Saturday, October 29, 2016

Telemovie Malam Ku Bermimpi bukan 'Tribute' kepada P Ramlee



Telemovie Malam Ku Bermimpi tribut P Ramlee
Arahan;- Melissa Saila
Penulis Skrip:- Megat Fauzi Isa
Terbitan: Suhan Movie
Tarikh: 9 malam, TV2 RTM, 29/10/16

Entahlah bagaimana sepatutnya satu filem atau drama untuk mengingati sekaligus menghargai jasa seorang seniman agung yang telah pergi selamanya meninggalklan kita. Kalau sekadar mengingati P Ramle hanya tahap Malam Ku Bermimpi ianya agak menjengkelkan.

Apa yang dibawa Malam Ku Mimpi tidak sampai ke tahap menghargai jasa seniman agung P Ramlee.

Dialog yang disampaikan pelakon terlalu cepat disambut oleh pelakon lainnya dan nampak seperti mengada-ngada keterlaluan. Ini kelemahan utama drama ini. Tidak ada ruang diberikan untuk pelakon untuk berhenti seketika menunjukkan reaksi tertentu kepada sesuatu ucapan, lantas disambut mendadak lancar menyebabkan lakonan menjadi lakonan dan bukannya menjadi satu kehidupan masa silam. Contohnya di awal cerita lagi, Cikgu Zaiton mengejutkan Pak Dol yang sentiasa tidur di sekolah. Tidak ada reaksi dari cikgu akan apa dialog disampaikan, Cuma terus bercakap menyampai dialog yang terancang menyebabkan apa yang mahu disampaikan tidak sampai kepada penonton.  Kalau sampai pun, tidak nampak apa lawak yang cuba disampaikan.

Ceritanya mudah, Zaiton digilai ramai lelaki di kampungnya. Ramai yang masuk meminang, semuanya ditolak Zaiton kerana dia menyukai Karim. Masalahnya, Karim ada sumpahan ke atas keluarganya yang kononnya berturunan harimau memandangkan matanya berwarna lain dari kebiasaan warna mata penduduk kampung. Kemuncak kepada kegilaan kepada Zaiton ini adalah watak Man Nganga, yang kemungkinannya anak orang kaya kampung juga merangkap samseng kampung.

Lawak yang cuba disampaikan cerita ini adalah melalui watak-wataknya secara slapstik. Contohnya Man Nganga, mulutnya sentiasa ternganga. Watak pakcik sengau dan watak Pak Dol yang sentiasa tidur di sekolah buta huruf. Hendak ditambah komedinya, wujudnya gangguan harimau di kampung setiap malam yang membuat penduduk kampung ketakutan. Ditambah pula dengan gelagat Zaiton yang disampok segala jenis hantu. Satu hari menjadi puteri dan mengarah emak dan ayahnya. Hari lain pula dia menjadi burung, terbang ke sana ke sini. Hari lain pula menjadi gergasi mengamuk di kampung. Apa yang dimimpinya di malam sebelum, akan diubah wataknya kepada benda tersebut. Pendek kata wanita yang sasau.

Bagi saya cerita Malam Ku Bermimpi ini merepek dan menjengkelkan. Bosan teramat sangat kerana babak-babaknya merepek menggila dan sengaja diada-adakan. Mainan muzik latarnya tidak pandai dimainkan walaupun ada usaha mengubahnya dnegan lagu-lagu klasik dilakukan.  

Corak lakonan dan corak pengarahan adalah lebih rapat kepada pengarahan drama pentas di mana lakonan mimik muka dengan sebutan dialog adalah dikhaskan kepada lakonan watak semata-mata. Semua aksi dalam drama ini bagaikan satu aksi alam lakonan semata-mata. Watak yang benar-benar nampak realistik adalah watak ayah si Zaiton yang dilakonkan Omar Abdullah. Mereka yang lain semuanya berlakon!  

Tribute kepada P Ramlee, itulah aspek utama cerita dan laluan diberikan oleh RTM. Cara menyampaikan penghargaan ini terpulanglah kepada penulis dan syarikat yang ditawarkan amanah penghargaan ini. Satu amanah yang harus diambil berat dan harus diusahakan sebaiknya. Apa lagi menyentuh nama P Ramlee kerana peminat dan mereka yang menghargai jasa beliau adalah besar. Semasa saya kecil dahulu, pernah P Ramlee datang ke funfair berhampiran Titi Besi (titi gajah) Alor Setar dan saya pernah menyaksikan telatah P Ramlee di pentas. Amat menghiburkan. Ratusan orang mengeliling pentas dan rata-ratanya rasa terhibur dengan gelagat P Ramlee di pentas. Kalau mahu tribute ke atas P Ramlee diadakan, ambil sahaja situasi P Ramlee menghibur orang ramai. Cerita yang boleh dibuat adalah masa sebelum pertunjukkan pentas, masa ketika P Ramlee menghibur dan masa selepas. Banyak yang boleh dimainkan. Munculnya P Ramlee, apa lagi dia sendiri berbual dengan watak utama yang terlalu besar ahti dengan perwatakannya tentunya fenomenon.

