Thursday, September 27, 2018

PASKAL: BUAT FILEM JADI DOKUMENTARI

PASKAL: BUAT FILEM JADI DOKUMENTARI

Satu-satu masalah besar dalam penulisan atau melahirkan karya adalah menjadikan sebuah cerita itu mengikut genre yang mahu diusahakan. Sekaligus menarik peminat dari genre yang dipilih menghayati cerita yang dipersembahkan. Gagal memahami genre dan diserabutkan dengan pelbagai informasi serta aspek-aspek teknikal sesuatu kajian yang dilakukan penulis akan menghancurkan cerita yang dibawa.  

Paskal yang ditayangkan di panggung wayang ketika ini adalah contoh terbaik cerita yang gagal memahami genre yang ingin dibawa. Ianya adalah sebuah cerita yang keliru di antara mahu menunjukkan sangat apa yang diusahakan pasukan komondo tentera laut dengan segala Standard Operating Procedurenya (SOP) dan dicaca marba dengan unsur drama dan kemudiannya cuba memasukkan unsur aksinya dalam keadaan cerita yang sudah menjadi dokumentari. Ia jadi sebuah doku-drama murahan seperti yang ditunjukkan dalam Nat Geo atau History Channel.

Menonton Paskal bagi saya amat membosankan. Ia bagai menonton cerita Prebet Badul di tahun 80-an. Formula yang digunakan adalah sama. Permulaan masalah dengan apa yang berlaku di Somalia apabila sebuah kapal yang diiringi pasukan paskal telah diserang lanun. Kemudian ia bergerak kepada latihan menjadi anggota Paskal yang baik. Latihan yang lasak. Akhirnya usaha untuk mematikan satu sindiket besar dari Filipina yang berani menyerang platform minyak negara. Ianya semata-mata menunjukkan satu SOP apa yang dilakukan tentera negara kita dalam menghadapi apa sahaja permasalahan.

Macam tengok cerita bomba padam api kebakaran. Mereka nak berbual mengenai tatacara mengikut prosedur yang betul. Kena padam api mengikut formula itu ini. Bila masuk menyelamatkan orang pula kena ikut cara-cara begini atau begitu. Ianya bosan untuk ditonton di panggung wayang. Tengok Nat Geo oklah!

Nak memahami cerita bomba yang lari dari jadi Nat Geo doku-drama atau Discovery, tengoklah Backdraft yang diterbitkan oleh Ron Howard. Tengoklah bagaimana permasalahan cerita itu hanya ditelitikan kepada dua watak utamanya dengan baik tanpa mahu membawa sebarang unsur dokumentari dalam drama. Ia menjadi sebuah cerita aksi kemalangan yang baik.

Bila agaknya cerita kita jadi dokumentari?

Jawapannya bila ia adalah Paskal!

Penulis membuat kajian yang mendalam mengenai unit Paskal kemudian mereka kehilangan arah untuk membentuk sebuah cerita. Cerita dibentuk bila mahu dimasukkan dalam segala SOP atau tatacara kelakuan kerja sebagai seorang anggota Paskal. Kalau diserang lanun apa nk buat? Kalau dalam operasi pengintipan apa yang akan dilakukan. Cerita atau perwatakan dimasukkan dalam segmen dokumentasinya.

Bila kita memulakan cerita dengan memikirkan soal tatakerjanya, ia akan membosankan dan tidak akan memuncak konflik atau elemen penceritaannya. Kita sepatutnya memikirkan soal cerita dulu kemudian barulah SOPnya. Bukan sebaliknya. Cerita Police Story Jackie Chan umpamanya. Cerita polis yang tentunya ada berbagai SOP. Mana ada Jackie Chan pakai SOP polisnya. Dia mahu melahirkan drama aksi jadi tumpuannya hanya terfokus kepada menimbulkan aksi yang menarik. Dia memikirkan soal kemalangan, permasalah yang mungkn dihadapi kalau orang ramai cedera. Bagaimana kalau orang jahat terlepas? Ditambah dengan pelbagai aksi pelik pakour Jackie Chan, cerita polisnya jadi menarik. Masuklah sikit bosnya marah dia tak ikut SOP.

Cerit Paskal terbalik. Ianya memang nak tunjuk apa yang tentera laut lakukan bila berlaku sesuatu kejadian. Jadi dimasukkan segala unsur mengarut pegawai besar berbual dengan menteri, apa yang berlaku di bilik kawalan. Bila nak guna kapal selam negara. Bila nak terjun dari kapalterbang untuk mengejar sasaran. Watak-watak dan permasalahan dimasukkan dalam segala SOP ini. Ianya bosan!

Samalah, dalam latihan menjadi anggota Paskal, apa yang hendak ditunjukkan. Lalu didramatikkan sikit tetapi usaha utamanya hanyalah nak tunjuk apa yang dilakukan dalam latihan sebagai anggota Paskal. Sekali lagi ianya bosan. Kalau saya nak tengok dokumentari Paskal mungkinlah menarik. Saya sebenarnya nak tengok cerita mengenai kecekalan pasukan tentera menjaga negara.  

