Sunday, May 29, 2016

Maafkan Saya Cikgu: Komen dari sudut penulisan. Drama TV3 Sabtu 28/5/16



Maafkan Saya Cikgu :- Komen dari sudut penceritaan.
Sabtu TV3 28/5/16, 9.00pm

Selepas dua minggu cerita terbitan Aida Othman ini ditayangkan. Macam adik Aida ini kepada saya. Maklumlah dia kerap bertanya itu ini kepada saya. Jadi apa pun komen pada cerita dibawa Aida, adalah untuk kebaikan. Matlamat sama sahaja. Kita mahu satu yang terbaik supaya ianya meninggalkan 'impact' yang besar baik dalam pembinaan negara mahupun perkembangan industri drama.

Sudah sampai masanya adanya perubahan pada drama-drama tempatan. Sudah terlalu lama kita duduk dalam kepompong drama ala drama radio dengan cerita-cerita klise dan tema yang menjemukan. Maka kalau ada sekali sekala keluar drama yang lari dari kelainan maka ianya patut ditonton dan dinilai. Kalau dapat diamati, lagilah baik.

Maafkan Saya Cikgu nampaknya lari dari pemilihan tema drama-drama biasa, tema cinta, tema korporat dan seakwtu dengannya. Ianya membawa cerita mengenai seorang kanak-kanak.  

Lebih kurang 15 tahun lepas saya ada menulis drama Terima Kasih Cikgu yang diubah tajuknya. Saya tidak tahu apa tajuknya tetapi ia disiarkan beberapa kali oleh TV2. Cerita mengenai seorang kanak-kanak yang menjaga ayahnya selepas kematian ibunya. Bapanya jadi hampir putus asa untuk hidup. Anak ke sekolah dengan memakai kasut buruknya setiap hari. Tidak mahu kasut lain kalaupun diberi kasut yang baru. Dia hanya memilih kasut lamanya. Cikgu di sekolah berfikir dia seorang yang miskin, malas dan tidak perlu diberi perhatian. Kasutnya buruk, baju buruk dan serebeh. Bagaimanapun terbalik pula jadinya. Dia anak seorang yang berada. Bapanya seorang pengukir kayu yang terkenal. Mempunyai bengkel kerja yang besar. Memendekkan cerita, sebab dia memilih memakai kasut yang sama walaupun sudah buruk adalah kerana ianya pemberian arwah ibunya dan ibunya yang memakaikan kasut ke kakinya hampir setiap hari. Menyarung ke kakinya dengan penuh kasih sayang. Cerita 15 tahun lepas berkisar pada watak si anak ini dan guru yang hairan dengan budak busuk ini.

Dalam masa yang sama, saya ada menulis sebuah cerita lagi. Atas tema kesusahan murid di sekolah. Abang sekolah pagi dan adik sekolah petang. Baju dan seluar sepasang. Mereka tukar baju. Pesan abang kepada adik, kalau dimarahi cikgu, cuba belajar menerima. Kerana itu kekuatan seseorang. Berani buat berani tanggung. Jadi orang yang kuat. Kerana kita ini susah! Apa yang penting berjaya dalam pelajaran. Sedikit rotan sepatutnya lagi menguatkan peribadi seseorang. Tiap-tiap hari nasihat yang sama. Satu sekolah tahu cerita kedua-dua murid yang susah ini kecuali cikgu yang seorang ini. Kadang-kadang adik ini akan berair di mata menerima rotan gurunya. Tetapi dia menahan tangisnya kerana abangnya berpesan agar dia berani menghadapi apa sahaja asalkan dia boleh belajar di sekolah.

Semasa menulis saya menilai sudut rasional kebiasaan masyarakat berfikir. Bukannya memilih rasional penulisan. Kerana rasional penulisan melepasi rasional pemikiran biasa. Ini sangat penting. Takut cerita kita tidak dapat diterima penonton. Lebihkan sedikit kesusahan di sana tetapi pastikan jangan melebihi rasional pemikiran orang biasa. Jadi difikirkan rasional memakai kasut yang satu sampai buruk. Ooo.. kerana emaknya yang sarungkan. Rasional di sebalik menukar baju yang satu. Kerana emaknya yang jahit. Kalau kena arahannya, ia boleh menyentuh perasaan penonton. Maka itulah tujuannya. Mahu mainkan perasaan penonton. Isu rasional pemikiran orang biasa ini sangat penting diberi perhatian. Beberbeza dengan rasional penulis sendiri... ianya hampir tidak ada hadnya. Apa nak tulis... tulis... Langit berwarna jingga pun boleh diwujudkan.  

Tema yang sama dibawa Aida Othman dan penulis-penulisnya. Si Adik terpaksa menanggung beban kerana lambat ke sekolah sementara menunggu abangnya balik sekolah untuk mengambil bajunya. Daripada memberi penyelesaian di awal babak, penulis-penulis Aida mahu menjarakkan pengetahuan penonton kenapa dia selalu datang lambat sampai ke akhir cerita. Apa yang penonton dihidangkan adalah dia lambat ke sekolah. Aktivitinya, ada kalanya dia menjual nasi lemak dan bermain dengan abangnya. Si adik atau Jali ini tidak puas hati dengan kesusahan hidupnya. Perangainya makin hari makin kurang ajar. Cakapnya lepas.

