaan kepada si adik apabila dia tamat SPM. Dari awal penceritaan si adik dan kakak berjanji tidak akan menyusahkan ayah mereka kerana bimbang dia tidak dapat menerima masalah lagi. Time lapse, si kakak berjaya ke universiti dan si adik masih di kampung. Anak yang baik dan sentiasa menyenangkan hati si ayah. Si Kakak pula hanyut dengan pujuk rayu anak lelaki keluarga mereka menumpang senang. Masalah menyusul apabila si kakak berbadan dua. Cerita yang biasa!

Ceritanya baik cuma pembawaan ceritanya tidak menyentuh perasaan penonton. Mahu satu watak yang kuat, harus dimulakan dengan pengorbanan watak utama, sama ada si kakak atau si adik. Pengorbanan ini haruslah kuat dan menyentuh perasaan. Contohnya si kakak ketinggalan sesuatu barangan yang berharga dalam banjir besar apabila air sedang menaik. Lalu mahu mengambilnya. Si adik terus menghalang kakaknya, biar diambilnya. Ini memberi kekuatan kepada watak adik. Penonton sudah diikat untuk berpandangan bahawa si adik satu watak yang amat terpuji. (atau di kakak). Cara untuk mengambil barangan atau apa sahaja alasan mestinya susah dan dramatik. Contohnya terpaksa memilih antara si ibu dan barangan kakak dengan keadaan air yang meningkat. Akibatnya, mereka kehilangan si ibu. (Ini cuma contoh). Ini dilakukan dalam 5 ke 10 minit pertama.

Kekuatan cerita dari awal lagi sudah ditunjukkan. Watak-watak turut dilabelkan hitam putihnya. Kemudian kita bergerak untuk mengenali harapan mereka. Pertamanya tidak mahu ayah mereka bersedih. Keduanya mereka susah di rumah baru. Si adik atau si kakak akan berusaha tanpa rasa malu untuk bekerja bersungguh-sungguh. Kalau si Tuan Ladang inginkan itu atau ini dia dahulu yang kerjakan. Tanpa segan silu biar seberat atau sekotor manapun! Usahanya menyenangkan. Kesilapan ditutup dengan kemuliaan sikap Tuan Ladang. Ini harapan kedua. Mahu disenangi tetapi ada kesilapan yang dilakukan.

Kemudian fikirkan cara untuk membuat penonton mengasihani watak. Kegagalan pertama. Di universiti, digoda. Kemudian disertakan sikap tidak bertanggunjawab si lelaki. Ini kegagalan kedua. Cari cara untuk menyelesaikan masalah tapi gagal. Kalau dah mengandung apa yang ditakutkan? Maka itulah yang terjadi. Jangan takut untuk meletakkan kekuatan cerita pada saat awal. Otak kita akan sentiasa berfikir sesuatu yang baharu kerana kita menulis mengikut formula yang ditetapkan. Akan sentiasa ada idea kreatif apabila kita memikirkan cara-cara membina plot.

Saya tidak mahu menyentuh secara menyeluruh cerita yang mungkin di bawa saya dengan cerita yang dibawa penulis Aku dan Adik. Apa pun, jalan cerita Aku dan Adik mudah dibaca dan tidak menambat hati penonton. Kecuali pada beberapa minit terakhir, saya sendiri sedikit terhiba melihat lakonan si adik meminta maaf kepada si ayah, cerita yang dibawa ini tidak kuat.

Nasihat saya, jangan takut untuk letakkan kekuatan cerita pada bahagian permulaan cerita. Kemudian masukkan unsur-unsur pengorbanan, keperwiraan atau kewalian watak-watak dengan tujuan memberi sedikit suntikan kepada harapan penonton.   