Namun begitu, mungkinlah saya tersilap besar bila beli tiket. Nama cerita pun PASKAL. Tentulah nak megahkan Paskal saja dalam ceritanya. Mungkin juga ianya hanya sekadar dokumentari biasa sahaja. Ia tidak cuba untuk menjadi sebuah filem aksi. Cuma doku-drama mengenai unit Paskal sahaja. Masuklah cerita anggota tentera mati, isterinya dikahwini kawan baiknya. Platform minyak kena serang. Anggota Paskal kena buang kerana langgar peraturan.

Cerita mengenai latihan tentera dan bagaimana membentuk tentera sesebuah unti ini terlalu banyak di muka bumi ini. Nak cerita Korea ke, nak cerita Cina ke, India ke, Hollywood ke, banyak sangat. Tak larat kot nak tengok. Corak berceritanya sama sahaja. Jarang sekali nak keluar cerita yang bermutu mengenai tentera dan tugasnya kecualilah Star Wars. Hahahhaha.. jauh sangat saya perginya. Ya, Star Wars adalah drama peperangan. Drama tentera.  Ia drama yang baik kerana ia menumpukan kepada beberapa watak dengan baik. Heronya mesti nak belajar jadi Jedi yang baik. Hero keduanya akan berhadapan masalah disiplin untuk menjadi pemimpin tentera yang disegani. Ia tak sembang soal SOP ketenteraan sangat. Ia berbual soal perwatakan. Jadi kita suka menontonnya kerana ianya lebih mendekati kita sebagai manusia. Bukannya mendekati kita sebagai tentera. Nak buat apa, kita bukan faham atau syok sangat nak jadi tentera pun!

Dulu kala ada cerita mengenai Dirty Dozen. Cerita pasal beberapa orang pesalah tentera dikumpulkan untuk missi paling hebat dalam tentera. Mereka semuanya dalam senarai death row (hukuman mati). Penjahat tegar. Maka popularlah Telly Savalas dan Charles Bronson.  

Roger Moore keluar untuk berlakon dalam filem SEAL. Roger Moore ini adalah James Bond paling popular selepas Sean Connery. Dia membawa unsur kelakar dalam watak James Bond. Saya kira, orang yang paling pakar membawa watak sinis seorang pelakon adalah Roger Moore. Memang handal gila. Filem ini adalah mengenai anggota unit Seal dan permasalahan mereka. Ia bagaimanapun ditumpukn kepada watak utamanya membentuk sepasukan unit komondo tentera laut yang baik. Ia berkisar kepada melahirkan konflik dan cerita dan bukannya untuk menunjukkan operasi ketenteraan. Ia jadi drama yang baik.  

A Brigde Too Far, Midway, Tora-Tira dan banyak lagi cerita tentera adalah cerita yang baik-baik belaka. Tengoklah balik. Ianya kalau pun ada SOP tentera, ia mempersoalkan tentang keperwiraan dan sifat kemanusiaan. Ia berkisar kepada pengorbanan watak-watak.

Bagaimana penulis berfikir bila nak buat cerita tentera? Harus kah dia mengambil SOP ketentera dn berfikir untuk menggunakan SOP tenera dimasukkan ke dalam cerita? Atau.. dia harus memikirkan konflik atau bahan penceritaan, memperkuatkan perwatakan dan menyelesaikan permasalahan lalu dimasukkan mana-mana SOP tentera yang perlu. Perlu masuk semuanya ke, atau masuk sikit sahaja? Mana jawapan yang sesuai?

Jawapannya, terletak pada penonton yang mahu kita temui. Siapa target penonton kita?
Fahami penonton kita dan apa yang mereka harapkan barulah kita buat filem! Jangan buat cerita ikut apa yang kita kaji. Ia mungkin akan jadi dokumentari yang kadang kalanya bosan gila! Atau bahan syok sendiri sahaja. Kaji apa yang mahu melekat pada hati penonton.

Apa di sebalik kejayaan Munafik 2 dan Hantu Kak Limah? Adakah pasal Mamat Khalid dan Yusuf Haslam? Atau adakah kerana penonton kita gilakan cerita hantu? Mana satu jawapannya. Tentulah terletak kepada penonton. Kedua-dua cerita berjaya bermain dengan penerimaan penonton. Tidak bermegah dengan kemampuan pengkajian tetapi ianya menyentuh soal tanggapan penonton.

Paskal hanya dilahirkan kerana kajian yang mendalam. Ia lebih mahu menonjolkan kemampuan penulis dan pengarahnya menghadirkan ciri-ciri keupayaan ketenteraan dalam menghadapi sebarang siatuasi. Ia jadi cerita yang pada saya sangat bosan. Saya tersenguk banyak kali sangat dalam cerita ini.  Cerita yang tidak berkesan, pencahayaannya membuat kita mengantuk dan elemen dramanya hampir tidak kuat langsung. Saya hampir pasti tidak ada kekuatan drama langsung dalam cerita Paskal. Ianya cerita tentera macho saja.