Kita melepaskan semua ini kerana itu perwatakannya dan itu kesusahan yang ditanggungnya.

Bagaimanapun, apabila mempersoalkan rasional penceritaan, maka kita terhimpit untuk menjawab banyak soalan.

Cerita ini cerita Si Jali. Tidak ada watak lain yang lebih ketara dari watak Si Jali yang makin ditengok makin kurang ajar jadinya. Apabila kita menjarakkan sesuatu penyebab maka kita harus pastikan penceritaan yang kita bawa ini begitu mengikat perhatian penonton. Penonton boleh diikat melalui kekuatan watak, plot yang naik turun, perasaan ingin tahu, rasa suka, rasa benci pada watak-watak dan pengharapan penonton yang sedang menonton. Cara mengikat ini tidak ada hadnya.

Secara kasarnya, cerita ini longgar dalam cara mengikat hati penonton. Ianya berjaya menonjolkan bakat lakonan pelakon tetapi tidak dapat mengikat penonton.

Minit pertama mahu ditunjukkan adik kena rotan kerana lambat. Penerangannya di akhir cerita. Maka keseluruhan cerita harus betul-betul mengikat penonton untuk bergerak ke arah penyelesaian.. kenapa dia lambat. Maka segala babak-babak perantaraan haruslah begitu dramatik dan menghiburkan. Boleh dibawa menjadi satu pengembaraan yang menghiburkan. Tetapi tidak! Saya mengharapkan ini dari kumpulan adik saya ini.  Dia banyak kenal orang pandai pandai dalam dunia drama.

Sebelum kita pergi lebih jauh haruslah melihat sedikit kepada jalan cerita. Cerita berkisar kehidupan dua adik beradik kematian ayah dan terpaksa tinggal dengan ibunya yang cacat. Hanya hidup dengan menjual nasi lemak. Abang, darjah enam sekolah pagi dan adik sekolah petang. Hidup mereka daif.

Tidak ada watak lain yang menonjol di dalam cerita kecualilah watak Jali. Si adik yang kena rotan. Si adik yang bermasalah. Si adik yang menempik ibunya. Yang kurang ajar dengan abangnya. Si adik yang ingin makan ayam dan jemu makan nasi lemak di rumah. Si anak yang banyak akalnya. Si adik yang tidak ikhlas dalam memberi bantuan kepada orang. Si adik yang sakit di rumah. Semuanya cerita si adik. Watak-watak lain tenggelam langsung.   

Daripada menyukai watak dan bersimpati dengannya, kita menjadi benci kepada watak ini. Inilah yang terjadi dalam cerita ini. Dahlah penampilan nampak seperti seorang yang keterlaluan kurang ajar perangainya. Kalaulah ini yang mahu disampaikan kepada penonton maka ianya berjaya. Watak Jali makin dibenci. Kalau mahu penonton bersimpati dengannya, hmm...... agak jauh menyimpang. Saya mengajak anak saya menonton. Seorang anak gadis berumur 14 tahun. Isteri saya di sebelah saya. Sementara isteri saya begitu benci dengan watak yang dibawa Jali, anak gadis saya berpendapat sifatnya terlalu kurang ajar. Dia langsung tidak suka pada karektor yang dibawa. Mungkin benar kerana apa yang saya ajar kepada anak saya adalah pantang untuk meninggikan suara kepada saya dan emaknya. Berlaku baik pada binatang dan manusia tanpa mengharap balasan. Mungkin ideologi Mahadzir Othman ini menutup rasional lain kehidupan manusia lain pada dirinya. 

Watak-watak lain tidak ada kepentingan langsung dalam Maafkan Saya Cikgu. Mereka semua adalah watak pembantu. Kehadiran mereka sekadar melengkapkan apa yang harus dilakukan Jali. Malah Jali adalah watak utama yang dominan.  Watak cikgu Zamarul yang merotan Jali. Hadirnya cukup untuk merotan dan memaafkan. Watak emaknya yang cacat kakinya, cukup untuk kadang-kadang muncul untuk melengkapkan keperluan perwatakan Jali. Jun, abangnya ada sedikit kelainan. Mengimami sembahyang dan ceria selalu. Malangnya watak yang dibawanya tidak langsung menyentuh perasaan ketika menonton. Ayah mereka muncul sekali sekala... tidak sempurna sifat keayahannya. Tidak meninggalkan 'impact' yang besar untuk memori anak-anaknya.  

Apa yang berlaku di sini adalah kegagalan untuk memberi perwatakan kepada watak watak lainnya untuk menyokong satu watak utama ini.

Kita sudah letakkan ibunya cacat kakinya. Kerana apa... kerana rumah terbakar. Suaminya mati. Objektif kita adalah mahu menyentuh perasaan penonton. Mahu meninggalkan kesan dijiwa mereka. Sayangkan watak... bersimpati dengan watak. Itu sangat penting kepada penulis.