 

Friday, September 9, 2016

Child 44:- Gelap Tetapi Tidak Membosankan

CHILD 44:- Kegagalan yang menarik
Slot: Movie/Cinemax


Dalam kelapangan saya menonton sebuah filem yang saya kira sangat menarik, Child 44 di siaran Cinemax beberapa hari lalu. Cerita mengenai pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak. Satu tema yang biasa pada filem-filem barat cuma premis yang diambilnya sangat menarik. Persekitaran yang dipilihnya meliputi zaman kekejaman pemerintahan Stalin di Ukraine dengan mengambilkira latar belakang kehidupan Leo Demidov, seorang kapten dalam Kementerian Keselamatan Negara (MGB), satu agensi yang sangat berkuasa dan kejam dalam melaksanakan tugasnya. Filem ini gagal pada Box Office tetapi pada saya, ianya sebuah filem yang harus ditonton. Child 44 sangat menarik.

http://www.filmandtvnow.com/wp-content/uploads/2015/02/C44_QUAD_MASTER_AW_P4P-e1423824879856.jpg 
Diterbitkan bersama antaranya oleh Ridley Scott, Geog Shapiro dan Michael Schaefer, filem ini menelan belanja lebih US50 juta dolar. Ridley Scott adalah antara pengusaha dan pengarah filem yang sangat saya minati dan merupakan seorang penerbit yang sentiasa mencari idea-idea menarik dan pelik untuk diterbitkan. Filem Child 44 saya kira masih pelik dan mendahului zaman. Filem ini turut dibintagi Tom Hardy, Gary Oldman dan Noomi Rapace. Kehadiran Tom Hardy dan Gary Oldman sudah cukup menceriakan penceritaan.

Kalau mahu mencari filem yang keluar dari pemikiran atau paradigma kebiasaan penceritaan, ini lah filem yang harus ditonton. Paradigma penceritaan filem Mat Salleh biasanya dimulakan dengan pembukaan yang menceritakan secara terperinci perwatakan, ketelitian plot awalan yang perlahan dan bergerak perlahan ke arah crisis dan akhirnya penyelesaian. Majoriti jalan cerita filem Hollywood boleh dibaca, bagai membilang 5 + 5 = 10.

Kalau mahu saya cari contoh terdekat untuk filem ini, ia hampir kepada flem Silence of the Lamb di mana watak yang dibawa Anthony Hopkin sebagai Hannibal meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang menonton. Apa lagi karektor yang diberikan adalah seorang pembunuh bersiri yang sangat kejam, bijak dan manipulatif serta diselitkan pula dengan hitamnya wataknya memakan daging mangsa-mangsanya. Ia gelap (dark), ada kalanya sedikit lembab dan bosan (dull), penuh misteri serta menakutkan. Secara keseluruhan ianya menganggu minda mereka yang menonton. Filem Child 44 mempunyai ciri-ciri gelap, sedikit bosan, penuh misteri serta menakutkan. Ia pasti akan menganggu minda mereka yang menontonnya.

Secara kasar ceritanya;-
1. 1953, Leo Demidov sebagai seorang kapten dalam unit ketenteraan yang sangat ditakuti orang ramai. Mereka boleh menangkap sesiapa sahaja yang dianggap merbahaya kepada negara dan menembaknya mati kalau ada pengakuan. Itu pun pengakuan yang dipaksa. Namun Leo Demidov ini tidak kejam orangnya malah sentiasa mengamalkan cara yang munasabah dalam menjalankan tanggunjawabnya. Kerana mahu melindungi isterinya yang dituduh pengkhianat, Leo diturunkan pangkat menjadi prebet biasa dan dihumban jauh dari Moscow. Mencintai isterinya sepenuhnya, Leo dapati isterinya tidak menyintainya malah mengahwininya kerana takutkan kuasa dan uniformnya. Dia dengan rela melepaskan isterinya namun isterinya membuat keputusan untuk tetap bersamanya. Dalam cerita yang mewakili segmen kemanusiaan ini, Child 44 memperlihatkan pasangan suami isteri ini akhirnya memilih untuk membela dua kanak-kanak yang menjadi yatim piatu hasil dari uniform yang dipakainya.