Banyak lagi cara tribute boleh disampaikan. Contohnya, ambil salah satu lagu P Ramlee dan jadikan satu cerita. Mungkin band remaja yang sudah tidak diminati kemudian merancang untuk naik semula dan memilih lagu P Ramlee sebagai batu lompatan mereka. Tentu menarik.

Mungkin juga semangat Sarjan Hassan itu sendiri menjadi bekal semangat kepada beberapa pemuda untuk berjuang untuk negara dalam sesuatu bidang.

Paling tidakpun ambil salah seorang anak P Ramlee dan buat aspek penceritaan di sekeliling perwatakannya. Mungkin kawan lama di waktu kecil, mungkin kawan atau lawan di waktu remaja.

Begitu juga dengan kesusahan P Ramlee di zaman akhrinya boleh dijadikan iktibar dan tema cerita yang baik untuk mengingati jasa besar seniman agung ini. Terlalu banyak idea yang boleh dicari untuk mengingatkan P Ramlee, kalau susah-susah sangat, telefon saya atau mesej saya dan tanya apa idea yang perlu. 0173245654- kalau dah tak ada idea sangat, telefon saya!!!! Janganlah buat satu cerita yang tidak ada kena mengena dengan P Ramlee langsung dan yang ada sikit sangkut pun hanyalah lagunya saja. Merepek dan mengarut sepanjang cerita. Tidak ada kena mengena langsung dengan menghargai jasa P Ramlee. Itulah yang dilakukan Suhan Movie dalam cerita Malam Ku Bermimpi ini, terlalu mengarut dan merepek.

Apa yang sangkut dengan P Ranmlee cumalah zaman penceritaannya. Mungkin tahun 50 atau mungkin 60-an. Lainnya, tidak ada sangkut langsung dengan P Ramlee. Bagai satu cerita lain sahaja dengan tema yang lain iaitu usaha Zaiton untuk mengahwini Karim sehingga sanggup menjadi gila agar dilupai/ditakuti penduduk kampung. Mungkin ada yang mengatakan cukup kalau dibawa zaman P Ramlee untuk menghargainya iaitu dengan mengambil cara pemakaian, cara penyampaian percakapan dan hitam putihkan dramanya. Saya kata itu merepek jadinya dan tidak ada kena mengena langsung dengan P Ramlee kerana banyak filem-filem lain juga di zaman P Ramlee, antara yang jauh lebih popular adalah filem filem Ahmad Mahmud dan Nordin Ahmad. Mahu menghargai P Ramlee haruslah ada kena mengena dengan P Ramlee. Contohnyalah kalau mahu menghargai Tun Mahathir mestilah membuat satu filem yang ada sangkutnya dengan jasa beliau. Mungkin dengan Proton Saga, dasar pandang ke timurnya, Twin Towernya dan dimasukkan karektor Tun Mahathir dalam salah satu babak. Kalau tak pun, suaranya pun boleh. Apa pun lah yang ada sikit-sikit kait mengait dengan Tun. Jangan tunjuk sebuah cerita tahun 1988 tanpa ada kena mengena dengan Tun langsung.

Malam Ku Bermimpi mengarut!

Kalau mahu dipertimbangkan penilaian atas aspek kekarutan cerita ini maka ianya sebuah cerita yang baik dalam aspek karut dan merepeknya. Cara penyampaian dialognya walaupun tidak nampak profesional dalam bidang lakonan ianya baik. Tambahan watak bapa Zaiton yang dibawa Abdullah Omar. Siti Saleha boleh berlakon seorang yang merepek sebagai Zaiton yang gila dan digilai. Idea untuk berubah menjadi gila agar orang kampung menolaknya adalah baik tetapi boleh nampak dan dibaca. Watak-watak merepek orang sengau atau orang ternganga mulut adalah terlalu menjengkel di zaman sekarang. Kalau zaman dahulu mungkin ianya satu lawak besar. Orang zaman sekarang ada besar kemungkinan sudah dilatih untuk memandang mereka begitu sebagai orang yang patut disimpati bukannya diketawakan. Watak Man Nganga baik dibawa pelakonnya. Samseng dan boleh dibenci.

Saya tidak suka drama Malam Ku Bermimpi ini dan merasakan ianya menjengkelkan.

No comments:

Post a Comment