Kita mahu memainkan isu kakinya cacat. Kadang kala mahu tunjukkan masalahnya bila ianya cacat. Mahu anaknya mengambil tanggungjawab lebih tinggi kerana kakinya. Benda begini sudah di bawa ke cerita. Maka mainkan isu ini. Kalau mahu contoh lebih baik.. saya berikan.... setiap hari memerah kelapa. Menggoreng ikan bilis atau menggiling cabai. Bukan kerja mudah. Awal pagi lagi sudah bangun. Buat nasi lemak untuk anak. Untuk cari makan. Kalau hidup susah... kayu api mesti dicari. Jatuh sana sini mencari kayu api untuk memasak. Bila memasak kadang kala minyak atau air boleh tertumpah. Banyak sangat benda yang boleh dimainkan untuk memikat penonton apabila kaki itu cacat. Tambahan kalau yang memerhatikan adalah anak-anaknya. Penonton boleh ditambat dengan menunjukkan keakraban hubungan ibu anak dan sifat penyayang mereka sesama sendiri. Kalau pun mahukan watak Jali itu tidak begitu mahu mengambil berat ibunya. Rasa penonton harus diikat dan dimainkan.

Saya kasihankan Sherri Merlis. Rasanya bukan senang mengambil dia berlakon. Bila dapat maka sepatutnya diberikan watak yang betul-betul menambat hatinya. Sayang sekali wataknya hanya di sudut belakang frame penggambaran. Di depan sentiasa ada si Jali.

Watak si ayah. Hmmm... sekali sekala muncul. Saya rasa mahu penonton menjiwai bahawa dia seorang bapa yang penyayang. Tidak berapa menjadi. Tidak cukup touching. Tidak cukup penghayatan pendramaan. Babak sudah ada tetapi gagal mendramakan perwatakan untuk meninggalkan impact yang besar kepada penonton. Contohnya.... Jun berbual dengan ayahnya di anak tangga. Pengharapan ayah kepada si anaknya. Scene ini sangat penting kerana Jun sangat rapat dengan ayahnya. Mereka boleh berbual apa sahaja dalam dunia ini. itu kenangan buat Jun. Tetapi kalau mahu menyentuh perasaan penonton.. maka ambil situasi paling biasa dan jitukan dia. Contohnya... selesai cakap... hah, pakai kasut tu. Tapi si ayah yang mengambil inisiatif untuk menyarung kasut ke kaki anak. Mengikat talinya perlahan. Diperhatikan si anak. Penuh sayang. Penuh kagum. Si ayah memberitahu si anak, dia mahu anaknya mampu menyarung kasut ke kaki adik dan emaknya. Impact scene begini besar. Apa yang berlaku cumalah dua beranak duduk di anak tangga dan berbual. Tidak ada aksi menyentuh perasaan. Pengarah atau penulis mengharapkan penonton menjiwai watak dan tidak membawa penonton menghayati 'moment'. 

Satu lagi scene ayah. Anak memberi kad kemajuan kepadanya. Si anak cemerlang belaka. Sudah sedia maklum. Tidak ada apa-apa kerisauan pada mereka mengenai prestasi mereka. Cara pembawaan patutnya lebih ceria. Daripada mereka terkedik mahu menawan penonton untuk mengikut apa perkembangan selanjutnya sepatutnya mereka 'control' atau mengongkong persembahan. Mereka sepatutnya berlari kejar mengejar, potong memotong untuk menyerahkan kad kemajuan kepada bapa mereka. Mereka tahu mereka pandai. Ibu mereka tersipu-sipu keseronokan. Anak mereka bijak. Ayah mereka sudah terfikir... hmm... aku kena beli apa pula untuk mereka. Benda begini sepatutnya dilainkan dari kebiasaan babak yang biasa difikir penulis biasa. Pelakon memainkan watak dan mengongkong set. Bila perlu sahaja.....

Babak di mana si adik mengharapkan video game dan kona abangnya yang minta. Sudah ada kelainannya.  Tetapi ianya agak klise. Tidak ada magik. Magik dalam penceritaan cumalah kalau si ayah mendengar perbualan kedua dua anak yang bercakap mengenai gameboy rakan mereka. Mungkin cakap pasal nak pegang pun tak bagi. Terfikir si ayah, anaknya juga ada keinginan lainnya. Magiknya, kerana membeli gameboy atau ps2, dia balik lewat dan gagal menyelamat rumah yang terbakar. Kalau mahu dipanjangkan ke situ. Elemen magik di sini adalah pemerhatian orang ketiga kepada soalan pokok. Biasanya ia boleh menyentuh perasaan penonton.

Hmmmm... pada saya, penulis kita biasanya boleh memikirkan idea dan babak untuk menulis cerita mereka. Mereka cuma tidak dapat memberi 'hidup' atau rasa pada babak yang cuba ditonjolkan. Tanpa menjerit tanpa bersikap kurang ajar, mereka tidak mampu untuk menyentuh perasaan penonton.

Saya berhenti di sini.. kerana saya belum menyentuh sudut editing yang kelam kabut pada pertengahan cerita... Saya belum menyentuh kekuatan cerita dalam menghubungkan unsur mula dan unsur akhir.....