2. Tidak ada pembunuhan dalam dunia lengkap Soviet kerana pembunuhan itu mainan songsang pemikiran pihak kapitalis. Untuk menutup segala pembunuhan, polis atau kerajaan akan segera menutup kes tanpa mahu menyiasatnya lengkap. Akibatnya, kes bunuh biasanya dilabelkan sebagai mati mengejut, bunuh diri atau kemalangan. Akibat langsung, pembunuhan bersiri 43 kanak-kanak secara kejam dengan isi perutnya dikosongkan ditakrifkan sebagai kemalangan. Ini merisaukan Leo dan dia menyiasat di sebalik kerisauan pihak atasan dan usaha berterusan mereka yang mahu menutup kes kerana tidak mahu ada pihak kapitalis di tempat mereka. Untuk itu, kita diperlihatkan unsur suspen yang menaik dalam usaha Leo menyelesaikan misteri pembunuhan 43 kanak-kanak di laluan keretapi.

Bentuk penceritaan dibawa agak lembab (dull) dan banyak memainkan unsur gelap dalam pencahayaannya. Pengarah, Daniel Espinosa tentunya mahu memainkan elemen ketakutan apabila negara diperintah pihak tentera. Secara umum kesemua mereka yang berlakon bercakap dalam slanga Russian-English yang membuat majoriti pengkritik orang putih menyifatkan filem ini membosankan. Pada saya, tidak ada masalahnya antara Russian English, Malay English atau sebagainya asalkan percakapannya mudah difahami. Dan sememangnya, dialog di dalam filem ini mudah difahami. Pentafsiran Daniel Espinosa adalah tepat dengan membawa unsur pencahayaan yang malap apabila mahu disamakan dengan zaman pemerintahan kuku besi Stalin dan fahaman komunisnya. Dunia yang gelap dalam suasana kehidupan yang malap. Kita akan dapati di akhir cerita, pencahayaannya berubah menjadi terang dan lebih cantik warnanya apabila segala masalah diselesaikan. Ia bagi melambangkan satu harapan baru. Aspek kegelapan dalam teknik pencahayaan Daniel Epinosa jauh dari membosan. Malah ianya kena dengan suspen dan turutan plot yang menaik.

Wednesday, September 7, 2016

Anak:- Lagi Kegagalan Drama Melayu

Drama ANAK: Satu penelitian dalam persoalan kesuburan pasangan
Tarikh tayangan:- 6/9/2016
Saluran:- TV2, 10 malam

Lebih sejam pertama menonton drama Anak di TV2, pemerhatian saya, ia drama yang membosankan. Dalam sejam pembinaan drama ia gagal memberi keseronokan menonton kepada saya. Mungkin lain kepada orang lain tetapi kepada saya ia amat membosankan. Bagaimanapun, saya menunggu sehingga akhir untuk melihat perkembangan drama yang ditulis oleh A Wahid Nasir ini.
10 minit pertama drama mesti dibina untuk menarik penonton menonton. Ia amat penting. Penonton harus diikat di tempat duduk menonton drama, memikirkan apa perkembangannya dan sedikit sebanyak mahu diusik dan terpaut dengan watak-watak diketengahkan. Drama ini amat bosan pada 10 minit pertama dan membawa bosannya hingga sejam lamanya. Tidak ada satu ikatan antara penonton dengan watak-watak dibawa terbina walaupun lebih sejam menonton.

Ceritanya mudah. Pasangan yang sudah lama berkahwin inginkan anak, melakukan ujian ke atas kesuburan dan mendapati si suami sebenarnya ada masalah kesuburan. Lalu jalan keluar adalah melalui semaian benih tabung uji. (Isu yang sudah lebih 20 tahun dibual). Halangan kepada kebahgiaan pasangan yang tidak memerlukan anak ini adalah si ayah kepada suami yang mahukan cucu ke 15 dari anak lelakinya dan ia harus dilakukan secara normal bukan melalui tabung uji. Lalu dipaksa anaknya berkahwin lagi tanpa mahu mengakui masalahnya berpunca dari masalah kesuburan anak sendiri. Bunyinya agak serius tapi cara pembawaan cerita ada kemungkinannya sebuah drama komedi. (Malangnya ia tidak begitu lawak!)

Nak dijadikan cerita, si ayah bercakap pekat Kelantan, si isteri bercakap pekat Kedah, si anak dan menantu bercakap KL. Hmmm…. Saya mengenali banyak kawan-kawan dari Kelantan yang berkahwin orang Kedah. Mereka masih orang Kelantan tetapi bercakap lebih lembut dengan isteri dalam bahasa yang mereka tahu (biasanya bahasa surat). Hancurlah rumah tangga kalau pasangan gagal berkomunikasi dengan baik. Maklumlah, kalau digunakan bahasa Kelantan yang pekat ini, saya sendiri yang pernah belajar di Kelantan pun terpaksa melihat subtitles, inikan pula orang lain. Tanpa subtitles, Gapo gapo pun dak fahe, dok sepatah hare.

Ini satu teguranlah pada pengusaha. Kalau nak buat cerita cakap bahasa daerah, buatlah. Ini Malaysia. Cuma sertakan subtitles sama. Bukan semua orang faham. Bila orang tak faham, orang rasa bosan. Bila bosan ada yang bengang.

Ok, balik kepada cerita.

Cerita bermula dengan sedikit temubual dengan watak utama yang dimulakan dengan si watak utama menyelamat seorang wanita yang akan bersalin, terduduk sakit di tangga rumahnya. Dari sini cerita dibawa untuk mengenali watak-watak utama sebagainya iaitu pasangan yang melalui keadaan yang sukar untuk mendapat anak tabung uji.

Hmmm…. Agak melebih seorang wanita menjerit kesakitan kerana nak bersalin. Mungkin itu dikatakan drama. Dalam situasi sebenar (percayalah dari cakap orang yang punyai 6 anak ni…), sukar nak dapati seorang wanita menjerit terlolong sakit nak bersalin. Tambahan sakit pula bukannya datang tanpa henti tetapi berselang seli (antara sakit dengan kekejangan) mengikut kekerapan dan kerapatan mahu bersalin. Tak mengapalah kalau mahu didramakan melebih sedikit menjadi terjerit terlolong. Kalau mahu menilai tekniklah, drama Korea-lah tentu menarik penonton lebih kepada unsur panik watak-watak keliling dan bukannya terlolong jeritan pesakit. Ia lebih realistik dan lawak, kalau yang panik itu watak sampingan dan bukannya orang yang nak bersalin.

Konsep selang seli drama dan temubual sebenarnya satu konsep yang baik kalau kena gayanya. P Ramlee pernah mengajar dalam beberapa filemnya mengenai konsep temubual dan pendramaan yang menceritakan tentang temubual. Ia mesti saling kait mengait dan saling menjawab persoalan. Apa yang terjadi pada drama tulisan Wahid Nasir ini adalah temubual diulang dramanya. Apa yang ditanya dalam temubual, dijawab dalam temubual dan kemudian diulang cakap dalam pendramaan. Kesimpulannya… Bosan! Orang putih kata redundant. Berulang dan bertindan!

Sebenarnya dari sinilah diuji kreativiti penulis. Ideanya sudah ada. Nak ada temubual kepada pasangan bermasalah dan kemudian nak buat drama. Nak intercut kepada kejadian. Tak menarik kalau sesuatu itu dijawab dan kemudian diulang tayang dramanya. Sepatutnya ada pendramaannya walaupun dalam temubual! Temubual semestinya ada naik turun dramanya bukannya flat.

Contohnya,

 TEMUBUAL:- rintangan sebenarnya datang dari bapa saya. (Senyum sinis) Naik pening saya! Dia yang mati mati mau sangat anak dari kami. Bukan seorang....

Cut to

Dalam. Ruang Tamu Rumah. Siang

CU kepada si ayah, berpakaian pejabat, yang berdiri di tepi tangga. Tangan menampar dan mengenggam erat pengadang tangga. Insert Si isteri berada selang berapa anak tangga dibawah memandang ke arah tangan si ayah yang erat mengenggam marah pengadang tangga . Si ayah kelihatan agak bebal dan marah.

Ayah
(Keras dan tegas!) Aku nak tiga! Pantang keturunan aku! 14 cucu aku dari tiga anak! Ini anak yang seorang ni.. liat sangat! Keturunan aku gagah gagah belaka. (Pandang isteri seakan mengesahkan!) Aku sendiri 4 anak! Dia, seorang pun susah!

ATAU

Ayah
Ya.. saya yang nak sangat cucu! Itu pun susah ke? (sekali gus introduce watak ayah). Bukan satu tapi tiga!!!

Contoh di sini adalah menunjukkan kesinambungan dalam pergerakan antara temubual dan pendramaan. Unsur drama mesti menyambung persoalan yang dibawa temubual bukannya mengulang tayangnya dalam bentuk drama. Dan ini yang berlaku dalam drama Anak. Rata-rata semua temu bual di ulang dramanya. Ideanya menarik, kreativiti penyampaiannya mendatar.

Cerita yang dibawa ini sebenarnya gagal menambat hati penonton. Kalau cerita seperti inginkan anak ini sebenarnya penonton mahu diikat kepada beberapa watak. Pertamanya si isteri yang tidak mendapat anak. Kedua, si suami yang tidak subur benihnya. Ketiga si ayah yang tidak dapat menerima bahawa keturunannya tidak subur atau cukup gagah!

Unsur yang dibawa hanyalah usur percakapan sahaja tanpa ada unsur pembinaan plot untuk mengikat hati penonton untuk suka duka bersama watak. Drama boleh melaung cakap dan menempik kesukaan atau kedukaan tetapi itu cuma keseronokan watak dan pelakon sahaja. Hakikat sebenarnya, penonton tidak diikat.

Untuk mengikat penonton, plot harus dibina. Sedikit harapan harus diketengahkan. Ayah ingin sangat seorang cucu. Mesti disebutkan. Malahan kalau cakap slow talk dengan anak ia lebih mendalam penerimaannya. Kemudian dalam pembinaan plot harus ada kekesalan. Anak gagal. Lepas gagal…. Mesti ada kedukaan memuncak. Yang gagal sebenarnya, si anak sendiri. Ia itu benihnya tak subur. Si ayah harus bersedih dalam self denial. Contohnya tonik yang dibawa. Itu satu pengharapan. Kekesalannya apabila ia gagal. Maka dicuba lagi kaedah lain pula. Gagal lagi. Ini dinamakan pembinaan plot. Tujuannya mengikat penonton. Mahu penonton bersedih bersama atau bersemangat bersama. Para penulis kita sebenarnya kurang memahami teknik menarik penonton ini. Mereka lebih berminat untuk memberi dialog bernada tinggi kepada perwatakan. Apa sahaja pembinaan plot cuma dilafazkan dalam dialog sahaja.

Bagi saya, drama Anak ini sebenarnya gagal menambat hati penonton untuk berinteraksi dengan watak. Sama sekali ianya gagal! Drama pasangan tidak dapat anak ini sebenarnya satu isu yang menyentuh perasaan tetapi drama ini gagal menyuntik sentuhan tersebut.

Apa yang perlu dilakukan apabila mendapat idea dari seorang penulis adalah duduk untuk meneliti skrip yang diberi. Berbincang dan mempersoalkan di mana hati penonton ditambat dan bagaimana mau menambatnya. Idea yang diberikan penulis semestinya sudah menarik cuma kebiasaan penulis adalah ia terlalu ‘kesempitan’ dalam pembinaan dialog yang menyeronokkan pelakon tanpa mahu memikirkan soal penonton! Dengan idea yang menarik maka fikirkan cara mahu membuat penonton menangis dan ketawa bersama. Bagaimana membina plotnya. Pada saya, drama Anak ini cuma bermain pada peringkat idea penulis sahaja dan meninggalkan secara langsung penelitian pembinaan plot untuk menarik ‘rasa’ penonton. Malang sekali!